Bilionair Berpengaruh & Pemilik Tesla, Elon Musk Sah Beli Twitter

Share

Buat anda yang aktif menggunakan laman media sosial terutamanya Twitter pasti akan kenal dengan Elon Musk. Begitu juga peminat kereta elektrik berinovasi tinggi, Tesla kerana dia merupakan pemilik syarikat tersebut.

Bilionar yang dikenali dengan visi teknologi luar biasa tersebut merupakan seorang ikon perniagaan yang sangat aktif di laman Twitter. Keterbukaannya dalam meraikan penggunaan matawang kripto juga sering disambut baik oleh warganet masa kini.

Dalam tempoh beberapa minggu lalu telah heboh diperkatakan tentang ura-ura Elon Musk ingin membeli saham dan memiliki laman media sosial Twitter yang dianggarkan mempunyai kira-kira 206 juta pengguna.

Sns photo created by rawpixel.com – www.freepik.com

MENJADI REALITI

Minggu lalu, Elon Musk mengumumkan hasratnya untuk membida dan membeli Twitter namun pada mulanya ia ditolak. Dan semalam perkara tersebut telah menjadi realiti dan dimiliki oleh Elon Musk.

Memetik laporan Reuters, pembelian laman media tersebut oleh Elon Musk dicatatkan pada harga USD44 bilion (RM191.5 bilion) sekali gus memberikan kuasa sepenuhnya terhadap platform tersebut.

Sebagai pengguna Twitter yang tegar, bilionair tersebut sebelum ini dilihat sering mengkritik pendekatan Twitter dan menganggap ia mengutamakan ciapan tertentu harus berupaya diakses orang ramai.

Transaksi pembelian tersebut juga telah diluluskan oleh pihak lembaga dan kini tertakluk kepada undian di kalangan pemegang saham. Dalam satu kenyataan Elon Musk berkata kebebasan berucap adalah asas utuh demokrasi dan Twitter merupakan ruang digital yang menyaksikan banyak perkara penting kemanusian pada masa depan diperbincangkan.

Rata-rata warganet bercampur-baur akan perkembangan ini. Ada yang gembira dan tidak kurang juga yang skeptikal terhadap apa yang akan dibawa oleh Elon Musk terhadap platform kesayangan ramai ini.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim