Ubat pelangsing badan sama ada daripada jenis drug atau produk herba ialah ubat yang dapat mengurangkan berat badan atau mengatasi masalah kegemukan. Ia boleh dibahagikan kepada 5 kategori mengikut cara ia berfungsi iaitu:
1. Menghilangkan selera makan
Otak manusia mengandungi pelbagai jenis bahan kimia semula jadi yang mengawal pemikiran, pergerakan dan fungsi organ-organ lain. Sesetengah ubat pelangsing badan bertindak dengan meningkatkan paras kimia ini terutama serotonin dan dopamine yang merencat selera makan. Ini akan mengakibatkan seseorang itu kurang makan dan akhirnya berat badan akan susut.
Contoh-contoh ubat adalah: Bagi jangkamasa pendek: fendimetrazin tartrate, metamfetamin, fentermin, fenfluramin, deksfenfluramin, dietilpropion, mazindol, benzfetamin dan fenil propanolamin.
Bahaya: Secara amnya; insomnia, mengalami mimpi ngeri, keresahan, lekas marah, keletihan, kemurungan, mulut kering, anoreksia, kekejangan pada kawasan perut, gangguan gastro, pening, gementar, masalah koordinasi, berpeluh, palpitasi, degupan jantung kencang, tekanan darah menjadi tinggi atau menurun, gangguan libido, impoten, kerosakan hati, jantung, penggantungan atau ketagihan dan tindakbalas psikotik termasuk skizofenia.
Selain dari dadah terdapat juga peptid hormon yang mampu merencat selera makan. Contohnya leptin, neuropeptid-Y, kolesistokinin, glukagon dan melanokortin. Walau bagaimanapun hormon-hormon ini masih dalam peringkat kajian.
2. Mengubah metabolisma lemak badan
Enzim lipase dari pancreas bertindak memecahkan lemak dalam makanan dan menjadikannya molekul yang lebih kecil iaitu asid lemak dan gliserol dan seterusnya menyerap ke dalam usus kecil. Terdapat ubat pelangsing badan yang dapat menghalang sebahagian enzim ini daripada bertindak memecahkan lemak dan seterusnya ia akan keluar dari badan melalui najis. Dengan ini hanya sedikit kalori terhasil dan berat badan dapat dikawal.
Contoh: ubat ini adalah orlistat (XenicalÒ) atau tetrahidrolipstatin.
Bahaya: kekejangan pada bahagian perut, cirit birit, gangguan usus, tidak dapat mengawal pembuangan najis atau lelehan najis berminyak.
3. Menghasilkan haba (thermogenesis)
Termogenesis merupakan proses penghasilan haba melalui pembakaran kalori daripada lemak. Ia biasanya berlaku apabila menggunakan kit bersenam. Namun demikian terdapat ubat pelangsing yang mampu merangsang thermogenesis dengan cara menukar lemak yang terkumpul kepada bentuk lemak yang terlarut dan melalui edaran darah akan di bawa ke tisu adipos (brtown adipose tissues) di mana ia akan “dibakar”.
Contoh: Efedrin dan terbiatan efedrin yang biasa diguna dalam merawat selsema dan asma tetapi juga boleh merangsang thermogenesis. Kesan efedrin akan bertambah dengan kehadiran kafein atau salisilat.
Bahaya: Meningkatkan tekanan darah, mempercepatkan denyutan jantung, insomnia, tremor dan ketegangan.
4. Membuang air kecil (diuretics)
Sesetengah ubat pelangsing badan mampu menyebabkan diuresis. Ubat diuretik bertindak dengan cara mengeluarkan air dengan banyak dari badan melalui kencing. Kehilangan air sebanyak 1 liter berkadaran dengan kehilangan berat sebanyak 1 kilogram. Oleh itu berat badan dapat dikurangkan dalam masa yang singkat.
Contoh: Furosemid, asid etakrinik, hidrokloroiazid, amilorid, acetazolamid, bumetanid dan lain-lain biasanya diguna dalam merawat tekanan darah tinggi. Penggunaan ubat diuretik dikesan bagi tujuan mengawal berat badan ahli sukan seperti tinju dan juga sebagai bahan “doping”.
Bahaya: Secara amnya menyebabkan kehilangan air yang banyak, dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit dan seterusnya akan menyebabkan pula kelesuan, lemah otot, pening, loya anoreksia, impoten, penglihatan berwarna kuning, degupan jantung yang laju dan tidak normal, tekanan darah yang rendah, mulut kering, gangguan mental dan pendarahan dalam perut.
5. Ubat pelawas (laxatives)
Ubat jenis ini merangsang sistem penghadaman dan “mengosongkan” perut dan usus. Biasanya diguna bagi melawas pembuangan najis. Walau bagaimanpun ia boleh menyebabkan cirit birit. Kebanyakan ubat pelangsing jenis herba termasuk dalam kategori ini.
Contoh: Bisacodil, laktulos.
Bahaya: Secara amnya menyebabkan sakit dan kekejangan di bahagian perut, cirit birit yang berpanjangan akan menyebabkan kehilangan air. Vitamin dan garam galian yang banyak dari badan serta memberi kesan bahaya sama seperti diuretik.
Fentermin, orlistat dan diuretik dikategorikan sebagai ubat kawalan di mana penggunaannya memerlukan preskripsi daripada doktor. Ubat pelawas pula boleh dibeli dengan bebas di Farmasi. Lain-lain jenis ubat dan hormon tidak diluluskan oleh kerajaan dan tidak diperolehi di pasaran Malaysia. Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati dengan produk herba atau tradisional yang mungkin dicampur dengan bahan-bahan ini seperti yang telah dikesan di dalam produk herba, Slim 10 dan Bestrim baru-baru ini.