Bila Sakit Belakang Bukan Semuanya Slipped Disc

Share

Dianggarkan lebih 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Manakala di Amerika Syarikat, 25 peratus orang dewasa dilaporkan mengalami sakit pinggang yang berlaku selama sehari dalam tempoh tiga bulan terakhir manakala lapan peratus melaporkan mengalami sakit yang teruk tahun lalu.

Insiden sakit belakang boleh berlaku pada usia 20-an dan meningkat pada usia 60 hingga 65 tahun. Kajian di Malaysia melaporkan 12 peratus insiden sakit pinggang berlaku di luar bandar manakala 60 peratus dialami pemandu kenderaan komersial.

Antara simptom umum sakit belakang ialah sakit, kejang otot, kebas kaki, sakit yang menjalar dari belakang turun ke kaki kiri atau kanan.

“Sakit belakang juga boleh menjadi lebih ketara apabila pesakit batuk, bersin, menggeliat atau duduk untuk jangka masa yang panjang.

“Bagi mengelakkan gejala sakit belakang, orang ramai perlu melakukan banyak aktiviti fizikal seperti bersenam serta mengamalkan pola pemakanan yang sihat bagi mengelak obesiti.

“Mereka yang mengalami obesiti lebih berisiko mendapat sakit belakang. Kurangkan aktiviti ‘menghadap’ gajet kerana ia hanya lebih memudaratkan.”

Beberapa kaedah digunakan bagi merawat sakit belakang mengikut tahap keterukan. Antaranya ubat-ubatan, suntikan, fisioterapi serta pembedahan.

“Kebanyakan sakit belakang berlaku secara tiba-tiba dan membimbangkan tetapi tidak berbahaya. Kesakitan akan berkurang dengan mengambil ubat antiradang atau analgesik seperti parasetamol.

“Sakit belakang berlaku apabila anda cuba mendapatkan badan untuk melakukan sesuatu di luar kemampuannya. Ia tidak selalunya menunjukkan masalah yang lebih serius, malah kira-kira 80 hingga 90 peratus sembuh dalam tempoh singkat.”

Ramai yang salah anggap antara sakit belakang dan ̒slipped disc̓.

“Disc ialah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang dan berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang.

“Ia merosot dengan umur iaitu disc kehilangan kelembapannya. Perlu diingat bahawa tidak semua disc merosot menyebabkan sakit belakang.

“Ini kerana slipped disc berlaku apabila disc yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya ialah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut. Rasa sakit itu seperti pisau yang menghiris, mencucuk dan kebas.

“Slipped disc sebenarnya mudah dirawat. 70 peratus boleh sembuh dengan mengambil ubat yang betul. 20 peratus pula melalui suntikan epidural iaitu menyuntik ubat dengan tepat pada kawasan yang sakit. Selebihnya boleh dirawat dengan pembedahan sebagai pilihan akhir selain fisioterapi.”

Bagaimana sakit pinggang didiagnosis

  • Sejarah keluarga dan pemeriksaan fizikal
  • Ujian sinar X dan MRI

Panduan hindar sakit belakang

  • Mengangkat barang

Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang. Bawa beban rapat pada tubuh. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.

Dapatkan bantuan orang lain sekiranya sukar untuk mengangkat berseorangan.

  • Duduk

Rapatkan punggung dan sandarkan belakang pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.

Pastikan ketinggian tempat duduk sesuai dan kedudukan paha selari dengan lantai.

Gabungankan aktiviti dengan senaman/regangan/berjalan.

  • Memandu

Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut selaras dengan pinggang.

Sokong bahagian bawah belakang menggunakan tuala yang digulung atau penyokong jika perlu.

  • Tidur

Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.

Apabila tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya bersentuhan atau apabila tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut.

  • Berdiri dan berjalan

Tukar posisi berdiri dengan kerap jika perlu berdiri lama.

Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan.

Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke luar, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit rendah dan selesa.

 

Published by
Kim Rahim