Bila Seliuh Jangan Sapu Minyak Panas, Ia Hanya Buat Kecederaan Jadi Lebih Teruk

Share

Sama ada anda aktif melakukan aktiviti larian, bermain bola sepak atau suka hiking antara kecederaan yang cukup sinonim ialah kaki terseliuh.

Walaupun ramai anggap ini merupakan kecederaan biasa namun ia menyebabkan rasa sakit yang amat serta boleh mengakibatkan berlakunya pembekakan yang sangat ketara.

Malangnya, ramai yang mengambil pendekatan menyapu minyak panas kerana menyangka ia boleh meredakan dan membantu memulihkan kecederaan tersebut.

Tanpa mereka sedar tindakan itu hanya boleh memburukkan lagi keadaan! Ini kerana menyapu minyak panas boleh menyebabkan kecederaan jadi semakin teruk.

MASKULIN tertarik dengan perkongsian yang pernah dilakukan oleh, Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan menyarakankan beberapa langkah yang perlu anda lakukan segera untuk mengurangkan kesakitan.

Dengan adanya panduan ini, anda dapat melakukan rawatan awal untuk mengelakkan kaki terseliuh semakin teruk.

Semoga perkongsiannya ini akan bermanfaat untuk anda lebih-lebih lagi jika anda kerap melakukan aktiviti bersukan seperti berlari, berjoging atau bersenam.

BACA: Elak Minum Air Kosong Selepas Bersenam & Gantikan Dengan Air Ini Kalau Tak Nak Cramp Kaki!

JANGAN LAKUKAN PERKARA-PERKARA INI SEJURUS KAKI TERSELIUH!

“Doktor, lepas pergi urut, kaki saya semakin bengkak.”

Keseliuhan pergelangan kaki adalah kecederaan yang agak lazim, dan kebanyakan orang akan cuba merawat kondisi ini sendiri. Namun jika salah caranya, kondisi kaki boleh jadi semakin teruk.

Untuk elakkan perkara itu berlaku, JANGAN lakukan perkara-perkara berikut:

1. JANGAN URUT

Elakkan terus mengurut kawasan yang tercedera. Mengurut sejurus sahaja kecederaan berlaku adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan bengkak lebih teruk. Urutan hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

2. JANGAN TUAM HABA

Tuaman haba akan menyebabkan salur darah mengembang lantas mempercepatkan dan mempertingkatkan proses keradangan. Tuaman menggunakan haba hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

3. JANGAN SAPU MINYAK PANAS/GAMAT

Jika ada luka di kulit di kawasan kecederaan, jangan sapu minyak panas atau minyak gamat kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan jangkitan pada luka. Minyak panas/gamat hanya dibenarkan jika di kawasan terseliuh itu tiada sebarang luka.

4. JANGAN ABAIKAN KESAKITAN

Jika kesakitan dan bengkak yang dialami terlalu kuat, itu tanda-tanda kecederaan yang anda alami agak parah. Jumpalah doktor, terutamanya jika ada kebas-kebas jari, sendi terkehel keluar, kelumpuhan, dan luka(mungkin open fracture).

Berikut pula perkara-perkara yang anda PERLU lakukan sebaik sahaja tercedera:

1. PERLU REHAT

Rehat di sini bermaksud mengurangkan gerakan sendi yang cedera dan tidak menggunakan kaki yang tercedera untuk berjalan. Gunakanlah tongkat ketiak(axillary crutches), tongkat lengan(elbow crutches) atau kerusi roda untuk berambulasi.

2. PERLU TUAM AIS

Sejurus selepas kecederaan lakukan tuaman ais. Tuaman ais selama 20 minit setiap 2-3 jam dapat mengurangkan kesakitan dan mengelakkan bengkak yang teruk. Rejim tuaman ais ini disarankan dibuat sehingga 48-72 selepas kecederaan.

3. PERLU BALUT

Balutan ini untuk beri tekanan dan mengurangkan pergerakan pada sendi yang tercedera. Ini dapat menghalang bengkak besar daripada terjadi. Namun, pastikan tidak balut terlampau ketat sehingga bekalan darah tersekat.

4. PERLU TINGGIKAN

Anggota yang tercedera perlulah diletakkan tinggi. Sewaktu duduk pastikan kaki tercedera sentiasa melunjur. Jangan biar tergantung di bawah. Sewaktu baring atau tidur, kaki cedera itu hendaklah lebih tinggi daripada badan. Boleh alas bantal di bawah kaki.

Itulah rawatan yang JANGAN dan rawatan yang PERLU dilakukan sejurus selepas terseliuh pergelangan kaki, agar cepat sembuh.

Setelah bengkak dan kesakitan surut, anda perlu lakukan senaman untuk kuatkan semula sendi yang tercedera. Boleh belajar senamannya di pusat fisioterapi.

Jika rawatan di rumah tidak mengurangkan bengkak dan kesakitan, itu tandanya anda kena berjumpa doktor. Khuatir ada ligamen yang terputus atau keretakan tulang. Jika tidak sempurna, kecederaan ini boleh akibatkan kesakitan kronik.

Semoga bermanfaat!

Kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Published by
Farizul Izwany Ibrahim