Sukan

Bila Tiada Senjata, Tangan Kosong & Akal Fikiranlah Jadi ‘Senjata’ – Al Jufferi Jamari

Share

Antara ilmu atau kebolehan yang berbaloi untuk dipelajari oleh kaum lelaki adalah seni mempertahankan diri.

Bagi bekas jaguh silat negara Al Jufferi Jamari, 32, ilmu mempertahankan diri mampu menjadi ‘senjata’ di saat senjata fizikal sudah tidak berguna lagi.

“Apabila pisau dah tiada, senjata dah tiada, semua dah tiada, tangan kosong dan akal fikiran kita ini lah yang kena ada menjadi senjata,” kata Al Jufferi ketika ditemui Maskulin.

“Tapi nak menjadikan ia senjata itu, macam mana? Pelajarilah seni mempertahankan diri”.

Ilmu itu juga merupakan persediaan yang penting sebelum seseorang ditimpa musibah, tambahnya.

Bukan Sekadar Ajar Bertempur, Ia Membentuk Adab Seseorang

Walaupun Al Jufferi seorang pengamal ilmu persilatan, namun baginya sebarang jenis ilmu membela diri juga membawa manfaat yang setara walaupun berbeza teknik.

Baginya, golongan lelaki khususnya wajib mempunyai ilmu mempertahankan diri.

“Kita kena pertahankan maruah keluarga kita, diri kita. Kalau yang mana dah berkahwin, mesti mempertahankan isteri dan anak-anak,” tambahnya.

Bukan sekadar mengajar cara bertempur, namun seni bela diri turut membentuk jati diri, disiplin, adab serta kesopanan seseorang, ulasnya lanjut.

Usia Muda Lebih Mudah Dilentur

Mula mempelajari ilmu persilatan seawal usia 12 tahun, Al Jufferi mengakui pentingnya untuk mempelajari seni bela diri seawal usia kerana golongan dewasa sedikit sukar untuk dilatih.

“Kalau untuk yang macam umur 18, 20an lah senang cerita, mereka agak lambat sikit,” jelasnya.

Namun dengan minat dan semangat yang tinggi, tidak mustahil untuk melenturkan mereka, tambahnya lagi.

Published by
Ruszaini Ruslan