Bapa Tinggal Di ‘Parking’ Agar Dekat Dengan Anak Sakit Di Hospital, Terharu Terima Sokongan Pelbagai Pihak

Share

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pengorbanan seorang bapa kerap kali kita dengar dalam pelbagai kisah masyarakat. Menjadi bapa bukanlah satu tanggungjawab yang ringan apatah lagi bila diuji dengan ujian yang cukup berat.

Itulah yang dilalui oleh seorang lelaki yang tinggal di dalam kereta di tempatletak kereta hospital kerana mahu dekat dengan anaknya yang dirawat. Kisah lelaki ini mencuri perhatian orang ramai dengan tularnya foto keretanya di kawasan letak kereta Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Susulan fotonya yang tular portal berita Astro Awani telah mendekati lelaki tersebut yang dikenali dengan nama Adi Saifullizam Abdul Sani. Jelasnya kepada Astro Awani, selepas fotonya dikongsi dan tular banyak pihak tampil memberikan kata-kata semangat dan mendoakan anaknya berusia 8 tahun, Muhammad Afeef Mikail kembali sihat.

Anaknya dirawat di hospital tersebut kerana menghidap tumor otak yang memerlukan rawatan yang cukup intensif. Dia yang merupakan bapa kepada tiga orang anak tersebut menyatakan tidak menyangka bahawa perkongsiaan yang dilakukan untuk rakan-rakan dan keluarga telah tular.

Foto: Astro Awani

“Bagusnya rakyat Malaysia ini, mereka memang prihatin tentang permasalahan apa yang berlaku di kalangan kita. Saya tidak putus-putus mendapat ucapan yang mendoakan kesejahteraan anak saya, malah ada juga yang beri sumbangan.

“Terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan dan kesembuhan anak saya. Mana yang telah menderma tak kiralah wang tunai atau makanan kepada saya, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak,” tambahnya lagi.

TERHARU

Lebih istimewa sumbangan yang diterima olehnya datang dari pelbagai pihak termasuklah dari berlainan agama dan bangsa. Malah ada yang datang dari Pulau Pinang semata-mata untuk menyampaikan sumbangan.

Bantuan dari pengurusan Masjid Muhibbuddin Shah yang terletak berdekatan dengan hospital tersebut menawarkan tempat penginapan apabila ada pihak tampil ingin menanggung perbelanjaan sewa sepanjang tempoh rawatan anaknya.

Anak bongsunya disahkan menghidap tumor selepas pada asalnya hanya bengkak pada bahagian mata. Dia yang tinggal di Felda Trolak Utara reda dengan ujian yang diberikan walaupun berat untuk menerima keadaan itu dan akan mencari rawatan terbaik untuk memastikan anaknya sembuh.

Dua lagi anaknya, Dhia Irdina, 15, dan Muhammad Aqeef Firdaus, 12, buat masa ini tinggal sementara dengan ibu saudaranya.

“Kekuatan saya datang daripada anak-anak yang ada di rumah, isteri saya dan juga anak yang sakit ini. Kalau kita lemah, dia lagilah teruk. Memang saya menangis tapi tidak tunjuk depan anak, saya lari ke belakang.

“Sebab itulah saya ambil keputusan untuk duduk di kereta, saya seorang-seorang dan kalau saya menangis pun orang tak nampak,” jelas bapayang cukup tabah ini.

Marilah kit semua mendoakan agar anaknya diberikan kesembuhan dengan segera.

Sumber: Astro Awani

Published by
Farizul Izwany Ibrahim