BMW Group Malaysia telah memperkenakan aplikasi mudah alih, BMW Group Loyalty+ yang membolehkan ahli setia BMW White Card, MINI Black Card dan BMW Excellence Club mengakses keistimewaan mereka di mana-mana sahaja.
Pengeluar kenderaan premium ini yang juga merupakan peneraju dalam perkhidmatan pelanggan bakal melebarkan sayapnya melalui aplikasi tersebut. Aplikasi kesetiaan baharu ini akan mewujudkan integrasi e-bayaran, perkhidmatan pembiayaan, dan akses kepada acara istimewa serta pengalaman mewah melalui cara yang lebih mudah dan lancar.
Di samping itu, pemilik BMW, MINI dan BMW Motorrad juga akan merasai pengalaman pemilikan premium yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia melalui akses menyeluruh terhadap kesemua ciri BMW White Card, MINI Black Card dan BMW Excellence Club yang disediakan dalam aplikasi tersebut.
Apabila pengguna log masuk ke dalam aplikasi ini, halaman capaian akan dipaparkan lalu mereka boleh meneliti dan membuat pilihan di ruangan menu. Terdapat beberapa fungsi pilihan seperti; akses kepada kad kesetiaan dan penggunaan teknologi imbasan QR yang membolehkan pelanggan menggunakan kad kesetiaan mereka terus dari peranti mudah alih atau telefon pintar mereka. Aplikasi ini juga akan membekalkan pengguna dengan informasi yang terkini berkenaan tawaran keistimewaan pelanggan dan acara yang menarik.
Selain itu, maklumat pembiayaan pengguna juga boleh diuruskan dengan mudah dan cepat melalui aplikasi ini. Pelanggan akan mempunyai akses segera terhadap semua kontrak mereka dan transaksi boleh dilakukan dengan mudah melalui e-bayaran—kemudahan pembayaran ini adalah ihsan BMW Group Financial Services Malaysia.
Pengguna juga boleh mengesan lokasi pengedar dengan mudah melalui fungsi peta yang disediakan. Tambahan lagi, berita dan perkembangan terkini mengenai model kenderaan terbaharu daripada BMW Group boleh didapati melalui aplikasi tersebut.
Aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+ kini terdapat di Apple App Store dan Google Play Store.