Sekarang di peringat global kes COVID-19 dilihat semakin meningkat hari demi hari. Malah beberapa negara sudah mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan lockdown untuk warga mereka di mana setiap orang dinasihati untuk berada di rumah.
Keadaan di negara kita masih lagi terkawal walapun terdapat kebimbangan ia akan menjadi lebih teruk. Kita sebagai orang awam harus memberi pujian yang terbaik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah bertungkus-lumus memastikan keadaan terkawal.
Namun seperti yang disarankan oleh KKM, orang awam dinasihati mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani penularan COVID-19. Antara langkah yang dilihat boleh membantu ialah dengan menggunakan hand sanitizer atau pembersih tangan.
Memetik kenyataan dari Centers for Disease Control and Prevention (CDC) Amerika Syarikat, mereka mencadangkan untuk setiap orang membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun.
Namun jika tidak terdapat air dan sabun maka bolehlah menggunakan hand sanitizer dengan sekurang-kurangnya kandungan 60% alkohol. Ia mampu membantu kita untuk mengelakkan berlakunya jangkitan dan penularan kepada orang lain.
Tanggalkan sebarang aksesori tangan terutamanya di bahagian jari seperti cincin. Jika terdapat kotoran seperti minyak yang melekat di antara cincin dan jari, bersihkanlah dahulu.
Picit cecair hand sanitizer ke atas salah satu tapak tangan. Gunalah dengan kuantiti yang munasabah dan tidak terlalu sedikit atau banyak. Anggarkan ia dapat disapu di keseluruhan permukaan tangan.
Gosokkkan kedua-dua belah tangan bersama. Pastikan setiap permukaan di bahagian tapak tangan termasuk di celah-celah jari digosok dengan baik.
Kemudian gosokkan kedua-dua tapak tangan ke bahagian luar tangan.
Genggam penumbuk anda dan gosok tapak tangan ke bahagian luar genggaman tangan.
Akhir sekali, lurutkan di antara kedua-dua tapak tangan dimulai dari bahagian paling atas jari hingga ke ibu jari.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda semua agar sentiasa berada dalam keadaan lebih bersih dan selamat.
Stay safe everyone!