Berjalan semasa tidur, walaupun bukan sejenis gangguan yang mengancam nyawa, namun memberi risiko kepada individu berkenaan dan orang lain.
Lebih-lebih lagi tidur berjalan ini bukan gangguan yang terpencil tetapi biasa dihidapi golongan kanak-kanak dan awal remaja.
Mereka bukan sahaja boleh berjalan semasa tidur, tetapi juga boleh melakukan perbuatan seperti membuang air di dalam tandas, memandu kereta, bercakap, membuka pintu almari atau lebih bahaya lagi boleh mencederakan orang lain dan membunuh tanpa menyedarinya.
Penyakit berjalan semasa tidur ini biasanya berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja yang berumur lingkungan tiga hingga 14 tahun.
“Kebiasaannya penyakit itu hilang dengan sendirinya ketika pesakit berusia lewat remaja,” katanya.
Kanak-kanak dan awal remaja lebih mudah mendapat masalah ini berbanding orang dewasa disebabkan kitaran tidur mereka yang masih belum matang seperti orang dewasa.
Kebiasaannya satu kitaran tidur yang lengkap dengan pergerakan mata pantas atau Rapid Eye Movement (REM) dan bukan REM, mengambil masa selama kira-kira 90 hingga 100 minit dan setiap malam seseorang itu melalui beberapa pusingan tidur REM dan bukan REM.
Setiap pusingan itu dibahagikan kepada lima fasa dan tidur berjalan dikatakan berlaku semasa nyenyak di dalam tidur bukan REM (fasa tiga atau empat) di awal malam.
Seseorang itu kebiasaannya melalui kitaran tidur hingga peringkat empat dan lima secara puratanya.
Namun apa yang berlaku pada kanak-kanak dan awal remaja, putaran tidur mereka hanya sampai ke peringkat empat.
Tambahan pula, putaran peringkat tiga dan empat kanak-kanak dan awal remaja itu tidak sama dengan dewasa.
“Terdapat perkara-perkara sensitif yang berlaku pada fasa tiga dan empat yang menyebabkan kecenderungan untuk berlaku sleepwalking.
” Sebab itu pada peringkat akhir remaja, kebanyakan 80 hingga 90 peratus penyakit tidur berjalan yang dihadapi hilang sebab putaran fasa tidur mereka telah matang,” katanya.
Tingkah laku
Mereka yang mengalami masalah tidur berjalan, kebiasaannya tidak akan mencederakan dirinya sendiri.
Selain sukar untuk bangun, mereka juga tidak memberi tindak balas ketika bercakap.
“Ketika ia berlaku, mata pesakit akan terbuka dan kelihatan berkaca-kaca namun tidak ada memori ketika itu yang menyebabkan mereka tidak ingat apa yang berlaku.
“Kalau dia bercakap pun, butiran perkataan yang keluar itu perlahan dan sukar difahami. Senang kata, istilahnya, bercakap merepek,” katanya.
Kebiasaannya, mereka akan duduk di atas katil dan kemudian berjalan serta melakukan perbuatan yang berulang-ulang.
Ketika itu jangan dikejutkan mereka, sebaliknya perlahan-lahan tunjukkan mereka supaya kembali tidur.
“Penderita juga tidak melaluinya setiap malam, sebaliknya berlaku secara berkala, mungkin seminggu sekali, atau sebulan sekali.
Cara atasi
Kebiasaannya doktor akan mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlaku masalah bagi memudahkan dirujuk pada pakar tertentu.
Sebagai contoh, sekiranya berpunca daripada denyutan jantung yang tidak teratur, pesakit akan menasihatkan pesakit merujuk kepada pakar jantung.
Namun sekiranya membabitkan tekanan perasaan, trauma yang dahsyat atau masalah tidur yang tidak teratur, beberapa langkah perlu diambil untuk menangani tekanan.
Teknik-teknik menenangkan jiwa yang boleh dilakukan antaranya ialah meditasi, yoga atau zikir bagi orang beragama Islam.
Untuk membantu penderita tidur berjalan, aspek keselamatan harus dititik beratkan di dalam bilik atau di dalam rumah bagi mengelakkan kecederaan.
“Walaupun mereka tidak akan mencederakan dirinya, namun dibimbangi barang-barang di dalam rumah yang tidak selamat boleh mencederakan mereka seperti benda tajam dan yang mudah pecah seperti kaca yang perlu dijauhi.
Langkah lain dengan memasang pintu keselamatan di luar bilik mereka atau di tangga serta menambah kunci keselamatan pada pintu bagi mengelakkan seseorang yang tidur berjalan ini keluar dari rumah.