Dugaan berdepan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti bukanlah satu perkara yang cukup ringan. Bagi mereka yang sedang atau pernah berdepan masalah ini pasti tahu kesukaran yang dialami.
Masalah berat badan juga cukup sinonim dengan penyakit kronik ‘tiga serangkai’ seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Lebih menakutkan jika ia berlaku pada usia yang masih muda.
FIT JOURNEY Maskulin pada kali ini sempat menemu bual seorang lelaki berusia 25 tahun yang pernah berdepan masalah tersebut. Mohamad Fazrin Bin Ahmad Fauzi yang merupakan seorang penjawat awam dan penulis novel separuh masa berkongsi bagaimana dia pernah mengalami masalah tekanan darah tinggi yang berkait rapat dengan masalah berat badan dialaminya suatu ketika dahulu.
Ikuti temu bual bersama jejaka berasal dari Kedah ini untuk mengetahui pengalamannya berdepan cabaran tersebut.
Sebelum turunkan berat badan, bagaimana tabiat pemakanan anda?
Sebelum turunkan berat badan, tabiat pemakanan saya amatlah di luar kawalan. Saya seorang yang sukar mengatakan tidak jika dipelawa untuk makan. Selain itu, saiz hidangan makanan juga lebih untuk seorang makan.
Waktu makan saya juga tidak teratur. Sebelum ini juga ketika sedang aktif dalam dunia penulisan saya sering makan makanan berat pada waktu lewat malam. Ini kerana waktu menulis saya selalunya selepas jam 12 pagi sehingga ke Subuh.
Ketika alami masalah berat badan, apakah masalah kesihatan yang anda alami?
Masalah kesihatan yang saya alami sebelum ini adalah tekanan darah tinggi. Setiap kali ke klinik dapatkan rawatan, saya sering ditegur oleh doktor untuk kawal pemakanan dan kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergaram.
Kata doktor, saya masih terlalu muda untuk mendapatkan ubat bagi mengawal tekanan darah. Jadi, doktor menyarankan saya untuk berjaga-jaga dari awal sebelum keadaan jadi lebih teruk. Selain masalah itu, kedua-dua belah kaki juga sering berasa kebas.
Bagaimanakah perasaan anda ketika berdepan masalah berat ketika itu? Adakah berdepan tekanan perasaan, kurang keyakinan diri atau mudah putus asa?
Ya. Pada waktu itu, tekanan perasaan sememangnya ada. Saya sering fikir, “sampai bilalah aku nak besar macam ni?” Tetapi, ia lebih kepada kurang keyakinan diri. Saya susah dan malu untuk bergaul dengan orang ramai jika dalam kalangan mereka, hanya saya seorang sahaja yang berbadan besar.
Pada ketika itu, saya merasakan diri saya ‘introvert’. Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya akan keluar pada waktu malam untuk mengelakkan dipandang orang ramai.
Pernahkah anda jadi mangsa buli atau diejek disebabkan penampilan ketika itu?
Jadi mangsa ejekan? Paling kerap sejak dari bangku sekolah lagi. Untuk pengetahuan semua, saya seorang yang gemar bersukan walaupun berbadan besar. Namun, sukan yang saya pilih merupakan sukan yang tidak perlu banyak bergerak.
Saya pernah terpilih untuk mewakili pasukan sekolah untuk sukan bola tampar disebabkan ketinggian saya. Namun, disebabkan tidak tahan dengan ejekan, saya buat keputusan untuk menarik diri. Selain itu, Ketika ingin menumpang kenderaan milik rakan, saya sering dipersalahkan jika kereta terasa berat untuk memecut. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.
Apa yang membuatkan anda ingin berubah dan turunkan berat badan?
Perkara yang membuatkan saya ingin berubah dan turunkan berat badan adalah dari segi pemakaian. Saya merupakan seorang yang gemar berfesyen dan memperagakan pakaian ‘OOTD’. Impian saya ketika itu juga adalah ingin menjadi seorang ikon fesyen dan peragawan untuk pereka yang menghasilkan karya HYPEBEAST. Namun, disebabkan kebanyakan peragawan di Malaysia bertubuh ‘fit’. Jadi, saya terpaksa lupakan hasrat saya itu.
Selain itu, pengaruh orang sekeliling juga memainkan peranan penting untuk saya berubah. Untuk pengetahuan anda, saya bekerja dengan angkatan tentera. Saya selalu rasa sedikit kurang keyakinan jika ingin bersemuka dengan mereka yang kebanyakannya bertubuh normal dan ‘fit’.
Perkara pertama anda lakukan untuk turunkan berat badan?
Perkara pertama yang saya lakukan adalah dengan mencuba diet Atkins. Saya ada membuat carian di internet untuk diet yang paling berkesan. Walaupun berisiko tinggi serta tidak bagus untuk kesihatan, saya tetap bertekad untuk cuba. Dalam masa selama sebulan lebih saya berjaya hilangkan 30 kilogram. Kebetulan masa itu bulan puasa, jadi saya hanya bersahur bubur oat, susu kurma dan dua gelas air kosong.
Untuk berbuka pula saya sekadar minum air yang kurang manis dan beberapa keping kuih-muih. Selain daripada itu, saya juga langsung tidak ambil nasi dan hanya makan lauk-pauk tanpa kuah serta sayur-sayuran yang direbus.
Alhamdulillah berjaya walaupun dengan menjaga pemakanan. Namun, langit tidak selalunya cerah. Beberapa kali juga saya gagal hingga satu tahap saya dah putus asa dengan diet Atkins. Sekali saya ambil nasi, berat badan saya akan naik semula dengan mendadak.
Perkara paling sukar dalam usaha nak turunkan berat badan?
Perkara paling sukar dalam usaha untuk turunkan berat badan adalah mentaliti dan pemahaman salah orang sekeliling. Bagi mereka, untuk diet saya perlu menjaga pemakanan setiap hari.
Kena makan ayam, ikan, sayur rebus serta kukus. Tanpa perasa dan minyak. Saya tak nafikan dan saya terima teguran mereka dengan hati terbuka. Namun, sebelum tegur pastikan mereka benar-benar arif tentang ilmu diet dahulu. Pernah sekali saya terasa hati hingga saya langsung tidak makan pada waktu itu. Sudahnya, saya diserang gastrik.
Boleh kongsi apakah rahsia sebenar anda berjaya turunkan berat badan?
Rahsia sebenar saya berjaya menurunkan berat badan tidaklah gah seperti orang lain. Tetapi, sekadar kata-kata motivasi. Apa yang saya amalkan sehingga sekarang adalah dengan kata-kata, “Makan Ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”.
Kenapa kena berhenti sebelum kenyang? Sebab, kalau terlalu kenyang saya akan jadi seorang yang sangat malas untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian. Saya juga selalu berpegang kepada kata-kata, “Kita adalah apa yang kita makan”. Jadi, kalau kita makan dengan kuantiti yang lebih, maka berat badan kita juga akan turut berlebihan.
Jika rasa nak putus asa, apa yang membangkitkan semula semangat anda?
Jika rasa nak putus asa, saya akan cari semula gambar Ketika saya berbadan besar dan bandingkan dengan gambar ketika saya berjaya turunkan berat badan. Saya juga akan sarung semula baju saya ketika saya berjaya turunkan berat badan. Jika rasa sedikit tidak selesa dengan perubahan tubuh, itu bermakna saya perlu tingkatkan lagi usaha untuk menurunkan berat badan.
Boleh kongsi rutin pemakanan dan senaman sekarang.
Rutin pemakanan saya kini hanyalah sekadar makan berat sekali sehari (lengkap karbohidrat, protein dan sayur-sayuran hijau yang mengandungi fiber). Pada waktu malam pula, saya cuma bancuh minuman ‘meal replacement’ yang rendah kalori, mempunyai zat dan nutrien untuk tubuh serta dapat mengenyangkan.
Dari segi senaman senaman pula, saya hanya lakukannya di rumah disebabkan kekangan masa. Saya akan habiskan masa selama dua jam, selalunya selepas pulang dari kerja. Ia bermula dengan berlari setempat untuk tempoh 10 hingga 20 minit. Kemudian, saya akan melakukan senaman tabata 50×3 set. Akhir sekali, saya akan lakukan aktiviti senaman ‘strength training’ untuk membina otot menggunakan dumbbell dan resistance bands.
Tip buat mereka yang ingin turunkan berat badan dan berjaya seperti anda?
Pemakanan merupakan faktor paling utama. Yang kedua, senaman. Kalau anda rasa tidak mampu untuk terus menjaga pemakanan dengan ketat. Mulakan dengan kawal portion. Jika sebelum ini anda makan dua pinggan nasi, boleh tukar kepada sepinggan sahaja. Kalau sudah Berjaya makan sepinggan nasi, boleh tukar kepada separuh, kemudian suku.
Lauk pula, pastikan kuah jangan ‘banjir’ dan sayur pula lebihkan sayuran hijau yang tinggi fiber. Bab senaman, boleh mulakan dengan brisk walk di taman. Kemudian, boleh pelbagaikan lagi senaman dengan menyertai aktiviti senamrobik/Zumba. Bila dah konsisten, barulah anda boleh tingkatkan level senaman anda. Banyakkan buat carian di internet. InsyaAllah, saya doakan anda semua Berjaya! Keep it up.
Terima kasih kepada Mohamad Fazrin kerana sudi berkongsi pengalaman serta tip yang MASKULIN yakin boleh memberikan banyak manfaat kepada anda pembaca kami. Semoga terus berusaha untuk kita sama-sama mendapatkan kesihatan dan kecergasan fizikal dan mental yang terbaik!