Sukan

Belal Muhammad, Juara UFC Pertama Berdarah Palestin

Share

Dunia seni bela diri campuran, atau dikenali sebagai mixed martial arts (MMA) mencatat sejarah baharu apabila seorang petarung bardarah Palestin, Belal Muhammad menjuarai Ultimate Fighting Championship (UFC).

Memetik laporan Aljazeera, kemenangan Belal Muhammad itu sekaligus merampas takhta kejuaraan welterweight UFC dari Leon Edwards, petarung dari Britain.

Sumber foto: Instagram Belal Muhammad.

Dalam pertarungan UFC 304 yang berlangsung pada Sabtu, Belal berjaya menumpaskan lawannya dalam lima pusingan.

Sebelum ini, Edwards berjaya merangkul takhta kejuaraan pada 2022 selepas menumpaskan Kamaru Usman, dan berjaya mempertahankannya dalam dua pertarungan sebelum berhadapan dengan Belal pada Sabtu.

Bangga Berdarah Palestin

Sumber foto: Instagram Belal Muhammad.

Meskipun dilahirkan di Chicago, Amerika Syarikat (AS), petarung berusia 36 tahun itu merupakan anak kepada pasangan imigran dari Palestin.

Belal juga begitu bangga dengan darah Palestin yang mengalir di dalam tubuhnya dan lantang menyuarakan sokongan kepada negara yang ditindas rejim Zionis itu.

“Ia bukan hanya tentang diri saya, ia tentang mereka (Palestin dan penduduk di Gaza),” katanya sebelum memulakan pertarungan yang berlangsung di Manchester, England itu.

Selain mengibarkan bendera Palestin dengan penuh rasa bangga ketika mempromosikan pertarungan itu, Belal sering menggunakan lagu berjudul Dammi Falesteeni

(Darahku Palestin) dendangan juara pertandingan Arab Idol iaitu Mohammed Assaf sebagai lagu latar penampilannya.

Angkat Bendera Palestin Lebih Tinggi

Sumber foto: Instagram Belal Muhammad.

Belal pernah menyebut pada 2021 yang sebagai seorang petarung yang terkenal di mata dunia, dia mempunyai suara untuk mewakili mereka yang tidak mampu bersuara.

“Tidak ramai atlet Palestin yang mempunyai pentas atau platform di mana mereka boleh membawa bendera. Dan sekarang, terutamanya pada masa-masa ini, saya perlu membawa bendera itu lebih tinggi daripada sebelumnya. Untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita memang wujud, bahawa kita adalah sebuah negara, dan ada orang sebenar di sana.

“Sekarang saya mempunyai suara untuk orang yang tidak mempunyai suara, untuk orang yang dunia mahu anda lupakan. Jadi, jika saya terus menyinari perkara itu, meningkatkan semangat mereka, menaikkan jiwa mereka, saya akan melakukan apa sahaja yang saya boleh,” kata Belal menerusi sebuah laporan berita.

Sumber: Aljazeera

BACA: Mula Dengan Angan-Angan Melihat Undertaker, Ayez Shaukat Berjaya Jadi Ahli Gusti Profesional

Published by
Ruszaini Ruslan