Bersenam Tiga Kali Sehari, Isa Turunkan Berat Badan 100 Kg Kepada 60 Kg Dalam Empat Bulan,

Share

Selamat menyambut tahun baru 2018, semoga kita juga boleh berjaya menurunkan berat badan seperti mereka yang pernah kami kongsikan kisahnya di sini.

Encik Isa Abdullah yang juga merupakan seorang jurulatih gym, kali ini kami akan kongsikan kepada anda mengenai perjalanan kisah sebenar bagaimana beliau berjaya menurunkan berat badannya dari 100 Kg kepada 60 Kg dalam masa 4 bulan sahaja. Menakjubkan bukan dan itu bukanlah sesuatu yang mustahil baginya. Jadi, jika anda juga ingin turunkan berat badan, inilah masanya untuk anda merealisasikan impian tersebut dengan menjadikan kejayaan Encik Isa Abdullah sebagai inspirasi dan pembakar semangat anda.

Catatan berat sepanjang musim Jom Kurus Edisi 1 dan 2

Menjuarai peringkat kebangsaan kategori lelaki Jom Kurus 1 Malaysia Kevin Zahri, JK1M dua kali berturut-turut untuk edisi 1 dan 2 sememangnya tidak diduga. Matlamat utama sebenarnya adalah mencapai berat badan dan komposisi badan ideal untuk pencapaian peribadi bagi meneruskan gaya hidup sihat dan cergas bersama-sama rakyat Malaysia yang lain.

Berat sebelum menyertai JK1M: 104kg [22 December 2013]

Berat Permulaan: 96.5kg [11 Januari 2014]

Berat Akhir: 56.9kg [23 April 2014]

Berat Semasa: 64kg [23 Mei 2014]

Petua turunkan 10kg – 15kg dalam 6 minggu

Senaman ini saya sarankan kepada mereka yang beratnya 80kg ke bawah.
Lakukan senaman 3 kali sehari tanpa henti sehingga minggu ke-6. Dengan hanya kira-kira 30 minit setiap sesi. Contohnya: 6.40pagi, 5.30petang dan 8.30 malam. Masa bersenam boleh diubah suai mengikut keselesaan dan kesesuaian diri.

Langkah 1: Berjalan pantas

Langkah 2: Berlari

Langkah 3: Joging

Langkah 4: Memecut

Untuk sesi 6.40pagi dan 5.30petang: Ulang beberapa kali bermula daripada langkah 1 ke langkah 4 di atas sehingga 30-40 minit. Ianya sesuai dilakukan di luar rumah, padang pusat rekreasi atau trek larian.

Untuk sesi 8.30 malam: Boleh mencuba senaman kardio sama ada berjalan pantas atau berlari pada tanjakan (treadmill) atau berbasikal dengan sedikit latihan kekuatan dengan membuat sebarang angkatan berat. Cadangan: lakukan kardio selama 40 minit dan latihan kekuatan sekadar 10-20 minit.

Bagi mereka yang berat 80kg ke atas (mahupun mereka yang baru memulakan senaman) saya sarankan terlebih dahulu supaya hanya sekadar berjalan seperti biasa sejauh 5km setiap hari terlebih dahulu sehingga hari ke-21 supaya ianya menjadi rutin. Ini berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri – sepanjang 3 minggu yang pertama saya hanya mampu berjalan sahaja.

Saya tidak berupaya berlari mahupun lompat bintang! Pasti semput, tak cukup nafas. Mulai hari ke-22 barulah saya selang-selikan dengan berjalan biasa dengan berjalan pantas. Pada minggu kelima dan keenam barulah saya meningkatkan intensiti kepada berjalan biasa > Joging > berjalan pantas secara berselang seli. Cara ini juga sesuai untuk mereka yang baru memulakan sesi senaman bertujuan menguatkan otot betis dan peha serta mengurangkan kecederaan pada tumit dan buku lali.

Amalan Pemakanan

Makanlah 5 kali sehari. Jangan sesekali mengabaikan atau mengorbankan masa sarapan mahupun makan tengahari anda. Tak kisah la makan apa saja asalkan cukup senaman. Gandakan pengambilan putih telur, dada ayam atau ikan dalam menu harian [Utamakan pengambilan protein di dalam pemakanan harian]. Kurangkan pengambilan makanan berminyak, manis dan bergaram. Berhenti makan sebelum kenyang. Minum air suam selepas makan untuk memberikan rasa kenyang. Jika ada air sejuk (contoh: jus oren) minum air sejuk sehingga habis terlebih dahulu sebelum menjamah makanan.

Kepada mereka yang tidak sukakan aktiviti berjalan atau berlari, bolehlah memilih sebarang aktiviti kardio lain contohnya: zumba, senam robik, melompat tali, berbasikal, aktiviti mendaki, meredah hutan dan sebagainya. Pasti ramai yang suka menari dgn iringan muzik segar, rancak dan terkini.

Jom Kurus dan Cergas! Anda juga boleh melakukannya!

Ketika bersenam haruslah banyakkan bersabar. Bersenamlah mengikut kemampuan masing-masing jangan terlalu memaksa diri. Bersenam dalam keadaan riang gembira. Elakkan sebarang stress. Saya mengucapkan anda semua selamat berjaya, semoga perkongsian ini dapat membantu mencapai berat badan ideal anda.

Jadi, bagaimana anda sekarang setelah baca kisah inspirasi diet Encik Isa Abdullah? Cuba semak semula gaya pemakanan anda selama ini, kekerapan bersenam serta aktiviti fizikal rutin harian. Jika berada dalam keadaan yang membimbangkan dengan berat badan yang berlebihan, inilah masanya untuk anda berubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan bermakna.

SUMBER : Kevin Zahri

 

 

Published by
Kim Rahim