BLOGGER BRITAIN BELI PROTON SAGA AEROBACK PADA HARGA RM280- ADA BUMBUNG SURIA LAGI! (+VIDEO)

Share

Seorang blogger automotif menerusi akaun Youtube HubNut begitu teruja apabila beliau membeli sebuah model Proton Saga Aeroback varian 1.5GLS.

Ketika ditawarkan model berkenaan, Ian Seabrook berkata beliau tidak dapat menolak dan terus bersetuju dengan membayar 50 pound (RM280). Menerusi video berdurasi 4:38 minit itu, Ian begitu berpuas hati dengan model tersebut yang seakan saloon Mitsubishi Lancer dari belakang. Ini kerana model awal Proton berasaskan model Mitsubishi.

Walaupun banyak perlu diperbaiki, Ian memberitahu beliau berpuas hati dengan kereta berkenaan.

Jelasnya, “Terdapat kemasan plastik kelabu yang mendominasi dalaman dan begitu ringkas.

“Pengelap cermin tidak berfungsi dan model GLS didatangkan dengan bumbung suria.

Selain daripada transmisi 5-kelajuan manual, Ian memberitahu Saga Aeroback tersebut tidak didatangkan dengan ciri peralatan mewah tanpa fungsi cermin elektrik dan central lock.

Menurut beliau, Proton Saga Aeroback yang dibelinya itu sudah terdapat beberapa bahagian yang sudah tidak berfungsi, dia juga tidak sabar untuk membaik pulih kereta itu.

Terdapat juga beberapa masalah bocor di bahagian but belakang dan bumbung suria yang ditampal dengan pelekat.

Selain itu, Ian juga akan mengekalkan satu warna pada model tersebut. Beliau sukakan warna biru metalik pada bahagian bampar dan kemungkinan akan mengekalkan warna tersebut. Malah, beliau juga akan mendapatkan semula logo Proton dan tidak akan membiarkan ia ditutupi dengan pelekat.

Ujarnya, sebaik beliau menyelesaikan jentera Bluebirdnya, Ian akan memulakan projek membaik pulih Saga Aeroback tersebut. Ian turut memberitahu ini bukanlah kereta pertama yang dibelinya, pada 2015 lalu beliau membeli sebuah kereta Perodua Kancil atau dikenali sebagai Perodua Nippa di Britain.

 

TONTON VIDEO INI:

 

Published by
webadmin