Luar Negara

Bapa Didakwa Paksa Anak Enam Tahun Bersenam Hingga Maut Kerana “Terlalu Gemuk”

Share

Di New Jersey, Amerika Syarikat (AS), seorang bapa didakwa memaksa anak lelakinya yang baru berusia enam tahun untuk berlari di atas mesin senaman sawat injak (treadmill) melebihi kemampuannya sehingga mengakibatkan kematian.

Christopher J Gregor, 31, dibicarakan di Mahkamah Ocean City atas tuduhan membahayakan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak dan pembunuhan atas kematian Corey Micciolo, 6.

Foto: Mangsa, Corey Micciolo (6).

Memetik laporan Mirror, Corey disahkan meninggal dunia pada 2 April 2021 akibat pelbagai kecederaan selepas sesi senaman melampau di gim.

Ketika sesi perbicaraan, sebuah klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dipertontonkan, mendedahkan kejadian yang meragut nyawa Corey itu.

Menerusi rakaman bertarikh 20 April 2021 yang juga dimuat naik di saluran Youtube Court TV itu, kelihatan hanya Christopher dan Corey sedang bersenam di sebuah pusat kecergasan Atlantic Heights Clubhouse di Barnegat, New Jersey.

Foto: Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan saat Corey terjatuh dan diheret semula oleh Christopher ke atas mesin senaman sawat injak.

Kelihatan Corey sedang berlari di atas mesin sawat injak namun kemudian didatangi oleh Christopher yang bertindak menekan butang untuk menaikkan kelajuan mesin itu.

Gagal untuk mengikuti kelajuan berkenaan, Corey dilihat terjatuh lalu tergolek dari mesin tersebut.

Foto: Tertuduh, Christopher Gregor (31) ketika sesi perbicaraan di mahkamah.

Bagaimanapun, Christopher dilihat mengheretnya semula ke atas mesin sawat injak tanpa mengurangkan sedikit pun kelajuannya.

Perkara itu dilihat berulang selama lebih empat kali sebelum Christopher akhirnya menurunkan kelajuan mesin senaman itu.

Lebih kejam, Christopher turut dilihat menggigit kepala Corey di dalam rakaman tersebut.

Foto: Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan saat Christopher menggigit kepala Corey.

Dipaksa Bersenam Kerana “Terlalu Gemuk”

Menyedari kecederaan dan kesan lebam pada tubuh Corey, ibunya Breanna Micciolo telah membuat laporan kepada Bahagian Perlindungan dan Kekal Kanak-Kanak New Jersey dan meminta Christopher membawanya berjumpa doktor.

Ketika dirawat, Corey memberitahu doktor yang bapanya menyuruhnya berlari di atas mesin sawat injak disebabkan “dia terlalu gemuk”.

Keesokan harinya, Corey dikejarkan ke Pusat Perubatan Southern Ocean kerana pertuturannya tidak jelas, kerap tersandung, mengalami loya dan sesak nafas.

Correy kemudian mengalami sawan ketika menjalani imbasan CT dan akhirnya meninggal dunia.

Foto: Ibu mangsa, Breanna Micciolo sebak menonton rakaman CCTV ketika sesi perbicaraan.

Laporan bedah siasat mendedahkan Corey mengalami kecederaan daya tumpul dengan lebam pada jantung dan hati dengan keradangan akut dan sepsis.

Hanya Kenal Anak Selama Setahun

Meskipun bergelar bapa, Christopher hanya hadir di dalam kehidupan Corey ketika kanak-kanak itu mencapai usia lima tahun, bahkan sebelum itu dia langsung tidak pernah mengetahui yang dia mempunyai seorang anak.

Dia hanya mendapat tahu tentang Corey ketika menerima saman tuntutan nafkah daripada Breanna, demikian lapor Independent.

Sebelum didakwa dengan pertuduhan membunuh, Christopher hanya didakwa atas pertuduhan membahayakan kebajikan seorang kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, Christopher berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Sumber: Mirror, Mint, Independent, Youtube Court TV.

BACA: Pempengaruh Kecergasan Tegur Kandungan Jenaka Isteri Kurang Ajar, Suami Lembik

Published by
Ruszaini Ruslan