Rasanya anda sebagai seorang lelaki yang boleh memandu atau memiliki kereta pastinya sudah tidak asing lagi dengan istilah ‘aligment’ atau penjajaran roda dan juga ‘balancing’ (mengimbangi).
Akan tiba suatu ketika anda akan merasakan kereta akan mudah senget ke kiri atau kanan apabila dipandu atau berasa tidak seimbang. Dan bila ini berlaku pastinya ramai akan suruh anda lakukan alignment dan balancing pada roda tayar.
Ingin tahu sama ada kereta anda perlu lakukan semua itu? Dalam kondisi pemanduan anda sebenarnya boleh merasakan sendiri. Namun ada beberapa perkara boleh anda perhatikan untuk benar-benar pasti sama ada kereta anda perlu dihantar ke bengkel atau tidak.
Pertama sekali anda kena fahami mengapa alignment perlu dilakukan. Proses alignment perlu dilakukan apabila kondisi dilakukan dimana dua tayar di bahagian hadapan perlu diselaraskan untuk sama rata ketika pemanduan atau bermaksud lurus kedepan.
Manakala tayar belakang pula perlu dalam keadaan sama lurus dengan tayar hadapan agar ia dapat berpusing serentak ketika di atas jalan raya. Alignment juga perlu diperiksa dan dilakukan untuk kesemua empat tayar.
Tetapi perlu anda tahu juga bahawa gandar atau axle bahagian belakang itu tidak semua model kereta boleh dilaraskan kerana ia bergantung kepada sistem suspensinya.
Berikut merupakan beberapa kondisi di mana anda perlu melakukan alignment.
TOE
Ini proses yang biasa dilakukan dilakukan. Ia bagi melihat bacaan yang merujuk pada tayar sama ada ia terkangkang keluar atau termasuk ke dalam. Ia juga dikenali dengan istilah Toe In (tayar terkangkang kedalam) dan Toe Out (tayar terkangkang keluar). Kebiasaannya untuk lakukan adjustment toe ini biasanya dalam lingkungan RM15 ke RM25 sahaja.
CAMBER
Situasi di mana tayar terkangkang keluar atau masuk dari pandangan hadapan. Ia biasanya boleh diatasi dengan menambah skru camber yang boleh laras. Jika tayar kereta kelihatan semakin terkangkang adalah disarankan melakukan ‘camber adjust’. Bagi proses ini pula kosnya dianggarkan di antara RM25 hingga RM60 atau lebih mengikut model kereta anda.
BALANCING
Ia adalah untuk memastikan putaran tayar beserta rim ini adalah seimbang pada paksi putarannya pada hub tayar. Proses balancing tayar juga sangat disarankan untuk dilakukan sekali dalam setiap enam bulan. Untuk lebih mudah bila pergi servis kereta, teruslah suruh mekanik periksa dan buat terus balancing.
Semoga perkongsian ini boleh memberikan manfaat untuk anda. Pandu cermat, jiwa selamat!
Jangan lupa untuk terus follow Facebook, YouTube dan semua laman media sosial MASKULIN untuk update lebih mantap!
https://www.youtube.com/watch?v=4TNLoxXce30&t=31s
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Legasi Siri BMW M, BMW Group Malaysia Kini Dalam Misi Mencari Model Tertua Di Negara Ini
Pada minggu hadapan atau secara tepatnya pada 24 Mei 2022 merupakan ulang tahun ’emas’ jentera BMW M GmbH. BMW Group Malaysia kini menyingkap beberapa jentera premium berprestasi tinggi paling ikonik pernah diperkenalkannya menerusi portfolio BMW M.
Ia bermula dari jentera BMW M1 hinggalah kepada BMW M8 yang tampil serba mewah. Kesemua model ini diangkat sebagai perintis dalam era dan segmen masing-masing, menjulang DNA M yang tersendiri.
Tidak asing dengan arena sukan permotoran pada tahun 60-an dan 70-an, BMW Motorsport GmbH pada asalnya diperkenalkan untuk melicinkan penglibatan pengeluar kenderaan premium ini dalam dunia pemanduan prestasi, di samping memenuhi permintaan para pemandu dalam pertandingan di mana kebanyakan kenderaan disediakan dan dijual oleh syarikat penala ketika itu.
Divisyen tersebut memulakan operasi dengan 35 orang kakitangan pada tahun 1972 dan lekas mengambil bahagian yang penting dalam BMW Group, lantaran ia hadir dengan barisan jurutera yang berkeparan dalam menggabungkan kefungsian sukan permotoran yang sebenar dengan estetika yang serba eksklusif lagi sporty.
Kereta pertama yang diusahakan oleh pasukan tersebut ialah 3.0CSL yang telah dibangunkan untuk Kejohanan Kereta Jelajah Eropah. Kereta lumba ini berjaya mendominasi kejohanan tersebut pada setiap tahun dari 1975 hingga 1979. 3.0CSL juga merupakan model bagi dua kereta contoh BMW Art Cars yang pertama, ia diwarnakan oleh dua orang artis terkenal bernama Alexander Calder dan Frank Stella.
BMW M1, Bapa Kenderaan BMW M
Namun, jentera legenda BMW M1 yang muncul sebagai kereta M yang sulung secara rasmi, diperkenalkan pada tahun 1978. Hadir dengan enjin sebaris 6 silinder berkuasa tinggi dan nama yang menarik, BMW M1 telah menjadi pemain utama dalam dunia automotif sejak ia dirungkaikan.
Hanya 456 unit yang dikeluarkan, model sukan perlumbaan ini telah dinobatkan sebagai kenderaan sport jalan raya yang terpantas di Jerman (264.7km/j). Jika dibandingkan, angka ini sebenarnya lebih rendah daripada jentera versi perlumbaan yang mempunyai kelajuan tertinggi mencecah lebih 300km/j, yang dikemudikan oleh Niki Lauda untuk memenangi tiga perlumbaan BMW M1 ProCar.
Reka bentuknya yang bersifat abadi digandingkan dengan teknologi perlumbaan sebenar yang dikagumi oleh para peminat kereta dan perlumbaan sehingga ke hari ini.
Meskipun BMW M memberi tumpuan hampir secara eksklusifnya ke atas pembangunan kereta prestasi dan perlumbaan, ramai peminat BMW mendambakan kuasa dan jata BMW M pada model kereta jalan raya. Justeru BMW 5 Series yang sulung terlahir dalam varian BMW 530, BMW 533i dan BMW 535i, mengorak haluan bagi keupayaan penaiktarafan BMW M Performance mulai detik itu.
Biarpun sekilas pandang tampak seperti sedan premium yang standard, barisan jentera tersebut muncul sebagai kereta empat tempat duduk berprestasi tinggi yang pertama merevolusi dunia kenderaan sport menerusi teknologinya yang bersofistikasi tinggi.
BMW M5, BMW M, Buatan Tangan
Pada tahun 1985, perungkaian siri BMW M5 (E28) telah membentuk asas bagi kelahiran sebuah legenda automotif. Menggandingkan keelegenan dengan prestasi luar biasa dan inovasi teknikal, ia terus memukau para peminat sehingga ke hari ini.
BMW M535i telah digunakan sebagai penanda aras dalam kelas sedan bisnes, yakni sebelum BMW E28 diperkenalkan. Sejak perungkaiannya, BMW M5 telah merintis kesinambungan antara aspek prestasi tinggi dan keelegenan dalam segmennya. Enjin 3.5 liter sebaris dengan 6 silinder yang dimuatkan pada jentera ini mampu menjana 286 kk, yang pada asalnya telah dibangunkan untuk jentera BMW M1. Seperti yang diketahui ramai, seluruh generasi BMW E28 telah dibina menggunakan tangan sehingga tamat produksinya.
BMW M6 – Kereta Sport Mewah BMW M Sulung
BMW M635CSi merupakan antara model yang paling signifikan dalam sejarah BMW M. Pada tahun 1984, jentera empat tempat duduk ini meneruskan konsep enjin sebaris 6 silinder berprestasi tinggi yang dibawakan oleh BMW M1 beberapa tahun lebih awal.
Tapi tidak seperti mana-mana model BMW M yang sebelumnya, ia merangkap simbiosis antara kemewahan dan prestasi tinggi dengan begitu sempurna. Digelar ‘Sharknose’ dan ‘Bayern-Express’, ‘Enam’ yang pertama telah berada dalam produksi selama lebih 13 tahun – 1976 hingga 1989 – menjadikannya siri kenderaan BMW dengan tempoh produksi paling lama.
BMW M4, Interpretasi Jentera Berkelajuan Tinggi yang Baharu.
BMW M4 (F82) buat julung kali diperkenalkan di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) pada tahun 2014 di samping BMW M3 generasi kelima. Ketika itu, BMW M GmbH telah memutuskan untuk mengasingkan nama Coupé dan Convertible daripada Sedan tersebut yang terus disebut BMW M3.
BMW M4 yang sulung menjadi tarikan buat mereka yang menginginkan jentera yang berpaksikan pemandu. Dilengkapi dengan keupayaan pacuan roda belakang dan enjin pengecas turbo yang sama seperti BMW M3, jentera BMW M4 ini menyerlah dengan potensi prestasi luar biasanya.
Pada tahun 2016, Competition Package telah diperkenalkan dan ia menawarkan penambahbaikan bagi komponen seperti spring, peredam, palang antiguling, di samping beberapa penaiktarafan pada irasnya serta peningkatan kuasa sebanyak 19 kkb.
BMW M8 – Lasak dan Diperhalusi.
Pada awal tahun 1990-an, para jurutera BMW telah membangunkan prototaip BMW M8 berdasarkan BMW 8 Series Coupé (E31) pada waktu itu. Bagaimanapun, BMW M8 yang pertama tidak pernah dirungkaikan selama hampir dua dekad sehinggalah tahun 2010.
Walaupun tidak pernah dikeluarkan sebagai model produksi, prototaip unik ini dipercayai mampu menempa nama di seluruh dunia jika ia dipasarkan. Apa yang menjadikan prototaip BMW M8 (E31) luar biasa ialah enjin 6 liter yang dimuatkan di dalamnya.
Biarpun enjin V12 lebih digemari para peminat kereta, enjin ini memiliki keunikannya yang tersendiri – memetik ilham daripada enjin S70 yang terkenal dengan prestasi cemerlangnya. BMW M8 menyerlahkan keelegenan yang bersifat abadi, dan modifikasinya melengkapi iras keseluruhan jentera coupé sport besar ini dengan sempurna, menggambarkan sebuah jentera BMW M yang hampir sedia untuk produksi.
BMW X5 M dan BMW X6 M – Memenuhi Citarasa Kembara dan Kelajuan.
15 tahun yang lalu, BMW M telah mempersembahkan barisan SAV miliknya yang sulung: BMW X5 M dan BMW X6 M yang buat julung kalinya didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang serta pengecas turbo.
Casis yang diberi penalaan sport serta enjin berkuasa tinggi pada kedua-dua jentera SAV berprestasi tinggi ini masih menjanjikan dinamik pemanduan yang mengagumkan sehingga ke hari ini. Bila ia diperkenalkan pada tahun 2009, dinamik pemanduannya tidak dapat ditandingi oleh jentera-jentera lain, menjadikan BMW X5 M dan BMW X6 M kenderaan yang paling popular dalam kelasnya ketika itu dan reputasinya masih lagi utuh.
Hari ini, famili BMW X yang disuntik nafas oleh DNA BMW M telah dilanjutkan untuk mencakupi jentera seperti BMW X3 M Competition dan BMW X4 M Competition tahun 2019, membekalkan prestasi kereta M dalam bentuk jentera SAV yang lebih kompak. Kedua-dua SAV BMW M ini memetik populariti yang dicetuskan oleh BMW X5 M, lantas menarik perhatian para pemilik dan peminat M yang baharu.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia turut berkongsi, “Bagi BMW Group, M kekal sebagai huruf yang terunggul di dunia kerana ia melambangkan barisan jentera berprestasi tinggi kami yang terlahir daripada jiwa sukan permotoran yang tulen. Kekaguman terhadap kuasa, kelajuan dan dinamik telah meletakkan M di peta dunia sejak tahun 1972. Setelah 50 tahun, kami berasa teruja untuk meraikan legasi BMW Motorsport GmbH bersama para pemilik dan peminat di luar sana. Titik sejarah ini tidak dapat dicapai tanpa kesetiaan mereka selama ini.”
Misi Mencari Model-Model BMW M Tertua di Malaysia.
Sempena sambutan ulang tahun BMW M, BMW Group Malaysia ingin mencari model BMW M yang tertua bagi setiap siri model di dalam negara dan menyeru para pemilik di Malaysia untuk menghantar penyertaan masing-masing. Jika anda rasa anda tahu pemilik BMW M yang tertua di Malaysia, sertai misi pencarian ini dengan memberikan butiran mereka melalui link di sini.
Para pemenang akan berpeluang untuk membawa pulang hadiah BMW M serba eksklusif dan jentera mereka akan diberi sorotan oleh BMW Group Malaysia. Seorang pemenang akan dipilih bagi setiap siri model BMW M, dan hadiah-hadiah istimewa bagi penyertaan yang menarik juga menanti para peserta. Penyertaan akan ditutup pada 8 Jun 2022.
Kredit: BMW Malaysia
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Ford Ranger Raptor Generasi Baharu Hadir Dengan Varian Enjin Diesel Bi-Turbo 2.0L
Tidak dinafikan di negara kita permintaan dan penggunaan trak pikap cukup popular terutamanya di kalangan mereka yang perlu melakukan pergerakan ke kawasan off-road yang lebih mencabar.
Salah satu model trak pikap yang sentiasa menjadi pilihan ialah Ford Ranger Raptor. Selepas memperkenalkan model 3.0L bi-turbo V6 petrol, Ford kini menampilkan varian baharu dengan enjin 2.0L bi-turbo diesel pada harga RM248,888 (harga atas jalan tanpa insurans).
Selaku pengedar tunggal jenama Ford, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) menawarkan varian baharu ini bagi memenuhi permintaan ramai pelanggan di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair berkata, “Sebagai trak off-road berprestasi hasil buatan Asia Pasifik, permintaan untuk Ranger Raptor melebihi jangkaan. Respon terhadap Ranger Raptor generasi baharu amat baik sejak kami melancarkan varian V6.
Berdasarkan maklum balas yang kami terima, kami tahu ramai pelanggan Malaysia menginginkan pilihan enjin dan enjin Diesel Bi-Turbo 2.0L adalah penambahan hebat untuk rangkaian kami.”
Dipadankan dengan transmisi e-shifter automatik 10-kelajuan baharu, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu memberikan prestasi sehingga 210 PS pada 3,750 rpm dan tork 500 Nm pada 1,750-2,000 rpm.
PENGGUNAAN BAHAN API
Varian 2.0L Bi-Turbo Diesel juga mempunyai pelbagai ciri untuk menawarkan penggunaan bahan api yang kompetitif sebanyak 8.2L/100km.
Ciri-ciri ini termasuk fungsi stop/ start automatik, sistem pemantauan bateri, alternator berkecekapan tinggi, lampu siang LED (DRL), pemanasan transmisi aktif, minyak transmisi dengan kelikatan sangat rendah, cecair aksel belakang sintetik untuk mengurangkan kehilangan kuasa parasit dalam penghantaran dan kipas penyejuk dengan motor tanpa berus untuk mengurangkan kehilangan elektrik.
Direka untuk sepadan dengan varian V6, Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu menampilkan casis yang sama.
Ia termasuk C-pillar, ruang muatan dan tayar simpanan, serta rangka unik untuk penyerap hentakan jounce, shock tower dan galas hentakan belakang, kesemuanya digabungkan untuk memastikan Ranger Raptor generasi baharu dapat menangani keadaan off-road yang mencabar.
Ia juga menampilkan suspensi direka semula yang sama dengan penyerap hentakan FOX Internal Bypass 2.5 inci baharu di bahagian hadapan, penghubung Watt yang disempurnakan di bahagian belakang, dan sistem pemacu empat roda canggih dengan kotak transmisi dua kelajuan yang dikawal secara elektronik, bersama dengan rear locking differentials.
Penyerap hentakan FOX Internal Bypass 2.5 inci talaan Ford Performance adalah yang paling canggih pernah ada pada Ranger Raptor dan diisi dengan minyak berinfus Teflon™ yang mengurangkan geseran sebanyak 50 peratus berbanding Raptor sebelumnya.
Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu juga dilengkapi dengan Kawalan Bottom-Out oleh FOX dan plat bash keluli kuat berketebalan 2.3mm, bersama dengan under shield dan transfer case shield. Juga terdapat tow hooks berkembar di hadapan dan belakang untuk pemulihan yang fleksibel, serta tali penyeimbang untuk pemulihan regangan di pasir dalam atau lumpur tebal.
Sama seperti varian V6, ia juga menawarkan Terrain Management System yang dikemas kini dengan tujuh mod pemanduan boleh pilih, tetapi tanpa sistem ekzos aktif. Tujuh mod pemanduan tersebut adalah Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan Baja.
REKA BENTUK TERKINI
Setiap mod pemanduan yang boleh dipilih membantu menyesuaikan banyak elemen – dari enjin dan transmisi hingga kepekaan dan kalibrasi ABS, kawalan daya cengkaman dan kestabilan, stereng, tindak balas throttle, dan juga paparan kluster instrumen dan sentuhan pusat – semua untuk sepadan dengan keadaan jalan.
Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu akan menikmati reka bentuk luar serba baharu. Ciri-ciri utama termasuk lengkungan roda yang meluas, huruf F-O-R-D yang menonjol di gril, bumper yang dipisahkan dari gril, dan lampu hadapan LED Matrix dengan lampu siang hari LED gaya C-clamp tersendiri.
Reka bentuk tayar aloi 17 inci yang mantap diliputi dengan tayar BFGoodrich® all-terrain KO2®, plat teras Ford Performance, side step aluminium baharu dan lampu LED di sekeliling melengkapkan penampilan lasak yang berfungsi di jalan raya mahupun off-road.
Tema reka bentuk berprestasi tinggi dan bertenaga turut dikekalkan sehingga ke ruang kabin, termasuk kerusi kulit sporty inspirasi jet pejuang, panel instrumen dengan penonjolan nuansa Code Orange, gear knob kulit dengan e-shifter, stereng kulit gred premium, dan paddle shifters salutan magnesium.
Ruang kabin digital Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel generasi baharu sama seperti Raptor V6, termasuk kluster instrumen digital 12.4 inci dan skrin tengah 12 inci dengan sistem infotainmen SYNC® 4A Ford dan penyambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ciri-ciri dalaman standard lain termasuk sistem bunyi Bang & Olufsen® dengan lapan pembesar suara, empat port pengecas USB, pengecas Qi tanpa wayar, soket 12 volt, dan kamera 360 darjah.
Ranger Raptor 2.0L Bi-Turbo Diesel menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan sistem bantuan pemandu terkini yang ditingkatkan seperti varian V6.
Ini termasuk tujuh beg udara, Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go dan Lane Centering, lampu kecemasan, sistem maklumat titik buta (BLIS) dan High Beam Assist, Reverse Brake Assist, Evasive Steer Assist dan amaran Rear Cross-Traffic.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Tip Jimat Minyak Kereta Bila Dalam Perjalanan Balik Kampung
Hari ini kita sudah memasuki 21 Ramadan, bermakna tidak lama lagi ramai di antara kita semua akan mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman.
Pelbagai medium pengangkutan akan menjadi pilihan namun majoritinya akan pulang dengan menaiki kereta.
Jika anda sebagai ketua keluarga pastinya keselamatan ahli keluarga dan juga keselesaan mereka juga menjadi keutamaan.
Besar kemungkinan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi segala persiapan mungkin anda sudah siapkan. Servis kereta pun sudah. Tapi bagaimana caranya untuk jimatkan penggunaan minyak dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
Kalau ikut caranya memang anda boleh jimatkan kos minyak. Jadi apa yang kita boleh buat untuk jimatkan minyak atau tak bazirkan minyak kereta kita adalah dengan beberapa perkara ini. Ada cara yang betul pemandu harus lakukan.
IKUT HAD LAJU
1Ikut kelajuan yang ditetapkan. Bawa laju memang menghabiskan minyak. Tapi bawa dengan kelajuan yang consistent boleh elak kita daripada bazirkan minyak okay ?
BUKA TINGKAP
Apa salahnya pagi-pagi keluar rumah dalam pukul 7 atau 8 buka lah tingkap. Atau petang – petang. Cuaca pun dah redup kan.
KEMAS KINI LALUAN TERDEKAT
Sekarang ni semua orang bergantung kepada Waze. Bukan sebab kita tak tahu jalan tetapi Waze bagi tahu mana jalan pintas shortcut sekiranya berlakunya kesesakan. Secara tak langsung boleh menjimatkan minyak.
BACA: Tip Beli Baju Raya Last Minute, Tak Kena Gaya Jimat Berganda-Ganda!
BERHENTI BILA HUJAN
Elakkan bawa kereta semasa hujan. Rintangan air di jalan raya buat kereta lebih berat dan perlukan tekanan minyak yang tinggi
PERIKSA TEKANAN TAYAR
Periksa tekanan tayar kereta anda. Jika kurang angin maka lagi banyak menggunakan minyak kerana ia tidak pergerakannya tidak lancar.
MUATAN SESUAI
Bawalah barang yang tidak keterlaluan. Ingat anda mahu pulang beraya bukannya pindah rumah. Jadi pastikan muatan kereta pun biarlah berpada dan sesuai.
Semoga perkongsian MASKULIN kali ini mampu memberikan manfaat untuk anda.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI