Di kalangan pembikin filem pendek bebas, BMW Shorties cukup dikenali sebagai pertandingan kreatif digital paling lama dan berprestij di Malaysia.
Terbaru ia kembali dengan satu lagi karya yang memukau yang dinanti-nantikan, bertajuk ‘Sometimes Feels Like Summer’ (Adakala Terik Musim Tengkujuh), garapan Pemenang Hadiah Utama 2023, Ikram Haizammuri.
Menerusi karyanya, ‘Sometimes Feels Like Summer’, Ikram membawa kita menyusuri kisah emosional seorang gadis yang sedang mencari identiti diri di tengah-tengah kecelaruan dunia remaja.
Berlatarbelakangkan kawasan luar bandar yang sering dipenuhi cabaran dan konflik dalaman, filem ini menangkap pergelutan antara tradisi dan realiti moden.
Kisah ini menyentuh elemen-elemen penting dalam kehidupan remaja — di mana dunia baru yang asing sering kali menarik perhatian, tetapi pada masa yang sama, membawa kebingungan dalam mencari jati diri.
Ikram Haizammuri yang berasal dari Kuantan, mengakui bahawa projek cukup bersifat peribadi buatnya.
Mengambil inspirasi dari kehidupan masyarakat desa yang dekat dengan dirinya, beliau mengutarakan naratif tentang kepentingan mencari identiti dalam masyarakat yang berkonflik antara nilai-nilai tradisional dan cabaran semasa.
Sebelum ini, karya Ikram, ‘All Who Leave Go There’, juga mengetengahkan tema hampir sama, iaitu keinginan remaja untuk memahami diri sendiri dalam dunia yang penuh dengan realiti yang sukar diterima.
“Saya sangat berterima kasih kepada BMW Shorties kerana memberikan platform untuk saya berkongsi kisah ini.
“Filem ini adalah cerminan perjalanan universal dalam mencari makna diri, terutamanya bagi mereka yang berada di luar bandar. Saya bangga dapat menyumbang kepada pelbagai naratif yang BMW Shorties perjuangkan,” tambah Ikram.
BMW Shorties bukan sekadar sebuah pertandingan, ia adalah sebuah inisiatif yang membentuk industri kreatif Malaysia dengan memberi peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk bersinar.
Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kemampanan BMW Group Malaysia, mengulas bahawa ‘Sometimes Feels Like Summer’ adalah karya yang mencerminkan kerumitan remaja dan zaman dewasa dalam cara yang penuh indah.
“Karya Ikram adalah satu lagi bukti betapa berbakatnya penggiat seni tempatan kita. Setiap tahun, pemenang-pemenang BMW Shorties sentiasa memberi inspirasi kepada kami dengan kreativiti mereka.
“Kami berbesar hati untuk menyokong naratif yang mencerminkan realiti masyarakat kita,” kata Sashi.
BMW Shorties 2024 kini kembali dengan tema ‘PULSE’, yang menggalakkan pencipta kandungan tempatan untuk meneroka minat dan semangat kreatif mereka.
BACA: Cabaran Larian 10km, Ini Jadual Latihan Dalam Masa Empat Minggu!
Penyertaan dibuka sehingga 30 September 2024, dan sesiapa yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi BMW Shorties.
Bagi mereka yang ingin melihat karya kreatif yang penuh makna seperti ‘Sometimes Feels Like Summer’, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bakat tempatan terus berkembang melalui platform seperti BMW Shorties.
Projek-projek seperti ini tidak hanya memaparkan kisah-kisah individu, tetapi juga memperkukuhkan suara kreatif Malaysia yang semakin mendapat perhatian di persada dunia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.