Selama ini ramai yang tidak tahu aktiviti membeli kereta dengan tawaran ‘zero down payment‘ adalah salah di sisi undang-undang.
Ini kerana tawaran penjualan tanpa deposit yang dibuat syarikat penjual kereta hanyalah taktik untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Selain memanipulasi pelanggan, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam mendedahkan, menerusi tawaran sedemikian memang dapat menarik lebih ramai pembeli.
Ini kerana pembeli kononnya tidak perlu menyediakan simpanan wang sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga kenderaan berkenaan dan dapat memandu kenderaan idaman dengan lebih pantas.
Bagi ramai yang tidak mengetahui, sistem pembeli perlu membayar 10 peratus wang pendahuluan daripada harga kenderaan itu sebenarnya bertujuan baik.
Ia bukan sahaja dapat mengelakkan pembeli disenarai hitam atau diisytihar bankrap sekiranya bayaran bulanan tinggi malah membantu pembeli untuk membayar ansuran bulanan pada nilai yang lebih rendah.
Berdasarkan Akta Sewa Beli (ASB) 1967, pembeli perlu membayar tidak kurang daripada satu persepuluh harga tunai kenderaan yang termaktub dalam perjanjian.
Jika syarikat yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31(1) ASB 1967.
Sehubungan itu, beberapa kedai yang menjual kenderaan dengan ‘zero downpayment’ telah diambil tindakan dan ini menunjukkan betapa seriusnya isu ini.