AIDA SYARINAZ AHMAD ADLAN (PSYCHIATRY UM SPECIALIST CENTRE)
Apabila sosial media menjadi landasan untuk menunjukkan siapa lebih hebat, ia bukan lagi tempat untuk mengeratkan hubungan, malah ia menjadi pameran untuk meraih pujian dan populariti dalam realiti kehidupan yang penuh pancaroba.
Namun hakikatnya, ramai dalam kalangan anda yang mengalami “gangguan mental” ini apabila mereka gemar menunjukkan kemewahan mereka di laman sosial. Hakikatnya, mereka sendiri kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Penyakit ini bukan sahaja mendapat sambutan dari kalangan orang biasa, malah mereka yang bergelar selebriti juga tidak terlepas dari permasalahan ini. Ada antara mereka sanggup berhabis duit beribu demi menunjukkan di khalayak ramai bahawa mereka ini punya duit dan setaraf dengan orang kaya di sekeliling. Walhal, nak makan pun bercatu.
BAGAIMANA FENOMENA INI TERJADI?
Masyarakat kala ini menghabiskan majoriti masa mereka di alam maya. Baik untuk kerja atau hiburan. Suka ataupun tidak ini hakikat yang harus diterima. Ada kalanya kita tidak dapat membezakan realiti dan maya, dan kita percaya bahawa apa yang dipamerkan di sosial media itu adalah nyata. Kita berlumba-lumba untuk mempunyai kehidupan yang setara dengan mereka, walaupun tidak mampu.
TAASUB DENGAN KEMEWAHAN WALHAL TIDAK BERKEMAMPUAN
Fenomena ini boleh dikaitkan dengan doktrin “materialism”, iaitu kecenderungan untuk memberi prioriti kepada material/kebendaan dan imej sosial, berbanding dengan aspek kehidupan yang lain, seperti nilai-nilai murni, intelek, spiritual dan sebagainya. Memiliki dan mempamerkan barang-barang fizikal dilihat sebagai kebahagiaan dan ukuran kejayaan seseorang. Materialism berkait rapat dengan refleksi seseorang yang berjiwa kosong, yang memerlukan pengesahan daripada orang lain untuk merasa bagus tentang diri sendiri. Sebagai contoh, kebahagiaan bergantung kepada berapa banyak like anda dapat apabila anda memuat naik gambar di laman Instagram.
Mereka mungkin terpengaruh dengan apa yang ditayangkan di sosial media, di mana kebendaan mewah kunci kebahagiaan. Tapi umum mungkin lupa, apa yang ditayangkan di media sosial bukanlah refleksi kehidupan sebenar. Ia merupakan tayangan gaya hidup yang direka-reka, ditapis dan diedit supaya nampak sempurna. Sekiranya tidak berkemampuan, tetapi tetap gigih ingin hidup gaya mewah, menampakkan seseorang itu tidak mempunyai perancangan kewangan yang matang dan mempunyai literasi kewangan yang lemah. Faktor ini boleh menyebabkan mereka terdedah kepada stres yang berpanjangan. Umum sedia maklum, tahap stres yang kronik menyebabkan seseorang itu mengalami gangguan mental, yang jika tidak dikawal baik boleh menyebabkan masalah kesihatan mental.
POPULARITI DI SOSIAL MEDIA MENJADI PUNCA UTAMA?
Saya sendiri bukan seorang social media influencer, jadi saya bukanlah orang yang tepat untuk memberi komen tentang hal ini. Namun, berdasarkan pandangan peribadi, sekiranya seseorang mahu menjadi social media influencer, dia harus mempunyai keupayaan mental yang tinggi. Mereka yang memilih untuk menjadi popular ini akan terdedah dengan pandangan masyarakat terhadap anda secara menyeluruh. Apa yang dipamerkan bukan hanya mengundang komen-komen positif, malah mungkin menerima lebih komen-komen negatif. Sekiranya individu tersebut mudah terkesan dan stres dengan komen-komen sebegini, ia berisiko untuk mendapat masalah kesihatan mental.
“Biar papa asal bergaya” bagaimana seseorang menguruskan wang?
Saya bukanlah arif dalam bidang kewangan, namun seseorang harus pandai mengendalikan kewangan dengan memiliki literasi kewangan dan perancangan yang baik, di mana prioriti belanjawan diberi mengikut keutamaan yang betul. Ia merupakan pilihan gaya hidup. Tidak dikategorikan sebagai penyakit mental. Namun, pilihan gaya hidup sebegini berkecenderungan untuk terdedah kepada perancangan kewangan yang lemah.
DIKATEGORIKAN SEBAGAI KEMURUNGAN?
Masyarakat kala ini menghabiskan majoriti masa mereka di alam maya. Baik untuk kerja atau hiburan. Suka ataupun tidak kita terpengaruh dengan apa yang dilihat di laman sosial media. Seperti yang dinyatakan, kebanyakan gaya hidup bergantung kepada pengaruh sosial media. Ada kalanya kita tidak dapat membezakan realiti dan maya, dan masyarakat sentiasa percaya bahawa apa yang dilihat di laman media itu betul. Kita berlumba-lumba untuk mempunyai kehidupan yang setara dengan mereka, walaupun tidak mampu.
Apabila individu mula disogok dengan kehidupan orang lain, maka mereka berasa stres yang tidak terkawal, mereka berisiko lebih tinggi untuk mengalami depresi jika tindakan untuk mengatasi masalah ini tidak diambil sewajarnya.
RAWATAN UNTUK MASALAH INI
Apabila seseorang mengalami masalah kesihatan mental, kami sebagai psikiatrist tidak akan terus menerus memberi ubat tanpa melihat keadaan seseorang itu secara total. Rawatan kami berlandaskan bio-psycho-sosial-lifestyle. Setelah penilaian penuh dilakukan, sekiranya individu tersebut memerlukan ubat (biological), maka ada seleksi ubat yang boleh diberi bersesuaian dengan simptom-simptomnya. Ada juga kes-kes yang lebih ringan, tidak memerlukan ubat tetapi lebih kepada talking therapy (psychological). Selain itu, pengubahsuaian sosial dan gaya hidup (lifestyle) yang bersesuaian untuk mengatasi depresi akan dicadangkan kepada individu terbabit.
KAWALAN SOSIAL MEDIA HARUS DIPERKETATKAN
Tentu sekali. Selain pengawalan masa penggunaan sosial media, pengawalan dari segi kelakuan dan etika menggunakan sosial media juga perlu diambil perhatian. Sebagai contoh, mungkin umum perlu diingatkan untuk tidak berkongsi gambar-gambar yang tidak bersesuaian sewenang-wenangnya. Umum juga perlu tahu bahawa menulis komen-komen negatif keterlaluan dan tidak sensitif boleh dikategorikan sebagai cyber-bullying dan tentunya ia sesuatu kelakuan yang tidak bagus. Sifat imposing sesetengah pengguna sosial media yang beranggapan semua individu patut memiliki ciri-ciri atau nilai-nilai yang sama seperti dirinya juga tidak patut diterapkan. Manusia mempunyai sifat yang pelbagai.
Kesedaran bahawa memiliki material dan kebendaan serta gaya hidup mewah bukanlah punca kebahagiaan diri. Malah sekiranya seseorang individu itu terlalu fokus ke arah gaya hidup sebegini, mungkin dia perlu melihat ke dalam diri sendiri,sekiranya ada elemen-elemen kekosongan jiwa atau kesunyian. Ada kalanya seseorang individu tersebut bertindak membeli barang-barang yang mewah sebagai kompensasi untuk mengisi kekosongan diri supaya berasa yakin dengan diri sendiri, berasa in-control serta diterima masyarakat. Namun tanpa disedari, ‘kebahagiaan’ sebegini hanya sementara. Bak kata mereka “Harta wang ringgit tak akan mampu membeli kebahagiaan.”