Kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang dicetuskan oleh selebriti, Alif Satar telah mencetuskan fenomena apabila masjid-masjid di seluruh Malaysia sudah mula dipenuhi Jemaah pada waktu Subuh.
Bukan sahaja di Malaysia, negara-negara jiran juga turut terpanggil untuk turut serta dalam kempen yang baik ini.
Bagaimanapun, penting untuk kita sentiasa beringat untuk memperbetulkan niat melaksanakan ibadah ini agar ianya mampu bertahan sebagai rutin harian kita.
Pendakwah dan pensyarah Fakulti Pengajian al Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin tampil memberi peringatan mesra terhadap semua yang menyertai kempen ini.
Menerusi hantaran video di laman media sosialnya, Dr Kamilin meluahkan kebimbangan yang fenomena ini tidak akan berkekalan jika dilakukan dengan niat yang salah.
@drkamilinjamilin 💡 NASIHAT PENTING Geng Subuh Macam Jumaat~ #Muhasabah #fyp ♬ original sound – Dr. Kamilin Jamilin
“Bila kita bangun solat atau buat apa-apa ibadah sekalipun, betulkan niat.
“Kita pergi surau atau masjid semata-mata kerana Allah, bukan sebab nak jumpa selebriti atau ada jamuan kambing ke atau tengah viral,” pesan Dr Kamilin.
Tanpa tarikan-tarikan sedemikian, orang ramai tidak akan mahu untuk melakukan ibadah yang sepatutnya menjadi tujuan utama, jelasnya.
Pesannya lagi, letakkanlah ganjaran besar yang dijanjikan oleh Allah dalam melakukan apa jua ibadah.
“Bangun, pergi, solat, sebab nak dapat ganjaran super duper besar yang Allah janji nak bagi.
“Ganjaran berjalan ke masjid dalam gelap, ganjaran dua rakaat Fajar, ganjaran Tahiyatul Masjid, zikir, silaturahim dan macam-macam lagi. Itu yang kita nak! Itu first yang kita kena letak atas kepala”.
Beliau bimbang dengan semangat rakyat Malaysia yang ada ‘pasang surutnya’.
“Kita risau orang Malaysia ni jenis bermusim. Time tengah viral, semangat semua. Boleh tengoklah macam-macam isu kan? Kejap nanti, surut balik.
“Sangat rugi macam tu. Kalau boleh, biarlah kita isitiqamah sampailah kita pejamkan mata nanti. Biarlah dapat lima waktu berjemaah sampai mati,” tambahnya.
Oleh itu, Dr Kamilin menegaskan betapa pentingnya keikhlasan untuk istiqamah dalam apa jua perkara.
“Dengar sini baik-baik, kita takkan mampu istiqamah tanpa ikhlas.
“Bak kata Imam Malik, apa yang dibuat kerana Allah, untuk Allah, itulah yang akan berterusan”.
Bagaimanapun, beliau tetap kagum dan memuji inisiatif Geng Subuh Macam Jumaat ini dan mendoakan agar semua yang menyertainya terus istiqamah.
“Memang amazing! Banyak masjid yang penuh luar biasa Subuh. Moga terus barakah dan istiqamah.Susah nak nampak sebelum ini
“Boleh pun bangun kalau nak, itulah pengajarannya,” ujarnya.