Setiap hari debaran pasti dirasai tatkala menunggu perkembangan terbaru penularan Covid-19 terutamanya sidang media daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Barisan hadapan negara sekali lagi terpaksa berhadapan cabaran yang cukup luar biasa.
Kes harian kini mencatatkan angkas tiga digit setiap hari dengan negeri Sabah yang paling teruk terjejas. Dan menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, barisan hadapan kini mencapai tahap kritikal. Perkara tersebut dikongsi oleh beliau menerusi ciapan di Twitter pada awal pagi hari ini.
“Strategi kami adalah berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti. Ia juga bagi memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” jelasnya.
Pada 11 Oktober 2020 iaitu semalam negara kita menyaksikan sebanyak 561 kes baharu dilaporkan dengan negeri Sabah mencatatkan angka tertinggi dengan 488 kes.
Dalam pada masa yang sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tekah melakukan mobilisasi juruteknologi makmal perubatan dan juru x-ray (diagnostik) dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak ke negeri Sabah.
Seramai 2 orang Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan 9 orang juru X-ray (Diagnostik) KKM telah dimobilisasi ke negeri Sabah pada 9 Oktober 2020 dengan menaiki pesawat ‘Charlie’ Tentera Udara DiRaja Malaysia (penerbangan logistik & komunikasi TUDM).
Terdahulu, seramai 5 orang JTMP dari Pusat Darah Negara (1 orang), Hospital Kuala Lumpur (1 orang), Hospital Pulau Pinang (1 orang), Hospital Umum Sarawak (1 orang) dan Hospital Ampang (1 orang) telah dimobilisasi pada 5 dan 7 Oktober 2020 yang lalu.
Mereka ditempatkan di Hospital Semporna, Hospital Lahad Datu dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKA KK). Turut sama ialah seorang Pegawai Sains (Mikrobiologi) dari Hospital Umum Sarawak yang telah dimobilsasi ke MKA KK.
Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap-sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik COVID-19.
Selamat berjuang dan bertugas MASKULIN ucapkan buat wira-wira negara yang berada di barisan hadapan bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
Jangan lupa untuk dapatkan e-magazine MASKULIN isu October 2020 yang memaparkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai cover hadapan dan Alif Satar sebagai cover belakang. Anda boleh dapatkannya di sini.
Sumber: Twitter & Facebook Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah