Lebih Memilih Gym Berbanding Keluar Dating_Cash Razak

Share

Acap kali namanya dilaung dan mengungguli pertandingan bina badan yang kini menjadi aktiviti kecergasan memupuk budaya sihat di kalangan lelaki sejati. Bukan kerana ingin meraih populariti dan hadiah lumayan semata, tetapi hasratnya adalah untuk menjadi inspirasi kepada lelaki muda di luar agar meletakkan kecergasan tubuh badan di tahap teratas. Razeaf atau lebih dikenali sebagai Cash Razak di arena bina badan tempatan berkongsi rahsia penjagaan tubuh badannya dengan Maskulin.

MASKULIN : DEFINISI KECERGASAN BAGI ANDA?

Kecergasan bukan sekadar memiliki tubuh yang sasa atau pinggul yang cantik tetapi mempunyai kecergasan fizikal untuk melakukan sesuatu kerja atau aktiviti. Kecergasan tubuh badan bukan sahaja membolehkan kita menyelesaikan tugasan harian dengan lebih aktif, malah ia akan meningkatkan lagi tahap keyakinan kita pada sesuatu tugasan yang dilakukan.

MASKULIN : SIAPAKAH INSPIRASI ANDA?

Abang-abang saya sendiri dan minat mereka terhadap sukan yang dipupuk sejak muda lagi. Impak dorongan itu saya mula terlibat secara aktif di dalam sukan ini sejak di bangku sekolah lagi. Saya juga didorong oleh ramai jurulatih yang berkaliber dan mementingkan kecergasan fizikal.

MASKULIN : RUTIN KECERGASAN YANG SERING DILAKUKAN?

Saya amat mementingkan disiplin, diet yang sesuai untuk badan, kardio dan abs workout (sekurang kurangnya 3 kali seminggu), melakukan workout pada setiap tubuh badan sekurang kurangnya 1 kali seminggu dan rehat yang mencukupi.

MASKULIN : APAKAH SASARAN ANDA?

Saya berharap suatu hari nanti saya boleh menjadi contoh yang baik dan dapat memberi inspirasi kepada generasi muda. Ini kerana kecerdasan minda datangnya daripada kecergasan tubuh badan dan pemakanan yang seimbang.

 

MASKULIN : TIP

Bagi yang ingin menjinakkan diri dalam bidang kecergasan, disiplin diri, diet yang sesuai, pelajari cara senaman yang betul dan tingkatkan pengetahuan dari buku, majalah, Internet dan contohi ikon bina badan negara yang lebih berpengalaman seperti Osman Yahya dan Sazali Samad.

MASKULIN : APABILA WANITA LEBIH PERKASA?

Tidak tercabar, malah saya sungguh hormat dan kagum dengan disiplin dan kesungguhan mereka dalam bidang ini. Ternyata fizikal mereka lebih susah untuk dibina berbanding lelaki.

MASKULIN : GIM ATAU WANITA?

Gim

MASKULIN : LAMBAKAN PERTANDINGAN BINA BADAN, ADAKAH IA SATU YANG POSITIF?

Ia sangat positif kerana dapat memupuk semangat lelaki Malaysia untuk lebih menjaga tubuh badan dan penampilan mereka. Pada abad ini, ‘kecantikan’ adalah untuk semua.

 

GAMBAR : INSTAGRAM CASH RAZAK

Published by
Kim Rahim