Body shaming merupakan satu perbuatan mengkritik penampilan fizikal seseorang dengan cara yang negatif.
Suatu masa dahulu, individu yang menjadi mangsa body shaming ini kebiasaanya dari kalangan mereka yang berbadan gempal.
Namun kini, individu yang bertubuh sasa juga tidak lepas dari menjadi mangsa perbuatan itu, demikian luah seorang ahli bina badan, Luqman Zaheruddin.
Ketika ditemui Maskulin, Luqman memberitahu yang masih ramai orang tidak memahami yang bentuk tubuh sasanya itu dibina atas tujuan kerjaya.
“Macam saya sendirilah, memang sebagai saya punya kerjaya. Saya cari makan daripada saya buat badan ni,” kata Luqman.
Oleh itu, Luqman berpendapat orang ramai tidak sepatutnya memandang rendah terhadap gaya hidup seorang ahli bina badan, apatah lagi kerjaya itu memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi.
“Satu, memang disebabkan minat. Kalau tak minat memang takkan boleh buat punya sebab nak buat badan ni bukan satu benda yang senang. Hari ini mimpi nak buat badan esok badan dah siap, tak ada”.
Dalam pada itu, Luqman tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan tubuh sasa tidak diminati oleh golongan wanita.
Katanya, dia sendiri mempunyai ramai kenalan wanita yang sering mengagumi lelaki yang bertubuh sasa.
Selain daripada menambah baik kekuatan fizikal, ia juga mampu menyerlahkan penampilan seorang lelaki apabila mengenakan sebarang pakaian.
Luqman pernah menyertai beberapa pertandingan bina badan seperti Mr Malaysia, dan pernah menjadi juara pada 2019 serta naib juara pada 2022.