BMW 530e M Sport & BMW 530i M, Dua Varian Premium Terbaru Diperkenalkan

Share

BMW 5 Series baharu hadir dalam varian hibrid ‘plug-in’ dan varian petrol. BMW 530e M Sport dam BMW 530i M Sport yang baharu ini membawakan sistem bantuan pemandu generasi terkini, iras yang diperbaharui, serta bakal menjadi ahli portfolio milik pengeluar kenderaan premium ini yang dipasang di Malaysia.

Lengkap dengan pakej M Aerodynamics, kedua-dua varian kini membawakan gril ‘kidney’ yang lebih besar, dan lampu hadapan yang langsing dengan sentuhan baharu pada rekaan lampu waktu siang (daytime running light). BMW 530e M Sport baharu didatangkan dengan lampu hadapan Adaptive LED, di samping lampu hadapan LED yang standard, manakala BMW 530i M Sport dilengkapi dengan BMW Laserlight. Kedua-duanya merangkumi kemudahan bantuan lampu puncak dengan fungsi pengaktifan automatik mengikut keadaan trafik, dikawal melalui sensor yang terdapat di hadapan cermin interior.

BMW Individual Shadow Line yang berglos tinggi membingkaikan BMW 530e M Sport baharu, manakala BMW 530i M Sport baharu dibingkaikan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium Satinated. Bampar hadapan dan belakang kedua-dua varian ini juga direka semula dengan salur masuk udara yang lebih besar, berserta dengan elemen lampu belakang LED dalam bentuk L yang menjadi keunikan BMW. Buat julung kali, sumber cahaya diintegrasikan secara langsung ke dalam lapisan lampu belakang yang paling luar, lantas memaksimumkan lagi efek 3D.

Dinamisme yang tulen dipancarkan melalui roda aloi ringan M 19” Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black dengan tayar bercampur dan tayar ‘runflat’. Varian-varian baharu ini turut menampilkan Suspensi Adaptif (Adaptive Suspension) serta brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru dan designasi M. Di seksyen belakang kedua-dua varian ini, kemasan paip ekzos dwisisi dapat dilihat dengan gubahan berbentuk trapezium serta sisipan peresap yang unik.

KEUPAYAAN & TAHAP EFISIEN TERTINGGI

Model terbaru ini dilengkapi dengan enjin petrol sebaris 4 silinder BMW TwinPower Turbo 2 liter. Sambil menyaksikan BMW 530e M Sport hadir dengan motor elektrik BMW eDrive generasi terkini. Sistem transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan juga ditawarkan sebagai standard bagi kedua-dua varian ini.

BMW 530e M Sport baharu menawarkan output maksimum gabungan berjumlah 292 kk dan nilai tork berjumlah 420 Nm – output sebanyak 109 kk dijana oleh motor elektrik. Varian berelektrik ini mampu membuat pecutan abad dalam masa 5.9 saat. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 235 km/j, BMW 530e M Sport baharu hanya mengguna pakai bahan api yang berjumlah 2.3 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 53 g/km. Motor elektriknya mempunyai jarak capaian setinggi 67 kilometer (dengan korelasi NEDC) – memungkinkan keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya untuk menyelusuri kota dan perjalanan yang pendek.

BMW 530e M Sport

Sementara itu, output sistem keseluruhan bagi BMW 530i M Sport ialah 252 kk dan nilai torknya berjumlah 350 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat. Dengan kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j, BMW 530i M Sport baharu mengguna pakai bahan api berjumlah 6.7 l/100 km dengan emisi CO2 berkadar 154 g/km.

BMW 530i M Sport

Turut memperkayakan pengalaman pengguna ketika memandu BMW 530e M Sport atau BMW 530i M Sport, Kawalan Stabiliti Dinamik (Dynamic Stability Control) hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control), Kawalan Brek Membelok (Cornering Brake Contro), Kawalan Brek Dinamik (Dynamic Brake Control), dan Sistem Pembrekan Antikunci dengan Bantuan Brek (Antilock Braking System with Brake Assist).

REKA BENTUK MENAWAN & SOFISTIKATED

Kedua-dua jentera ini turut dilengkapi dengan keupayaan serba pintar dalam bentuk BMW Live Cockpit Professional, ia memanfaatkan Sistem Operasi BMW 7 (BMW Operating System 7) yang terkini. Konsep maklumat hibur diserlahkan melalui tataatur paparan yang baharu, ia mencakupi kluster instrumen 12.3 inci yang boleh dikonfigurasi, serta Paparan Kawalan (Control Display) dengan skrin sentuh yang sama besarnya. BMW Live Cockpit Professional hadir dengan ciri navigasi, BMW Intelligent Personal Assistant, sambungan 4G LTE, dua port USB, dan fungsi-fungsi lain seperti Pengemaskinian Perisian Berjarak Jauh (Remote Software Upgrade) serta pengemaskinian peta tanpa sambungan wayar bagi sistem navigasi.

BMW 530e M Sport
BMW 530e M Sport

Dengan BMW Intelligent Personal Assistant, BMW 530e M Sport dan BMW 530i M Sport baharu menaik taraf interaksi antara pemandu dan kenderaan ini. Ciri-ciri kefungsian kenderaan yang boleh diakses dan dikawal melalui BMW Intelligent Personal Assistant meliputi panggilan telefon, pelarasan suhu, navigasi, pengaktifan bidai, serta pengoperasian kesemua tingkap secara automatik.

Demi kemudahan tambahan, varian-varian baharu ini menawarkan sistem Comfort Access, di samping penyaman udara automatik dengan 4 Zon kawalan dan tirai gulung elektrik untuk tingkap belakang.

BMW 530i M Sport
BMW 530i M Sport

Bantuan Memandu (Driving Assistance) disediakan bagi jentera-jentera ini melalui Amaran Pengeluaran dan Penukaran Laluan (Lane Departure and Lane Change Warning), amaran perlanggaran hadapan dengan intervensi brek, pencegahan perlanggaran belakang dan amaran perentasan trafik. Fungsi Parking Assistant Plus membawakan kamera Pandangan Keliling (Surround View) untuk kedua-dua varian. Para pemilik BMW 530i M Sport baharu juga dapat memanfaatkan Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Stop&Go.

Tambahan eksklusif untuk BMW 530i M Sport baharu ialah Shadow Line Package yang berharga RM 5,437.12. Bagaimanapun, para pelanggan dapat menikmati kadar rata istimewa iaitu RM 5,000 (tidak merangkumi kos buruh) sahaja mulai hari ini sehingga 31 Disember 2021. Pakej ini akan melengkapi kenderaan tersebut dengan gril ‘kidney’, trim saluran udara dan bingkai tingkap dalam warna High Gloss Black.

Varian-varian BMW 5 Series baharu ini bakal disediakan di semua pusat pengedaran BMW yang bertauliah di seluruh negara mulai 28 Mei 2021. Para pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk memiliki sedan eksekutif premium baharu ini dengan bayaran RM 1,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ mulai 29 Mei 2021.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim