BMW Malaysia Perkenalkan Lima Jentera Baharu Sempena Ulang Tahun BMW M Ke-50

Share

Pada hari ini BMW meraikan ulang tahun ke-50 model BMW M. Bersempena dengan itu, BMW Malaysia mengumumkan kemunculan beberapa jentera baharu seperti BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition versi Sedan serta Coupé yang baharu.

Kedua-dua siri istimewa ini hadir dengan sistem M xDrive buat pertama kali. Selain itu, mereka turut memperkenalkan BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu, serta jentera elektrik tulen BMW M yang membuat penampilan sulung, BMW i4 M50.

Menurut Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, “50 tahun bersama BMW M, kami telah mempersembahkan sebuah portfolio yang dibarisi kenderaan-kenderaan yang ikonik lagi handal, yang telah mendefinisikan kereta prestasi premium dalam era masing-masing. Subjenama BMW Group ini telah memperkayakan pengalaman dan pencapaian kami sebagai pengeluar kenderaan premium, membantu kami menunaikan janji untuk membekalkan ‘Sheer Driving Pleasure’ merentasi seluruh produk yang kami tawarkan.

“M melambangkan nyalarasa para jurutera kami dalam menggabungkan kefungsian sukan permotoran yang sebenar dengan inovasi-inovasi yang terkini menerusi pelbagai jentera bertaraf premium. Hari ini, kami teruja untuk meraikan M selama lima dekad yang gilang dengan perungkaian lima model premium berprestasi tinggi terbaharu buat para pelanggan dan peminat setia kami, termasuk para peminat sukan permotoran premium di Malaysia.”

Bersempena ulang tahu ini juga, BMW Malaysia turut menjalankan misi mencari model-model M yang tertua bagi setiap siri model kenderaan tersebut di Malaysia. Para pemilik BMW M klasik digalakkan untuk menghantar butiran kenderaan mereka di sini selewat-lewatnya 8 Jun 2022, untuk memenangi hadiah BMW M yang eksklusif serta sorotan khas oleh BMW Group Malaysia.

BMW M3 Competition Sedan & BMW M4 Competition Coupé, Kini Dengan M xDrive

BMW M3 Competition Sedan dengan M xDrive serta BMW M4 Competition Coupé dengan M xDrive menandakan kali yang pertama sistem pacuan semua roda ‘M-specific’ diperkenalkan kepada kenderaan berprestasi tinggi selain BMW M5 dan BMW M8.

Sistem ini dengan jitunya menyalurkan kuasa enjin kepada keempat-empat roda, membekalkan kualiti prestasi M kepada pemandu, di samping jangka pecutan yang lebih cepat dan cengkaman yang ditambah baik di atas permukaan basah bagi pemanduan harian.

BMW M3 Competition Sedan with M xDrive

Menunjangi kedua-dua varian ini ialah enjin petrol enam silinder BMW M TwinPower Turbo, digandingkan dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan berserta Drivelogic dan sistem pacuan semua roda yang serba pintar. Konfigurasi ini membekalkan varian-varian baharu tersebut output enjin maksimum yang mengagumkan dengan nilai mencecah 375 kW/510 kk serta puncak tork bernilai 650 Nm, membolehkan ia membuat pecutan abad dalam masa 3.5 saat.

BMW M4 Competition Coupé with M xDrive

Sosok atletiknya pula dibentuk oleh gril ‘kidney’ M tanpa bingkai dalam rona hitam dengan lampu hadapan serta rongga udara yang langsing dalam bentuk trapezium, lalu disempurnakan dengan roda aloi ringan tempaan pada kedua-dua varian tersebut. Sebahagian daripada struktur binaan ringan yang serba pintar oleh BMW, bumbung kedua-dua jentera ini juga diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP). Ia membantu merendahkan pusat graviti kenderaan tersebut, sekali gus menambah kelincahannya.

Jentera Pemanduan Terunggul: BMW M5 dan BMW M5 Competition Baharu

Kini dalam generasinya yang keenam, iterasi BMW M5 yang terbaharu pada kedua-dua varian ini terus membantu ia mendominasi segmen sedan eksekutif berprestasi tinggi. Sebagai sedan empat pintu, ia memenuhi keperluan pemanduan harian, dan pada masa yang sama berupaya untuk mengungguli litar lumba seperti Nürburgring Nordschleife, di mana jurutera BMW M telah menala dan memperhalusi tetapan suspensinya.

BMW M5

Gril ‘kidney’ yang diperbaharui ini hadir dengan dua palang ‘M-specific’ serta jata M, dan dengan sekilas pandang ia menyerlahkan statusnya sebagai jentera M berprestasi tinggi. Bersempena dengan ulang tahun BMW M ke-50, BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu juga akan didatangkan dengan Emblem 50 Tahun BMW M sebagai standard.

Kedua-dua varian menampilkan pelbagai kelengkapan eksterior ‘M-specific’ termasuk spoiler belakang M serta elemen tiga dimensi yang baharu pada lampu belakang LED. Eksklusif untuk BMW M5 Competition ialah sistem ekzos M Sports, dengan gubahan serba langsing untuk membuahkan iras yang jitu dan tampak membesar di samping jata ‘M5 competition’ yang eksklusif.

Kuasa dibekalkan kepada BMW M5 dan BMW M5 Competition baharu oleh enjin V8 4.4 liter dengan teknologi BMW M TwinPower Turbo, ditala untuk menjana output maksimum berjumlah 600 kk dan puncak tork bernilai 750 Nm bagi BMW M5, serta 625 kk dan puncak tork bernilai 750 Nm bagi BMW M5 Competition. Ia membolehkan BMW M5 membuat pecutan abad hanya dalam masa 3.4 saat, manakala BMW M5 Competition mampu membuat pecutan tersebut lebih pantas dalam masa 3.3 saat.

BMW i4 M50

BMW i4 M50 yang sulung merupakan kenderaan elektrik berjata M yang pertama di dunia bakal membentuk asas bagi alaf pemanduan yang mengujakan di dalam negara – yakni alaf yang menjulang Kelestarian dan Kewajipan.

Pada masa yang sama, para pelanggan dan peminat setia masih dapat menikmati pengalaman pemanduan serba emotif yang sinonim dengan BMW M, iaitu Jentera Pemanduan Terunggul.

BMW i4 M50

Sempena ulang tahun BMW M ke-50, BMW i4 M50 akan didatangkan dengan Emblem 50 Tahun BMW M sebagai standard. Perwatakan sporty jentera ini diserlahkan melalui kelengkapan standardnya seperti pakej M Aerodynamics, spoiler belakang M dalam warna tubuhnya serta sisipan peresap belakang dalam warna hitam.

Dengan penggunaan tenaga sebanyak 24 – 19 kWj/100 km, kenderaan ini merekodkan jarak operasi elektrik sejauh 510 kilometer (berdasarkan kitaran WLTP). Serasi dengan mod pengecasan AC dan DC, BMW i4 M50 yang sulung dapat dicas penuh hanya dalam tempoh 8 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW, atau dicas dari 10 peratus hingga 80% dalam tempoh 31 minit dengan pengecas DC 200 kW.

Pemandu juga boleh berlapang dada dengan adanya aneka sistem keselamatan yang canggih, ia meliputi Perlindungan Akustik untuk Pejalan Kaki, Perlindungan Aktif untuk Pejalan Kaki, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus, dan Perlindungan Aktif.

BMW i4 M50 yang sulung akan disediakan dalam warna-warna eksterior seperti Mineral White, Black Sapphire, M Brooklyn Grey, M Portimao Blue dan Sanremo Green. Upholsteri interior disediakan dalam Leather Vernasca berwarna hitam dengan sulaman berkontras biru dan Leather Vernasca dalam warna Cognac.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim