Sebuah filem aksi berjudul Rebel: Berontak Untuk Berotak menjadi filem penampilan pertama Datuk Awie sebagai seorang pengarah.
Memetik laporan Astro Gempak, peluang ini muncul selepas pertemuan vokalis kumpulan Wings itu dengan Allahyarham Ahmad Ibrahim, atau lebih dikenali sebagai Mat London.
“Arwah dan penerbit filem ini bertemu saya dan kami berbincang mengenai ‘Rebel’. Saya agak terkejut apabila mereka turut menawarkan saya mengarahkan filem ini. Ini satu tanggungjawab besar, tetapi saya terharu dan menerima dengan hati terbuka,” ujar Awie.
Filem ini menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique sebagai pelakon utama, disamping Shikin Kamal, Azlan Komeng, dan Awie sendiri. Rebel: Berontak Untuk Berotak mengisahkan perseteruan antara Luka (Ben Amir) dan Bono (MK K-Clique) dalam sebuah pertubuhan yang sama. Awie menegaskan bahawa walaupun idea dan cerita asal adalah cetusan dirinya, ia tidak berkaitan dengan mana-mana pihak atau pertubuhan.
“Saya ingin memaparkan proses ‘baik pulih’ dalam sebuah pertubuhan yang mungkin mengalami kepincangan. Intipati utama adalah sikap ‘rebel’ atau memberontak dalam diri seseorang. Setiap manusia tidak dilahirkan untuk menjadi jahat; tentu ada punca yang menyebabkan sikap itu timbul. Itu yang saya ingin tonjolkan,” jelasnya.
Pemilihan Ben Amir dan MK K-Clique sebagai teraju utama adalah kerana Awie merasakan industri perfileman perlu menampilkan muka baharu dalam filem aksi. “Ben Amir sebelum ini dikenali dengan naskhah romantik. Saya ingin mengubah dia menjadi hero dalam filem aksi. MK pula lebih menonjol dalam bidang nyanyian dan kini aktif berlakon. Saya lihat dia mempunyai kebolehan dan bakat yang besar,” tambahnya.
Sebagai filem sulung arahannya, Awie berharap Rebel: Berontak Untuk Berotak akan diterima penonton. “Tugas sebagai pengarah lebih sukar berbanding pelakon, tetapi saya belajar banyak perkara. Mungkin ada kelemahan dalam filem pertama ini, tetapi saya akan perbaiki jika diberi peluang pada masa depan,” ujarnya.
Zamin Fakry Zainol, penerbit filem ini, berkata pemilihan Awie sebagai pengarah dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang lakonan. “Kami yakin pengalaman Awie dapat diterjemahkan dengan baik sebagai pengarah. Sepanjang penggambaran, beliau melaksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Filem Rebel: Berontak Untuk Berotak dihasilkan dengan kos hampir RM1 juta dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 2 Mei 2024. Pihak penerbit berharap filem ini akan mendapat tempat di hati penonton, terutama penggemar filem aksi.
Kredit Sumber & Foto: Gempak
BACA: Geng Subuh Macam Jumaat: Alif Satar Sasar Perluaskan Ke UK