Melihat mangsa kebakaran rumah adalah satu pemandangan yang cukup menghibakan. Kediaman yang menjadi ‘syurga’ kecil buat mereka musnah dalam sekelip mata akibat dijilat api.
Sejak kebelakangan ini banyak kes kebakaran melibatkan unit kediaman berlaku di beberapa lokasi. Selain kediaman premis perniagaan juga turut terkesan dengan tragedi bangunan terbakar dengan kes tular terbaru berlaku kepada Jakel Shah Alam.
Kebakaran merupakan satu tragedi yang amat ditakuti kerana sekali ia tercetus dan merebak, anda berisiko untuk kehilangan harta, wang ringgit serta nyawa.
Walaupun kebakaran merupakan satu kemalangan yang tidak boleh diduga, untuk mengelakkan perkara tersebut terjadi, anda harus memastikan kediaman anda selamat.
Yang penting, ikuti senarai sebab kebakaran yang MASKULIN jelaskan di bawah ini. Pastikan anda pantau beberapa perkara di bawah ini terutamanya sebelum tidur pada waktu malam atau keluar dari rumah untuk mengelakkan berlakunya kebakaran.
Tutup semua suis elektrik dalam rumah anda seperti suis TV, lampu, aircond, kipas, computer dan lain-lain yang sentiasa mengalirkan elektrik. Selain menjimatkan bil elektrik, ini langkah keselamatan utama yang perlu sentiasa dipantau.
Jangan buang punting rokok sembarangan atau bersepah-sepah. Ditakuti pada punting rokok anda itu masih ada bara yang boleh mengakibatkan kebakaran. Seeloknya, benar-benar padamkannya dan buang di tempat yang disediakan.
Percikan api bukan sahaja berbahaya sewaktu bermain bunga api malah jika berlaku kebocoran gas dalam rumah, jangan sesekali gatal tangan untuk nyalakan api. Jika tidak, berapi satu rumah nanti dan anda akan menjadi mangsanya.
Kes kebakaran yang melibatkan mercun bukanlah tidak pernah terjadi malah orang-orang tua pun sudah sampai penat nak melarang. Pada musim perayaan, pasti akan ada berita rumah terbakar bermula dari letupan mercun sebelum ia merebak.
Ramai yang suka mengecas telefon sewaktu tidur. Jika bateri tiba-tiba rosak, ia ada potensi untuk meletup dan mengakibatkan kebakaran. Nasihat untuk mengelakkan perkara ini, sila tutup telefon untuk mengecas pada waktu malam dan tutup suis setelah penuh.
Sebelum tidur, jika anda memasang lingkaran ubat nyamuk, pastikan ia dialas dengan bahan yang tidak mudah terbakar. Jangan letak kertas sebagai pelapiknya. Begitu juga lilin, ada baiknya padamkan sebelum tidur.
Sama seperti info di atas, jika rumah berbau seperti gas, jangan buang masa untuk Google buat carian ‘Bagaimana bau gas yang sebenar?’. Itu memang adalah bau gas. Terus buka pintu dan tingkap untuk aliran pengudaraan dan cabut kepala gas yang terpasang pada tong. Jangan mengada-ngada nak buka dapur gas ketika itu.
Memang seronok bermain dengan api. Lebih-lebih lagi mancis. Tetapi ingat, sekali ia terpercik atau terjatuh ke tempat mudah terbakar seperti permaidani, kalau lambat dipadamkan, ia boleh merebak.
Semoga kehidupan kita semua terus diindungi dari sebarang bencana seperti kebakaran.