BMW Malaysia Tampilkan Jentera Tangkas Dimensi Baharu Menerusi BMW 330Li M Sport

Share

Baru-baru ini, BMW Malaysia memperkenalkan BMW 330Li M Sport yang sulung dengan mengetengahkan sebuah jenteri berdimensi ketangkasan jentera. Ia ditampilkan menerusi varian dengan jarak sumbu roda panjang yang sulung dalam portfolio sedan eksekutif kompak milik pengeluar kenderaan premium ini untuk pasaran Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, “BMW 3 Series secara konsisten menonjnolkan kecemerlangannya untuk portfolio BMW di Malaysia, Sebanyak 2,500 unit telah diserahkan kepda pelanggan pada tahun 2020 sahaja.

“Kejayaan BMW 3 Series ini ditunjangi seni bina serba pintarnya dengan tawaran versatiliti bertaraf tinggi. Di samping itu mengekalkan DNA sporty untuk menjanjikan Kenikmatan Pemanduan Sempurna yang menjadi slogan BMW.”

“BMW 330Li M Sport juga merupakan jentera luar biasa membawakan dimensi baharu bagi BMW 3 Series, ia menggabungkan elemen keluasan jentera dengan jarak sumbu roda yang panjang serta elemen ketangkasan yang sinonim dengan sedan eksekutif kompak BMW, tanpa mengkompromikan mana-mana elemen ini dalam proses tersebut. BMW 330Li M Sport mempersembahkan sebuah haluan bagi para pelanggan untuk mengamati erti ketangkasan dalam dimensi yang baharu,” tambah Hoelzl.

Jentera BMW 3 Series terbaru ini ditampilkan dengan varian jarak sumbu roda panjang yang pertama dipasang secara domestik. Ia sekali gus menjanjikan konsepsi nilai bertaraf tinggi serta persepsi premium yang melatari BMW 3 Series, kini turut lengkap dengan aplikasi My BMW App yang baharu.

Selain praktikaliti jentera ini yang disumbang oleh aspek ruang dan keselesaan bertaraf tinggi, tubuh BMW 330Li M Sport yang memanjang juga menyerlahkan reka bentuk elegannya yang dapat dilihat dari hadapan hingga ke belakang.

KETERAMPILAN SERBA ‘SPORTY’

Gril ‘kidney’ BMW 330Li M Sport yang sulung menyerlahkan bahasa reka bentuk yang bersofistikasi lagi sporty, hadir dengan topang berwarna hitam yang dibingkaikan dengan krom. Gril ini didampingi oleh Lampu Hadapan LED Adaptif serba canggih yang boleh dilaras secara automatik mengikut pelbagai kondisi jalan.

Ciri-ciri lain yang menyempurnakan eksterior BMW 330Li M Sport ialah M Aerodynamics dan M Sport Packages, termasuk set roda aloi ringan 18” dalam penggayaan Double-Spoke 848 M dwiwarna berserta dengan tayar bercampur dan tayar ‘run-flat’, kemasan paip ekzos dwisisi dengan gubahan berbentuk trapezium di belakang, bumbung kaca panorama, serta karpet aluan bercahaya di kedua-dua sisi.

Dari segi enjin pula kereta ini dikuasakan enjin petrol TwinPower Turbo 4 silinder yang menjana output berjumlah 258 kuasa kuda pada paras 5,000 – 6,500 rpm. Manakala puncak tork pula berjumlah 400 Nm pada paras 1,550 – 4,400 rpm.

Kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic Sport. Pecutan dari kelajuan 0-100 km/j dapat dibuat oleh jentera ini hanya dalam masa 6.2 saat, dan kelajuan tertingginya mencecah 250 km/j. Di samping itu, BMW 330Li M Sport merekodkan penggunaan bahan api sebanyak 6.4 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km, manakala emisi karbonnya berkadar 147 g/km.

DALAMAN BERAMBIEN MEWAH

Dari segi ruang interior pula, tumpuan diberikan ke atas ambien serba moden serta reka bentuk yang mewah, ia membawakan kemasan trim dalam Aluminium Tetragon berserta dengan kemasan trim bersorotan dalam Pearl Chrome.

Pendekatan dimensi baharu menyaksikan ruang kepala yang berukuran 4 mm lebih tinggi berbanding BMW 330i M Sport, serta penambahan sebanyak 42 mm bagi ruang kaki.Ruang but jentera ini berkapasiti 480 liter, dinaik taraf dengan pakej kompartmen muatan.

Manaala di kokpit pemandu terdapat disambut stereng kulit M serta pedal M-specific. Taraf kemudahan juga dipertingkatkan dengan fungsi anti silau automatik yang melengkapi cermin interior dan eksterior.

Ia termasuklah pelarasan kerusi elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu. Turut menjadi tumpuan di dalam ruang interior BMW 330Li M Sport ialah hamparan lantai velor, lampu ambien dengan 11 gubahan pencahayaan, penyaman udara automatik dengan tiga zon, dan sistem pembesar suara HiFi.

Bagi pemanduan yang lebih kaya dengan ciri-ciri bantuan, BMW 330Li M Sport yang sulung membawakan Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, Bantuan Parkir dengan cermin pandang belakang, serta sistem Keselamatan Pejalan Kaki Aktif BMW (BMW Active Pedestrian Safety).

Bantuan Memandu juga hadir sebagai standard dan merangkumi fungsi-fungsi seperti amaran pengeluaran laluan, amaran penukaran laluan, amaran perlanggaran hadapan, amaran rentas trafik serta pencegahan perlanggaran belakang. Fungsi Panggilan Kecemasan Pintar pula dapat dimanfaatkan untuk memperoleh bantuan pada bila-bila masa.

BMW 330Li M Sport yang sulung ditawarkan dalam dua warna – Mineral White dan Carbon Black. Upholsteri Leather Vernasca dalam warna Mocha dengan sulaman hitam menyempurnakan kedua-dua warna eksterior yang ditawarkan.

Para pelanggan yang berminat dengan jentera BMW 330Li M Sport yang sulung boleh membuat pendaftaran di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/.

Jangan lupa untuk subscribe YouTube dan follow IG Maskulin untuk update gaya hidup lelaki terkini !

Published by
Farizul Izwany Ibrahim