Pada zaman kini ramai anak muda lebih cenderung untuk memilih kerjaya profesional yang sesuai dengan latar belakang pendidikan mereka. Keselesaan kerja dalam suasana berhawa dingin memang ada kelebihan tersendiri.
Berbeza pula dengan usahawan tani yang harus berdepan risiko tinggi dan harus bekerja dengan cukup keras. Namun jika segalanya berhasil ia mampu memberikan pendapatan yang berlipat kali ganda lebih tinggi daripada mereka yang kerja makan gaji.
Itulah antara risiko yang diambil oleh seorang lelaki berusia 37 tahun, Mohamad Feisal Mohamad Norawi apabila berhenti kerja sebagai seorang wartawan. Kini selepas makan gaji, dia mampu tersenyum lebar melihatkan usaha yang dicurahkan dan berbakti kepada tanah berpotensi membuahkan hasil lumayan.
Usahawan tani berinovasi ini membangunkan tanaman vanila sebagai punca pendatan utamanya. Pernah bertugas sebagai wartawan sebuah akhbar tempatan, beliau memutuskan berhenti kerja selepas melihat potensi besar pasaran dan permintaan tinggi vanila.
Mengusahakan tanaman vanila di Temerloh, beliau memulakan projek ini dengan wang modal simpanan sendiri dan pinjaman daripada keluarga berjumlah RM20,000.
Antara cabaran yang dilaluinya ialah pengalaman ditipu oleh syarikat yang menjanjikan untuk membekalkan 1,000 anak benih vanila. Selepas menerima hanya 400 anak benih, pembekal itu ‘lari’. Akibat kejadian itu dia hampir berputus asa.
Namun dengan tekad dan semangat yang tinggi dia tak pernah mengalah. Kegigihannya membuat kajian sendiri dengan menggunakan Intertent terhadap tumbuhan ini akhirnya membuahkan hasil apabila pokok yang ditanamnya mula mengeluarkan hasil.
Tanaman vanilanya dieksport ke banyak negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia dan Jerman. Tanamannya kini dikomersilkan di bawah jenama Amani Vanilla Temerloh.
Walaupun tanamannya belum lagi memberikan hasil penuh, Mohamad Feisal kini boleh tersenyum kerana pulangan jangka panjang yang lumayan berikutan harga vanila di pasaran dunia semakin meningkat dan boleh mencecah RM2,000 sekilogram.
Buat anda yang berminat dengan tanaman vanila bolehlah melawat page Facebook beliau iaitu Vanila Temerloh.