Kesihatan

Bila Doktor Tanya “Sudah Makan?”, Bagaimana Nak Jawab?

Share

Apabila berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan, antara soalan yang ditanya adalah sama ada anda sudah makan atau belum.

Lebih terperinci, doktor sebenarnya ingin tahu adakah anda ada mengambil apa-apa makanan pada hari berkenaan.

Namun masih ramai masyarakat kita yang tidak begitu faham sepenuhnya apakah erti ‘makan’ yang dimaksudkan oleh doktor.

Menurut perkongsian seorang doktor perubatan Dr Zamir Hilman Hamzah, ramai masyarakat menganggap diri mereka sudah makan hanya jika mereka sudah makan sajian yang berat.

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Dr Zamir memberitahu perkara itu berdasarkan pengalamannya mengendalikan pesakit terutamanya dari kalangan orang berusia.

Berkata menerusi hantaran video

dalam laman Instagram, Dr Zamir pada awalnya mempercayai sahaja jawapan pesakitnya yang mendakwa belum makan apabila ditanya.

Namun, timbul rasa musykil apabila Dr Zamir mendapati bacaan gula pesakitnya tinggi walaupun masih awal di pagi hari.

“Dulu-dulu saya percaya sahaja. Lama-lama saya musykil sebab setiap kali dia jumpa, gula tinggi. Pagi itu pun dah tinggi, pukul 10 pagi tinggi juga,” ujarnya di dalam video itu.

Apabila ditanya sama ada pesakitnya ada makan di pagi hari, mereka kekal dengan jawapan belum makan.

Belum Makan, Tapi Ada Makan Biskut

Oleh itu, Dr Zamir bertanya lanjut dengan menukar soalannya sama ada mereka ada menjamah sebarang makanan ringan seperti snek atau kuih-muih.

“Biskut ada, tadi ada ambil biskut. Tak makan nasi lagi lah doktor, nasi tak makan,” demikian jawapan pesakitnya kepadanya.

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Jawapan yang sama diterima Dr Zamir apabila mengendalikan pesakit lain, malah ada di antara mereka yang mendakwa hanya makan sekali sahaja dalam tempoh sehari.

“Kalau sekali sehari gula takkan tinggi, kencing manis boleh okay terus. Tak payah makan ubat,” persoal Dr Zamir.

Rupanya pesakit berkenaan ada menjamah makanan ringan seperti biskut, kuih-muih dan juga buah-buahan seperti pisang.

Itu belum termasuk minuman seperti kopi campuran segera tiga dalam satu (3-in-1) dan minuman malt coklat, tambahnya.

Apa-Apa Yang Masuk Mulut, Dikira Makan

Jelas Dr Zamir, apa-apa sahaja benda yang masuk ke dalam badan anda melalui mulut adalah dikira sebagai makan, lebih-lebih lagi jika ianya mengandungi kalori yang tinggi.

“Benda yang ada kalori tinggi masuk ke dalam badan, itu dikira makan. Apa-apa yang masuk dalam mulut, itu dikira makan,” jelasnya.

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Oleh itu, jawablah dengan sejujurnya jika selepas ini anda diajukan soalan sama ada anda sudah makan atau belum oleh doktor.

Melainkan anda sedang berpuasa, jawablah “sudah makan” atau “ada makan” jika sememangnya anda ada mengunyah atau menelan sesuatu pada hari berkenaan.

Lebih baik, anda jelaskan sahaja kepada doktor senarai makanan dan minuman yang telah anda jamah pada hari tersebut.

Sumber: Instagram @drzamirhilman

BACA: Santan Tiada Kolestrol, Selama Ini Ia ‘Difitnah’

 

Published by
Ruszaini Ruslan