Motosikal berenjin boxer bersaiz besar sememangnya menjadi idaman ramai peminat jentera dua roda yang cukup mantap bila di jalanan.
Peningkatan populariti segmen ini dapat kita lihat dengan kesungguhan BMW Motorrad Malaysia yang sering kali menampilkan seleksi motosikal premium dengan spesifikasi menarik.
Terbaru bersempena meraikan ulang tahun ke-100, BMW R 18 100 Years telah diperkenalkan. Lebih menarik, BMW Motorrad Malaysia menyatakan hanya 1,923 unit sahaja ditawarkan di seluruh dunia.
Ia sekali gus menjadikan ia sebagai salah sebuah motosikal yang boleh dianggap cukup ‘rare’. Jelas Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata, “Mempersembahkan jentera ‘SoulFuel‘ dalam ragam yang benar-benar ikonik, BMW R 18 100 Years bakal menempa nama sebagai kruiser klasik keluaran BMW Motorrad yang paling menawan, dikuasakan oleh enjin sesaran bersaiz terbesar yang dimuatkan dalam sebuah motosikal.
“Dirumus untuk para peminat sejati jentera berperwatakan klasik, BMW R 18 merupakan sebuah ikon yang bersifat abadi, hadir dengan elemen-elemen penting yang mendefinisikan model terdahulu, termasuk seni rekaan ‘puris’ dengan teknologi yang serba ringkas dan enjin boxer bersaiz besar yang mengagumkan untuk menjamin keterujaan maksimum.
“Menjulang slogan ‘Make Life a Ride’ kini selama 100 tahun, edisi seabad BMW R 18 menonjolkan keabadian pengalaman tunggangan yang mengghairahkan. Kami berasa teruja untuk mempersembahkan varian edisi terhad jentera kruiser klasik ini buat para pelanggan setia BMW Motorrad di Malaysia,” tambahnya lagi.
Konsep permukaan krom klasik bergred tinggi dengan gilapannya yang menawan mendefinisikan BMW R 18 100 Years, ia menggandingkan rona hitam dan krom berglos tinggi dengan jalur halus berkembar dalam warna putih, selain dihiasi dengan jata “100 Years”.
Sentuhan krom klasik juga boleh dilihat pada pelitup roda belakang yang turut memperagakan jalur halus berkembar berwarna putih.
Tempat duduk Option 719 yang diselubungi dengan upholsteri berwarna hitam dan ”oxblood” berserta embos corak berlian yang bertaraf premium juga tampak sempurna bersama.
BMW R 18 100 Years turut dilengkapi dengan pelbagai komponen krom yang dibawakan melalui opsyen rekaan krom yang dapat dilihat pada penyedang (fitting) bar hendal, penganjak gear dan tuil brek kaki, pengapit bar hendal, pemberat bar hendal, cermin, silinder utama brek, angkup brek, pelitup selongsong enjin, pelitup kepala silinder dan trim pancarongga komponen salur masuk.
BACA: BMW Malaysia Tampilkan BMW 3 Series Versi Baharu Dengan Dua Varian Berbeza
Lapisan permukaan galvanik yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak juga dapat dilihat pada komponen peredam bunyi Akrapovič di belakang, hadir dengan trim paip ekzos berleliang dalam corak bebaling (propeller) yang berdasarkan logo BMW.
Kelengkapan utama yang lain bagi BMW R 18 100 Years meliputi meter laju baharu dengan paparan multifungsi, di samping lampu hadapan LED penuh, lampu belakang dan brek LED bersertakan indikator, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), tiga mod tunggangan (Rock, Roll, Rain) di samping kemudahan Tunggangan Tanpa Kunci.
Kelengkapan opsyenal yang kini didatangkan secara standard meliputi Lampu Hadapan Adaptif, penggenggam berciri hangat, Kawalan Permulaan Curam (HSC), Kawalan Luncur, gear mengundur, penutup tangki minyak yang boleh dikunci, di samping rangkaian kuasa dan panel pemijak (floorboard) berwarna hitam.