BMW Shorties 2019 Nobatkan Pengarah Muda, Ekin Kee Charles Sebagai Pemenang Utama

224

BMW Shorties 2019 menobatkan filem pendek, ‘PACE’ arahan Ekin Kee Charles sebagai Pemenang Hadiah Utama bagi edisi ke-13. Beliau membawa pulang hadiah bernilai RM80,000 dalam bentuk geran produksi dipersembahkan di Malam Penganugerahan BMW Shorties 2019, dianjurkan bersempena Urbanscapes 2019.

Filem pendek ‘PACE’ ialah sebuah merupakan karya berdurasi 15 minit tentang kanak-kanak perempuan yang cuba menyelami identitinya buat pertama kali. Kisah ini mengilustrasikan persoalan mengenai identiti seorang individu pada usia yang rentan menerusi perspektif Yaya, beliau menemukan keinginan yang sama seperti kumpulan rakan-rakannya yang lain.

Bertekad untuk dilihat bukan sahaja sebagai seorang perempuan dalam kalangan rakan-rakannya, beliau cuba mencabar batasan yang ditetapkan kepada kaum wanita dalam dunia ini yang tampak hanya berputar untuk golongan lelaki sahaja.

Jelas Ekin, dia berbesar hati dinobatkan sebagai pemenang dan teruja untuk menerima pengiktirafan ini, bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk setiap individu dari kampung halamannya yang banyak membantu merealisasikan ‘PACE’.

Siswazah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mengambil dalam jurusan Sinematografi ini menyertai BMW Shorties buat kali pertama.

Dengan jalan cerita yang menarik hati dengan elemen penceritaan yang kompleks serta gubahan visual yang menawan serta kualiti produksi yang cemerlang. Sekali gus, Ekin dan pasukannya juga telah berjaya memenangi anugerah Suntingan Terbaik.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Tema tahun ini yang bukan konvensional berjaya menghimpunkan pembikin filem serta pencipta kandungan yang terbaik di Malaysia.

Dengan jumlah penyertaan yang tinggi dicatat pada tahun ini, kami berasa kagum untuk melihat bakat-bakat tanah air mendemonstrasikan minat dan dedikasi mereka dalam menggambarkan interpretasi mereka mengikut tema tahun ini, ‘UNCHARTED’, justeru kami berbangga untuk terus memberi dorongan kepada mereka.”

Filem-filem pendek yang dinukilkan oleh para finalis boleh ditonton di laman YouTube rasmi BMW Shorties di www.youtube.com/user/bmwshortiesmy.