Bakal Jadi Ayah, Ryan Bakery Penuhi Kehendak Isteri Mengidam

Share

Siapa yang tidak kenal dengan nama Ryan Bakery yang sinonim dengan video parodi pendek yang mengimbas kembali kenangan indah zaman kanak-kanak pada era 1990-an di laman sosial.

Ryan yang baru dinobatkan sebagai Popular Content Creator Of The Year menerusi anugerah berprestij TikTok Awards Malaysia 2023 mengumumkan bakal bergelar bapa tidak lama lagi.

Pempengaruh TikTok berusia 28 tahun itu memberitahu kepada media tempatan yang isterinya, Elyia Ibrahim kini sedang hamil lima bulan.

SUDAH SEDIA NAMA BAYI

Walaupun masih tidak mengetahui jantinya bayi, Ryan sudah bersedia dengan nama yang indah buat anak sulung yang bakal lahir.

“Jika anak lelaki saya cadang nak letak nama Ryan Ezra dan jika anak perempuan Raysha Ezra, insyaAllah,” kongsinya.

Memasuki trimester kedua kehamilan, Ryan atau nama penuhnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery turut berkongsi pengalaman melihat isterinya mengalami alahan yang teruk.

“Isteri saya mengalami alahan teruk, dia muntah-muntah. Awalnya saya tidak tahu dia hamil sehingga dia menunjukkan kit ujian kehamilan.

“Saya ingat dia kena Covid-19, rupanya bukan. Apabila tahu isteri hamil, saya terus menangis. Jantina belum tahu lagi,” tambahnya.

LAYAN KEHENDAK ISTERI MENGIDAM

Seperti wanita hamil lain, isterinya juga mengidam untuk makan atau minum sesuatu yang luar dari kebiasaan.

Menurut Ryan, Elyia pernah mengidam untuk minum teh hijau.

“Kampung saya di Temerloh itu jauh ke kawasan dalam. Kalau hendak keluar ke pekan, jauh. Kalau saya mengadu penat, risau dia akan menangis. Saya start kereta pergi beli juga,” ujarnya.

Terdahulu, Ryan dan Elyia mendirikan rumahtangga pada 1 Oktober 2022 selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.

Published by
Ruszaini Ruslan