Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Berdasarkan anggaran terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 300 juta penduduk dunia kini hidup dalam kemurungan.
Seriusnya masalah kemurungan ketika ini mendorong WHO mengisytiharkan bahawa penyakit mental terbabit sebagai punca utama bagi keadaan kurang sihat dan hilang upaya di seluruh dunia. Kurang sokongan terhadap mereka dengan masalah mental, ditambah takut dan stigma, ia mencegah kebanyakan pesakit daripada menerima rawatan yang diperlukan untuk sembuh dan meneruskan kehidupan dengan sihat dan produktif.
“Walaupun di negara berpendapatan tinggi, hampir 50 peratus rakyat dengan kemurungan tidak mendapat rawatan. Secara puratanya, kira-kira tiga peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan diperuntukkan dalam kesihatan mental, perbezaannya antara kurang satu peratus di negara berperpendapatan rendah hingga lima peratus di negara berpendapatan tinggi.
Menurut kajian yang diterajui WHO yang mengira kos rawatan dan hasil keputusan kesihatan di 36 negara untuk 15 tahun akan datang iaitu mulai 2016 hingga 2030, kadar rendah kesedaran dan akses penjagaan kemurungan dan masalah mental lain yang biasa seperti keresahan menyebabkan kerugian dalam ekonomi global kira-kira AS$1 trilion setiap tahun.
Kerugian sebegini sudah tentu membabitkan banyak pihak seperti isi rumah apabila satu keluarga hilang pergantungan ekonomi jika ketua rumah tidak boleh bekerja, pihak majikan juga terjejas apabila pekerjanya kurang produktif dan tidak mampu lagi bekerja.
Seterusnya, kerajaan turut menanggung beban apabila perlu menanggung perbelanjaan kesihatan dan kebajikan dengan lebih tinggi. WHO juga mengenal pasti kaitan yang kuat di antara kemurungan dan penyakit tidak berjangkit lain. Kemurungan meningkatkan risiko masalah penggunaan ubatan dan penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
Kemurungan adalah penyakit mental yang biasa dihidapi dicirikan dengan kesedihan berpanjangan dan hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, disusuli ketidakupayaan menjalankan aktiviti harian selam 14 hari atau lebih.
Penghidap kemurungan juga biasanya mengalami beberapa tanda seperti hilang tenaga, perubahan selera, terlebih atau kurang tidur, kurang penumpuan, tidak dapat membuat keputusan, gelisah, rasa diri tidak berguna, rasa bersalah, putus asa dan berniat mencederakan diri atau membunuh diri.
Kemurungan boleh menjejaskan sesiapa sahaja, oleh itu kempen ini ditujukan kepada semua orang dan WHO memilih untuk memberi perhatian tertentu kepada tiga kumpulan iaitu remaja dan belia, wanita yang baru melahirkan anak dan warga emas berusia lebih 60 tahun.