Badan Sado Zul Ariffin & Aksi Dalam Filem Tombiruo Penunggu Rimba , Pasti Buat Penonton Terpukau

Share

Pasti ramai menanti-nantikan filem Tombiruo Penunggu Rimba yang khabarnya pertaruhkan badan sado dan aksi Zul Ariffin dalam filem pertama adaptasi karya Ramlee Awang Murshid (RAM) yang sedai maklum merupakan antara penulis karya thriller terhebat Malaysia.

Menariknya filem ini, PELAKON Zul Ariffin akui beliau terpaksa menurunkan berat badan 13KG untuk watak Ejim atau Tombiruo. Bukan sahaja perlu sesuaikan diri, selebriti berusia 31 tahun ini juga melalui proses diet ekstrem selain alami pelbagai kecederaan kerana melakukan aksi lagak ngeri.

“Sebenarnya, agak sukar saya terjemahkan watak Ejim. Lagi pula, watak ini terlalu misteri dan ia hanya bercakap apabila perlu.

“Jadi, untuk melaksanakannya saya bukan saja baca novel, tetapi juga buat rujukan pada penulisnya, Ramlee.

“Saya cuba bawa watak yang dah ada peminat sejak 20 tahun lalu dan karakter ini sangat mencabar,” katanya.

Lantaran itu, Zul berhempas-pulas dapatkan susuk tubuh tegap demi hidupkan karakter tersebut di layar perak.

“Terpaksalah saya ‘jual’ badan bagi mengisi imaginasi pembaca novel Tombiruo atau sekurang-kurangnya hampir menepati ciri-ciri Ejim yang bermain dalam minda khalayak.

“Saya pun tak naklah lari sampai bergegar-gegar badan, tapi hanya nak nampak nice dan fit. Semua itu saya lakukannya sendiri dalam tempoh lima minggu,” katanya.

Pada masa sama, Zul akui ralat apabila tidak dapat melakukan aksi lagak ngeri sepenuhnya lantaran kecederaan slipped disc.

“Watak saya banyak melibatkan babak pertarungan, tetapi mungkin kerana terlalu teruja saya cedera.

“Ralat juga kerana seboleh-bolehnya saya ingin lakukan sendiri aksi lagak ngeri, tetapi atas nasihat doktor saya terpaksa melupakan hasrat itu.

“Akibat kejadian itu juga saya terpaksa berehat selama lapan bulan dan melakukan fisioterapi bagi memastikan kecederaan itu benar-benar pulih,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran pada masa hadapan agar lebih berhati-hati dan membuat persediaan awal sebelum melakukan aksi berbahaya.

Selain Zul, Tombiruo: Penunggu Rimba turut membariskan pelakon hebat seperti Datuk M Nasir, Faizal Hussien, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat dan Dynaz Mokhtar serta akan menemui penonton di pawagam bermula 12 Oktober depan.

Sinopsis Filem

Filem Tombiruo mengisahkan penunggu rimba yang menjadi legenda di hutan keningau. Dia bukanlah hantu tetapi wira tidak berwajah manusia yang berselindung di sebalik topeng bagi menyembunyikan kemelut dan kesepiannya. Insiden hutan, rumah tempat tinggalnya diceroboh untuk dibangunkan projek empangan sehingga mengorbankan bapanya Pondoluo menyemarakkan dendam dalam hati pemuda ini yang nekad memburu mereka yang bertanggungjawab. Bermulalah pengembaraan Tombiruo yang membawa kepada satu dunia baru yang mengubah perspektif dan dimensi hidupnya.

Sumber : Sinar Harian 

Published by
Ruziana Zainal