Dugaan berdepan dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti bukanlah satu perkara yang cukup ringan. Bagi mereka yang sedang atau pernah berdepan masalah ini pasti tahu kesukaran yang dialami.
Masalah berat badan juga cukup sinonim dengan penyakit kronik ‘tiga serangkai’ seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Lebih menakutkan jika ia berlaku pada usia yang masih muda.
FIT JOURNEY Maskulin pada kali ini sempat menemu bual seorang lelaki berusia 25 tahun yang pernah berdepan masalah tersebut. Mohamad Fazrin Bin Ahmad Fauzi yang merupakan seorang penjawat awam dan penulis novel separuh masa berkongsi bagaimana dia pernah mengalami masalah tekanan darah tinggi yang berkait rapat dengan masalah berat badan dialaminya suatu ketika dahulu.
Ikuti temu bual bersama jejaka berasal dari Kedah ini untuk mengetahui pengalamannya berdepan cabaran tersebut.
Sebelum turunkan berat badan, bagaimana tabiat pemakanan anda?
Sebelum turunkan berat badan, tabiat pemakanan saya amatlah di luar kawalan. Saya seorang yang sukar mengatakan tidak jika dipelawa untuk makan. Selain itu, saiz hidangan makanan juga lebih untuk seorang makan.
Waktu makan saya juga tidak teratur. Sebelum ini juga ketika sedang aktif dalam dunia penulisan saya sering makan makanan berat pada waktu lewat malam. Ini kerana waktu menulis saya selalunya selepas jam 12 pagi sehingga ke Subuh.
Penampilan dahulu
Ketika alami masalah berat badan, apakah masalah kesihatan yang anda alami?
Masalah kesihatan yang saya alami sebelum ini adalah tekanan darah tinggi. Setiap kali ke klinik dapatkan rawatan, saya sering ditegur oleh doktor untuk kawal pemakanan dan kurangkan pengambilan makanan berminyak dan bergaram.
Kata doktor, saya masih terlalu muda untuk mendapatkan ubat bagi mengawal tekanan darah. Jadi, doktor menyarankan saya untuk berjaga-jaga dari awal sebelum keadaan jadi lebih teruk. Selain masalah itu, kedua-dua belah kaki juga sering berasa kebas.
Sebelum transformasi turun berat badan
Bagaimanakah perasaan anda ketika berdepan masalah berat ketika itu? Adakah berdepan tekanan perasaan, kurang keyakinan diri atau mudah putus asa?
Ya. Pada waktu itu, tekanan perasaan sememangnya ada. Saya sering fikir, “sampai bilalah aku nak besar macam ni?” Tetapi, ia lebih kepada kurang keyakinan diri. Saya susah dan malu untuk bergaul dengan orang ramai jika dalam kalangan mereka, hanya saya seorang sahaja yang berbadan besar.
Ads
Pada ketika itu, saya merasakan diri saya ‘introvert’. Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya akan keluar pada waktu malam untuk mengelakkan dipandang orang ramai.
Inilah perubahan hebat dialaminya
Pernahkah anda jadi mangsa buli atau diejek disebabkan penampilan ketika itu?
Jadi mangsa ejekan? Paling kerap sejak dari bangku sekolah lagi. Untuk pengetahuan semua, saya seorang yang gemar bersukan walaupun berbadan besar. Namun, sukan yang saya pilih merupakan sukan yang tidak perlu banyak bergerak.
Saya pernah terpilih untuk mewakili pasukan sekolah untuk sukan bola tampar disebabkan ketinggian saya. Namun, disebabkan tidak tahan dengan ejekan, saya buat keputusan untuk menarik diri. Selain itu, Ketika ingin menumpang kenderaan milik rakan, saya sering dipersalahkan jika kereta terasa berat untuk memecut. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.
Penampilan kini
Apa yang membuatkan anda ingin berubah dan turunkan berat badan?
Perkara yang membuatkan saya ingin berubah dan turunkan berat badan adalah dari segi pemakaian. Saya merupakan seorang yang gemar berfesyen dan memperagakan pakaian ‘OOTD’. Impian saya ketika itu juga adalah ingin menjadi seorang ikon fesyen dan peragawan untuk pereka yang menghasilkan karya HYPEBEAST. Namun, disebabkan kebanyakan peragawan di Malaysia bertubuh ‘fit’. Jadi, saya terpaksa lupakan hasrat saya itu.
Selain itu, pengaruh orang sekeliling juga memainkan peranan penting untuk saya berubah. Untuk pengetahuan anda, saya bekerja dengan angkatan tentera. Saya selalu rasa sedikit kurang keyakinan jika ingin bersemuka dengan mereka yang kebanyakannya bertubuh normal dan ‘fit’.
Perkara pertama anda lakukan untuk turunkan berat badan?
Ads
Perkara pertama yang saya lakukan adalah dengan mencuba diet Atkins. Saya ada membuat carian di internet untuk diet yang paling berkesan. Walaupun berisiko tinggi serta tidak bagus untuk kesihatan, saya tetap bertekad untuk cuba. Dalam masa selama sebulan lebih saya berjaya hilangkan 30 kilogram. Kebetulan masa itu bulan puasa, jadi saya hanya bersahur bubur oat, susu kurma dan dua gelas air kosong.
Untuk berbuka pula saya sekadar minum air yang kurang manis dan beberapa keping kuih-muih. Selain daripada itu, saya juga langsung tidak ambil nasi dan hanya makan lauk-pauk tanpa kuah serta sayur-sayuran yang direbus.
Alhamdulillah berjaya walaupun dengan menjaga pemakanan. Namun, langit tidak selalunya cerah. Beberapa kali juga saya gagal hingga satu tahap saya dah putus asa dengan diet Atkins. Sekali saya ambil nasi, berat badan saya akan naik semula dengan mendadak.
Perbezaan etara dulu dan sekarang
Perkara paling sukar dalam usaha nak turunkan berat badan?
Perkara paling sukar dalam usaha untuk turunkan berat badan adalah mentaliti dan pemahaman salah orang sekeliling. Bagi mereka, untuk diet saya perlu menjaga pemakanan setiap hari.
Kena makan ayam, ikan, sayur rebus serta kukus. Tanpa perasa dan minyak. Saya tak nafikan dan saya terima teguran mereka dengan hati terbuka. Namun, sebelum tegur pastikan mereka benar-benar arif tentang ilmu diet dahulu. Pernah sekali saya terasa hati hingga saya langsung tidak makan pada waktu itu. Sudahnya, saya diserang gastrik.
Boleh kongsi apakah rahsia sebenar anda berjaya turunkan berat badan?
Rahsia sebenar saya berjaya menurunkan berat badan tidaklah gah seperti orang lain. Tetapi, sekadar kata-kata motivasi. Apa yang saya amalkan sehingga sekarang adalah dengan kata-kata, “Makan Ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang”.
Ads
Kenapa kena berhenti sebelum kenyang? Sebab, kalau terlalu kenyang saya akan jadi seorang yang sangat malas untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian. Saya juga selalu berpegang kepada kata-kata, “Kita adalah apa yang kita makan”. Jadi, kalau kita makan dengan kuantiti yang lebih, maka berat badan kita juga akan turut berlebihan.
Jika rasa nak putus asa, apa yang membangkitkan semula semangat anda?
Jika rasa nak putus asa, saya akan cari semula gambar Ketika saya berbadan besar dan bandingkan dengan gambar ketika saya berjaya turunkan berat badan. Saya juga akan sarung semula baju saya ketika saya berjaya turunkan berat badan. Jika rasa sedikit tidak selesa dengan perubahan tubuh, itu bermakna saya perlu tingkatkan lagi usaha untuk menurunkan berat badan.
Boleh kongsi rutin pemakanan dan senaman sekarang.
Rutin pemakanan saya kini hanyalah sekadar makan berat sekali sehari (lengkap karbohidrat, protein dan sayur-sayuran hijau yang mengandungi fiber). Pada waktu malam pula, saya cuma bancuh minuman ‘meal replacement’ yang rendah kalori, mempunyai zat dan nutrien untuk tubuh serta dapat mengenyangkan.
Dari segi senaman senaman pula, saya hanya lakukannya di rumah disebabkan kekangan masa. Saya akan habiskan masa selama dua jam, selalunya selepas pulang dari kerja. Ia bermula dengan berlari setempat untuk tempoh 10 hingga 20 minit. Kemudian, saya akan melakukan senaman tabata 50×3 set. Akhir sekali, saya akan lakukan aktiviti senaman ‘strength training’ untuk membina otot menggunakan dumbbell dan resistance bands.
Tip buat mereka yang ingin turunkan berat badan dan berjaya seperti anda?
Pemakanan merupakan faktor paling utama. Yang kedua, senaman. Kalau anda rasa tidak mampu untuk terus menjaga pemakanan dengan ketat. Mulakan dengan kawal portion. Jika sebelum ini anda makan dua pinggan nasi, boleh tukar kepada sepinggan sahaja. Kalau sudah Berjaya makan sepinggan nasi, boleh tukar kepada separuh, kemudian suku.
Lauk pula, pastikan kuah jangan ‘banjir’ dan sayur pula lebihkan sayuran hijau yang tinggi fiber. Bab senaman, boleh mulakan dengan brisk walk di taman. Kemudian, boleh pelbagaikan lagi senaman dengan menyertai aktiviti senamrobik/Zumba. Bila dah konsisten, barulah anda boleh tingkatkan level senaman anda. Banyakkan buat carian di internet. InsyaAllah, saya doakan anda semua Berjaya! Keep it up.
Terima kasih kepada Mohamad Fazrin kerana sudi berkongsi pengalaman serta tip yang MASKULIN yakin boleh memberikan banyak manfaat kepada anda pembaca kami. Semoga terus berusaha untuk kita sama-sama mendapatkan kesihatan dan kecergasan fizikal dan mental yang terbaik!
https://www.youtube.com/watch?v=S4zA1vMbKFc&t=1s
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Tidak dinafikan negara kita cukup kaya dengan pelbagai jenis juadah makanan, pemanis mulut, minuman dan juga buah-buahan. Ia satu anugerah yang cukup dihargai oleh setiap warganegara Malaysia.
Namun di sebalik anugerah itu kita juga perlu peka dengan aspek kesihatan dan pengambilan makanan yang seimbang.
Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai jumlah penghidap diabetes tertinggi di Asia? Malah negara kita juga antara paling ramai mengikut populasi pendduk selepas Arab Saudi!
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), peratusan pesakit diabetes di Malaysia telah meningkat daripada 13.4 peratus pada 2015 kepada 18.3 peratus pada tahun 2019.
Kencing manis atau diabetes merupakan penyakit yang memberikan komplikasi yang cukup buruk kepada penghidapnya. Ia merupakan penyakit yang serius berlaku disebabkan paras gula dalam badan yang tinggi.
Laporan tersebut juga mendapati satu dalam lima orang individu dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes atau bersamaan dengan 3.9 juta penduduk Malaysia.
Dan diabetes juga menjadi salah satu faktor utama terjadinya sakit jantung dan juga angin ahmar. Ramai yang beranggapan hanya orang yang berbadan besar sahaja mempunyai risiko diabetes.
Namun anda silap kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika anda terutama tidak menjaga makan dan banyak mengambil makanan bergula maka risiko anda lebih tinggi.
Ramai juga lelaki terutamanya di peringkat usia muda seakan-akan tidak percaya bahawa mereka juga terdedah dengan diabetes. Jika anda mempunyai petanda-petanda di bawah, silalah segera mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut dengan doktor.
Sering Rasa Haus
Penghidap kencing manis juga sering berdepan masalah ini. Apabila membuang air kecil dengan banyak ia akan menyebabkan badan anda kehilangan air dan akan menyebabkan rasa dahaga. Menurut statistik, kebanyakan penghidap penyakit diabetes juga kerap cuba menghilangkan rasa meminum air manis. Dan ini akan memburukkan lagi keadaan.
Selalu Rasa Letih
Salah satu petanda yang paling ketara bagi seseorang yang menghidap kencing manis ialah akan berasa cepat letih.
Perkara yang berlaku seperti ini merupakan satu hal yang serius kerana ia mungkin disebabkan makanan yang anda makan tak dipecahkan dan digunakan oleh sel-sel di dalam badan secara menyeluruh.
Perkara ini berlaku apabila anda kehilangan kalori dalam air kencing dan anda tidak menyerap semua kalori daripada gula dalam darah.
Hal boleh berlaku kerana badan mempunyai paras gula (glukosa) yang tinggi. Hal ini juga boleh apabila terjadi kekurangan hormon Insulin atau keberkesanan fungsi Insulin yang menurun dengan mendadak.
Mudah Marah
Kalau anda sendiri perasan diri sering marah-marah maka perlulah ambil perhatian. Penghidap kencing manis pada tahap awal akam sering berasa tidak senang duduk dan ada gejala kemurungan.
Anda berasa letih dan tak mahu berbuat apa-apa malah rasa malas nak keluar daripada rumah dan nak tidur saja.
Jika anda mengalami apa-apa kecederaan dan medapati ia sukar sembuh maka ada something wrong. Sistem imun di dalam badan anda dan juga proses merawat luka pada badan tidak berjalan dengan baik apabila anda memiliki paras gula yang tinggI.
Pesakit diabetes mempunyai parut luka yang jelas kerana proses penyembuhan yang perlahan.
Penglihatan Terjejas
Semasa peringkat awal diabetes, kanta mata anda tak dapat memberi fokus dengan baik kerana glukosa terkumpul di bahagian mata. Lalu ia menyebabkan bentuk asal kanta mata berubah untuk sementara waktu. Selepas enam ke lapan minggu mata anda akan pulih seperti biasa. Tapi anda jangan risau kerana diabetes tak akan menyebabkan anda buta.
Semoga perkongsian ini memberikan anda sedikit sebanyak tentang kesedaran akan risiko penyakit kencing manis atau diabetes.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Menurunkan berat badan merupakan satu perjuangan yang tidak semua boleh hadapai dengan mudah. Ini kerana apabila ingin mula berkorban meninggalkan hidangan kegemaran ramai akan tumpas.
Namun, segalanya bakal berubah apabila kita tetapkan focus untuk menurunkan berat badan. Tidak kiralah apa tujuan anda untuk kurus, yang penting saiz badan sentiasa mempengaruhi kadar kesihatan kita.
Ramai orang mahu kurus bukan sehingga digelar ‘si keding’ kita hanya mahu badan sihat dan tiada masalah untuk membeli pakaian.
Seorang pengguna twitter, Abam Besar atau Hakimi Hamdan telah membuat ciapan perjalanan kurusnya yang mengambil masa selama 5 bulan. Ia telah mendapat ulang kicau sebanyak 2.4K serta 3.5 tanda suka. Berikut adalah perkongsian kisah perjalanan kurusnya.
Menurutnya, dia mengamalkan beberapa tip penjagaan makanan dan ia dijelaskan secara lengkap melalui thread di bawah ini.
Sanggupkah anda membuat pendedahan atau bercerita secara terbuka mengenai pengalaman berdepan buasir. Kalau boleh, rahsia itu dikunci rapat dan tiada siapa perlu tahu kerana ia berlaku di bahagian sulit. Hakikatnya, ia penyakit yang tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa usaha merawat. Sesiapa pun boleh terdedah kepada buasir atau hemorroids. Penyakit ini terjadi apabila urat di bahagian rektum (bahagian akhir usus besar) dan dubur membengkak. Salur darah lembut dan otot di sekitar dubur membantu mengawal laluan najis. Apabila urat di bahagian itu membengkak, berlaku pendarahan rektum, sakit dan perit ketika buang air besar. Tekanan yang terlalu tinggi dalam darah di bahagian rektum boleh menyebabkan dinding dubur tertonjol keluar, terutama ketika meneran. Bagaimanapun, buasir tiada kaitan dengan kanser dan bukan penyebab penyakit itu.
Punca buasir
Duduk untuk jangka masa lama.
Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
Cirit-birit.
Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama.
Batuk yang teruk.
Bersalin.
Mengangkat berat.
Pengamalan seks melalui dubur oleh golongan heteroseksual dan homoseksual.
Tahap buasir
1. Pendarahan.
2.Dinding dubur terkeluar dan masuk kembali dengan sendirinya.
3.Dinding dubur terkeluar dan pesakit perlu menolaknya ke dalam untuk memasukkannya semula ke dalam dubur.
4.Dinding dubur terjulur keluar dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam dubur.
Pengurusan sendiri
1.Banyak minum air, sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari
2.Makan makanan seimbang. Banyakkan memakan makanan tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
3. Gunakan tandas pada masa ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
4.Elak memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
5.Apabila wujud gejala tertentu (seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur), segera berjumpa doktor.
Ramai mengambil sikap berdiam diri hingga menyebabkan ia semakin melarat. Akibatnya, pesakit lebih menderita apabila buasir tidak dirawat bertambah teruk. Sebab utama buasir ialah meneran ketika buang air besar dan sembelit. Masalah ini juga sering dialami wanita hamil disebabkan tekanan yang berlaku di abdomen. Tekanan tinggi pada perut yang meningkatkan kes buasir turut berpunca daripada obesiti, duduk terlalu lama ketika bekerja (misalnya yang bekerja di pejabat dan pemandu bas atau teksi) atau individu yang mengalami sembelit atau cirit-birit kronik. Gejala buasir ialah usus terbonjol atau terkeluar dari dubur, pendarahan rektum, sakit di dubur dan kerengsaan dubur. Buasir dalaman lazimnya tidak menyebabkan sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum.
Buasir jenis ini tidak berbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis ketika buang air besar boleh mencederakan permukaan buasir dan menyebabkannya berdarah. Pesakit boleh nampak titisan darah berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku, pesakit perlu mendapat bantuan perubatan kerana dikhuatiri darah terbabit datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser usus besar.
Buasir luaran yang terjojol keluar dari dubur sering menyebabkan gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir tersepit, pembekuan darah akan berlaku di dalamnya, menyebabkan ia terasa sakit. Gejala berkenaan menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Buasir jenis ini sukar dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya dan akan berulang walaupun dengan tekanan atau bebanan lebih ringan berbanding yang berlaku sebelumnya.
Bergerak-gerak di kerusi supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum. Hembus nafas keluar apabila anda mengalami ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu, jangan menahan nafas. Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berlarutan. Di samping itu, elakkan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas sebagai amalan kerana ia membuatkan anda duduk lama di tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih tiga hingga lima minit, ada sesuatu yang tidak kena. Untuk menghindari buasir, amalkan tabiat buang air besar yang baik dan pastikan najis anda sentiasa lembut.
Rawatan
–Langkah pertama ialah menghentikan gejala atau simptom iaitu sakit, pedih dan gatal, manakala berikutnya ialah mengecutkan buasir.
-Pengidap buasir perlu mengamalkan diet berserat tinggi dengan pengambilan sayuran dan buahan dan banyakkan minum air kosong anggaran dua liter sehari.
-Pengambilan makanan berserat tinggi, makanan tambahan dan mempunyai kandungan cecair tinggi dapat mengatasi 90 peratus kes buasir.
-Gejala sakit dan kerengsaan boleh dilegakan dengan penggunaan sapuan krim tertentu. Ia disediakan dengan kombinasi beberapa ubat tahan sakit dan agen antikerengsaan serta steroid.
-Mandian air panas dengan memasukkan satu atau dua sudu air garam boleh melegakan kesakitan dan bengkak pada dubur.
-Buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, dirawat dengan mengikatnya dengan lingkaran getah (rubber band ligation).
-Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir berkenaan. Dalam masa tujuh hingga 10 hari, buasir itu akan tertanggal keluar.
-Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman dan ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Namun, pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.
-Koagulasi Inframerah iaitu sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Pesakit mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan berlaku sedikit pendarahan dalam beberapa hari selepas itu.
-Prosedur ini sama seperti ikatan lingkaran getah, dan dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Namun ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan.
-Elektrokoagulasi bipolar yang juga dikenali dengan nama Bicap adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan sama.
T-erapi laser akan mengewapkan tisu buasir. Bagaimanapun, prosedur ini lebih mahal dan tidak menunjukkan kelebihan daripada prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati daripada segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelak pendarahan dan kesakitan pesakit.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Pemuda 26 tahun alami strok selepas urut leher. Seorang pemuda berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengatur cara dari Changsha, Hunan, China nyaris mengalami kelumpuhan kekal atau strok selepas menjalani sesi urutan leher yang berintensiti tinggi.