UMUM MENGETAHUI, KEBANYAKAN LELAKI MEMPUNYAI MASALAH KEGUGURAN RAMBUT PADA USIA MUDA MEMANG MEMBERI KESAN TERHADAP KETERAMPILAN SERTA KEYAKINAN DIRI. MALAH IA MENUNJUKKAN SESEORANG LELAKI ITU TAMPAK JAUH DEWASA ATAU TUA SEDANGKAN BELUM LAGI MENCECAH USIA 40 TAHUN.
Ada pelbagai sebab kehilangan rambut, tapi untuk lelaki 95 peratus punca masalah rambut disebabkan oleh sejenis hormon yang dikenali sebagai hormon Dihydrotestosterone (DHT). Hormon DHT dihasilkan di bahagian kelenjar adrenal. Ia adalah hormon seks lelaki dan semua lelaki menghasilkannya.
Melihat pada konteks masalah keguguran rambut, hormon DHT mengganggu akar rambut. ini akan menyebabkan akar rambut gagal menyerap nutrisi dari kulit kepala. ia menyebabkan rambut terbabit menjadi tidak sihat dan gugur.
PUNCA
Penggunaan bahan kimia berlebihan seperti mereka yang suka mewarnakan rambutnya dan suka menggunakan bahan kimia untuk meluruskan rambut juga cenderung kepada masalah ini. Penggunaan bahan kimia akan merosakkan rambut sehingga ke akarnya. Kesannya rambut gugur terjadi.
Kalau golongan wanita pula, perubahan hormon ketika mengandung dan melahirkan anak mengalami masalah rambut gugur. Rambut mereka gugur disebabkan perubahan hormon yang berlaku. Ia juga disebabkan hormon yang tidak stabil di dalam badan boleh menyebabkan kepada rambut gugur.
Faktor seterusnya adalah genetik. Jika seorang ibu atau bapa mengalami masalah rambut gugur apabila umurnya meningkat, anak perempuan dan lelakinya juga akan alami masalah yang sama. Rambut gugur juga akan berlaku jika wanita atau lelaki tersebut mengalami masalah aliran darah tidak lancar. Aliran darah yang tidak lancar di dalam badan boleh menjadi penyebab kepada rambut gugur.
Mempunyai masalah angin badan yang serius juga boleh menyebabkan masalah rambut gugur selain perangai selalu menarik rambut. Ada juga lelaki dan wanita mempunyai sikap menarik rambut sekuat hati ketika ingin mengikat rambut dan sebagainya.
Sikap sebegini boleh memberi kesan yang tidak baik pada akar rambut kamu di mana ia akan jadi lemah dan senang untuk tercabut selain gaya pemakanan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan hormon di dalam badan juga boleh menjadi penyebab kepada rambut gugur.
PENYELESAIANNYA
Selain menggunakan pelbagai produk rambut yang disarankan di pasaran, segala macam formula kononnya untuk menguatkan akar rambut bagi mengelakkan masalah rambut gugur tidak salah kamu mencuba juga cara tradisional yang mungkin lebih berkesan.
Antaranya ambil perahan air limau nipis dan sapu rata-rata di kulit kepala. Amalkan selama dua minggu. Seterusnya kamu ambil santan untuk menyuburkan rambut kamu. Lumurkan keseluruhan rambut hingga ke kulit kepala bagi mendapatkan hasil yang baik.
Jangan cepat hendak membasuh rambut kamu sebaliknya perapkan rambut kamu dengan tuala untuk setengah jam. Biarkan ia berminyak dan meresap. Kemudian basuh dengan air suam. Amalkan selama dua bulan bagi melihat perubahannya.
Ataupun kamu boleh mencuba mengambil beberapa helai daun bunga raya dan lidah buaya. Basuh hingga bersih dan kisarkan hingga hancur. Perap ramuan di atas kepala selama satu jam. Lakukan dua kali seminggu. Kamu akan memperolehi rambut lebat, hitam dan berkilat semula jadi.
Gunakan kulit buah tembikai. Setiap kali kamu makan buah tembikai, jangan buang kulitnya. Ambil bahagian kulit tembikai dan gosok kulit kepala kamu. Biarkan ia meresap ke kulit kepala dan tunggu dalam masa 20 hingga 30 minit.
Selepas itu barulah kamu cuci rambut kamu sebersih-bersihnya. Jika kamu ingin biarkan semalaman pun tak mengapa. Gunakan ‘shower cap’ atau balut dengan kain supaya ia tidak meleleh ke bantal tidur kamu. Kamu hanya perlu amalkan petua ini sekali dalam seminggu.
Tak pun ambil lendir daun lidah buaya, lendir pokok bunga raya, dan lendir pokok litup bumi. Semua daun tersebut dimasukkan ke dalam satu bekas. Kemudian campur sedikit minyak zaitun. Sapulah di seluruh rambut lepas mandi malam dan bungkus kepala dengan tuala selama setengah jam. Bangun pagi barulah dicuci. Amalkan seminggu sekali. Selain rambut tidak gugur, rambut juga lambat beruban.
Belah buah limau nipis dan gosokkan pada kulit kepala hingga rata. Setelah kering, oleskan telur ayam pada kulit hingga rata dan bungkus kepala kamu dengan tuala selama satu malam. Keesokan paginya, bersihkan rambut kamu. Amalkan petua ini empat kali seminggu.
Paling mudah juga bagi kamu yang pemalas untuk menumbuk bawang merah sehingga halus dan campurkan air masak secukupnya. Sapukan pada kulit kepala dan biarkan selama 30 minit. Kemudian bersihkan seperti biasa.
AMALKAN PETUA SELALU
Petua lain pula dengan mengambil segenggam daun bunga raya dan beberapa helai daun lidah buaya. Basuh bersih dan kisarkan kedua-dua hingga lumat. Perapkan bahan ini di atas kepala selama satu jam. Lakukan dua kali seminggu. Rambut kamu akan kekal kuat dan hitam semula jadi.
Rendamkan secawan kacang hijau semalaman. Kemudian tapis dan ambil airnya untuk disapu di atas kulit kepala sambil kulit kepala dipicit perlahan. Amalkan selalu. Juga elakkan mengikat rambut dengan getah.