Tahun lalu menyaksikan dugaan akibat penularan pandemik telah dirasai oleh segenap industri. Cabaran yang didepani idustri automotif juga tidak kurang hebatnya. Namun BMW Group Malaysia mengahrunginya dengan rentak yang cukup baik sekali.
Walaupun berdepan situasi sukar, BMW memperkenalkan 25 varian model yang meliputi tiga jenama utamanya iaitu BMW, MINI dan BMW Motorrad dengan empat daripada varian tersebut kenderaan berelektrik.
Kedudukan BMW Group Malaysia sebagai peneraju dalam arena mobiliti elektro juga terbukti menerusi penyerahan lebih daripada 2,200 unit di seluruh negara yang menyaksikan kebanyakannya dari model BMW 5 Series dan BMW 7 Series.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, “Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa sokongan para pelanggan, rangkain pengedar serta kerajaan Malaysia yang telah membantu industri automotif negara menerusi polisi Pengecualian Cukai Jualan. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka.
Selain kekuatan operasi serta keupayaan kami untuk berkhidmat dalam situasi yang mencabar sebagai sebuah pasukan, pencapaian kami juga ditunjangi oleh kesetiaan para pelanggan kami.”
Sepanjang tahun 2020, jenama BMW merekodkan 8,903 pemilik, sekaligus mendahului keseluruhan segmen premium di Malaysia.
MINI Malaysia pula berjaya menyerahkan 987 unit kenderaan pada tahun lalu, mengambil lebih daripada 5% kongsi segmen premium Malaysia. Penyerahan ini didahului oleh model-model MINI Countryman yang paling laris – lebih daripada 47% disumbang oleh MINI Cooper S Countryman.
Manakala, BMW Motorrad Malaysia telah mencatat pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tahun 2020 dengan penyerahan berjumlah 1,126 unit kenderaan, yang melangkaui angka tahun 2019.
Penyumbang utama terhadap pertumbuhan ini ialah segmen Kembara (Adventure), yang menyaksikan penyerahan melebihi 670 unit kenderaan, sekitar 300 daripadanya terdiri daripada jentera BMW R 1250 GS Adventure.
“Buat julung kalinya, dengan rasa rendah hati kami ingin mengumumkan bahawa seluruh bilangan kenderaan yang berjaya diserahkan telah ditunjangi oleh barisan kenderaan jenama BMW dan MINI yang dipasang di dalam negara – yang melebihi 87% daripada jumlah penyerahan tersebut.
“Setelah mengharungi cabaran tahun 2020, angka yang dicapai ini memberi kami inspirasi untuk terus menjulang komitmen kami untuk menggiatkan lagi pelaburan dalam industri automotif Malaysia,” ujar Hoelzl.
Ekoran batasan perjalanan dan penjarakan sosial yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu, BMW Group Malaysia bingkas membuat penyesuaian mengikut arus semasa dengan mendigitalkan banyak titik sentuh dan perkhidmatan yang sedia ada bagi memperkayakan pengalaman pemilikan premium yang dijanjikan buat para pelanggan di Malaysia.
Ia dibuktikan melalui pengenalan BMW Shop Online dan MINI eShop, di samping BMW Engage dan BMW i-Renewal – menjadikan proses-proses yang penting dalam komponen pengalaman mobiliti premium selancar yang mungkin.
Tahun 2020 turut menyaksikan pelbagai inisiatif kebajikan komuniti oleh BMW Group Malaysia, di mana sokongan diunjurkan kepada sebilangan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang meliputi Refuge for the Refugees, Tenaganita, Empire Project, dan Malaysia Muda.
Ia adalah usaha pengagihan makanan dan keperluan asas kepada lebih 80,000 benefisiari ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengeluar kenderaan premium ini juga telah mewujudkan inisiatif #BMWSupportsLocal yang masih berterusan hingga ke hari ini untuk memberi bantuan kepada perniagaan-perniagaan kecil.
“Kami masih berharap bahawa landskap automotif Malaysia dapat pulih seperti sedia kala pada tahun 2021. Seperti tahun 2020, BMW Group Malaysia akan melangsungkan usahanya untuk memuaskan para pelanggan dan peminat, memastikan Pengalaman Pemilikan Premium dapat dibekalkan dalam normal baharu seperti yang dijanjikan.
“Kami benar-benar menghargai para pelanggan, kakitangan dan wakil pengedar kami yang telah berdiri bersama kami ketika detik-detik yang mencabar, dan ingin mengalu-alukan tahun 2021 dengan tangan yang terbuka bersama jaringan warga kerja kami yang berdedikasi,” jelas Hoelzl lagi.
Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!