Pasti ramai menanti-nantikan filem Tombiruo Penunggu Rimba yang khabarnya pertaruhkan badan sado dan aksi Zul Ariffin dalam filem pertama adaptasi karya Ramlee Awang Murshid (RAM) yang sedai maklum merupakan antara penulis karya thriller terhebat Malaysia.
Menariknya filem ini, PELAKON Zul Ariffin akui beliau terpaksa menurunkan berat badan 13KG untuk watak Ejimatau Tombiruo. Bukan sahaja perlu sesuaikan diri, selebriti berusia 31 tahun ini juga melalui proses diet ekstrem selain alami pelbagai kecederaan kerana melakukan aksi lagak ngeri.
“Sebenarnya, agak sukar saya terjemahkan watak Ejim. Lagi pula, watak ini terlalu misteri dan ia hanya bercakap apabila perlu.
“Jadi, untuk melaksanakannya saya bukan saja baca novel, tetapi juga buat rujukan pada penulisnya, Ramlee.
“Saya cuba bawa watak yang dah ada peminat sejak 20 tahun lalu dan karakter ini sangat mencabar,” katanya.
Ads
Lantaran itu, Zul berhempas-pulas dapatkan susuk tubuh tegap demi hidupkan karakter tersebut di layar perak.
“Terpaksalah saya ‘jual’ badan bagi mengisi imaginasi pembaca novel Tombiruo atau sekurang-kurangnya hampir menepati ciri-ciri Ejim yang bermain dalam minda khalayak.
“Saya pun tak naklah lari sampai bergegar-gegar badan, tapi hanya nak nampak nice dan fit. Semua itu saya lakukannya sendiri dalam tempoh lima minggu,” katanya.
Pada masa sama, Zul akui ralat apabila tidak dapat melakukan aksi lagak ngeri sepenuhnya lantaran kecederaan slipped disc.
Ads
“Watak saya banyak melibatkan babak pertarungan, tetapi mungkin kerana terlalu teruja saya cedera.
“Ralat juga kerana seboleh-bolehnya saya ingin lakukan sendiri aksi lagak ngeri, tetapi atas nasihat doktor saya terpaksa melupakan hasrat itu.
“Akibat kejadian itu juga saya terpaksa berehat selama lapan bulan dan melakukan fisioterapi bagi memastikan kecederaan itu benar-benar pulih,” katanya.
Ads
Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Rindu Awak 200% ini menjadikan kejadian itu sebagai pengajaran pada masa hadapan agar lebih berhati-hati dan membuat persediaan awal sebelum melakukan aksi berbahaya.
Selain Zul, Tombiruo: Penunggu Rimba turut membariskan pelakon hebat seperti Datuk M Nasir, Faizal Hussien, Farid Kamil, Nabila Huda, Hasnul Rahmat dan Dynaz Mokhtar serta akan menemui penonton di pawagam bermula 12 Oktober depan.
Sinopsis Filem
Filem Tombiruo mengisahkan penunggu rimba yang menjadi legenda di hutan keningau. Dia bukanlah hantu tetapi wira tidak berwajah manusia yang berselindung di sebalik topeng bagi menyembunyikan kemelut dan kesepiannya. Insiden hutan, rumah tempat tinggalnya diceroboh untuk dibangunkan projek empangan sehingga mengorbankan bapanya Pondoluo menyemarakkan dendam dalam hati pemuda ini yang nekad memburu mereka yang bertanggungjawab. Bermulalah pengembaraan Tombiruo yang membawa kepada satu dunia baru yang mengubah perspektif dan dimensi hidupnya.
Sumber : Sinar Harian
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Hari ini saya kongsikan tips persiapan sebelum nak melancong ke luar negara. Untuk anda yang ada plan nak melancong, jom baca artikel ini.
1.Passport
Pastikan passport anda masih sah. Sah dengan erti kata tarikh ‘expired’ passport anda hendaklah masih hidup dalam tempoh 6 bulan sebelum pulang dari tarikh anda melancong. Andai kata tidak cukup 6 bulan tempoh sah maka anda tidak dibenarkan untuk menaiki penerbangan. Sila berhati-hati.
2.Tempah tiket penerbangan
Disarankan untuk memempah tiket penerbangan seawal 6 atau 3 bulan awal untuk mendapatkan harga yang berpatutan. Lagi untung beli ketika promosi. Untuk dapatkan promosi kita kenalah sentiasa ‘update’ dengan informasi terkini daripada pihak penerbangan.
Pastikan ada membuat ‘Web Check In’ 2 hari sebelum melancong. Ini bagi memudahkan urusan anda ketika untuk urusan ‘Check In’ nanti. ‘Boarding Pass’ hendaklah disimpan dengan baik. Sebaiknya simpan juga salinan tiket penerbangan. Ini sebagai ‘back up plan’ sekiranya berlaku perkara-perkara tidak di ingini.
3.Buat itinerari percutian anda
Adalah lebih baik sekiranya kita buat ‘survey’ dahulu melalui internet. Anda boleh menyusun sendiri itinerari program anda. Contohnya dengan menempah hotel sendiri, pengangkutan menggunakan pengangkutan awam dan makanan dibawa siap. Akan tetapi berhati-hati kerana dikhuatiri anda ditipu oleh orang yang tidak dikenali. Rujuk kawan-kawan yang telah samapi ke tempat yang ingin kita pergi. Ini memudahkan kita untuk menyusun perjalanan percutian kita dengan baik.
Jalan penyelesaian. Anda boleh dapatkan pakej ‘Groud Handling’ daripada agensi pelancongan yang sah. Dengan itu, tugasan anda mudah tanpa perlu menempah segala bagai. Anda hany perlu mengikuti perjalanan yang telah ditetapkan oleh pihak agensi pelancongan.
4. Tukar duit di pengurup wang berlesen
Anda boleh ‘survey’ mana-mana ‘money changer’ yang boleh menawarkan harga yang terbaik untuk pertukaran duit. Kebiasaanya di area Bukit Bintang. Anda kena kenal pasti dahulu matawang apa yang digunakan di negara yang ingin anda pergi. Anda juga boleh menukar duit di ‘money changer’ di ‘airport’ atau di negara yang kita lawati akan tetapi kadar pertukarannya rendah. Kita rugi di situ.
5. Duit ‘Emergency’
Pastikan anda menyimpan sedikit wang untuk keadaan yang tidak dijangka. Ini memastikan anda tidak panik ketika menghadapi situasi ini. Anda boleh tenang menggunakan duit ‘emergency’ tersebut. Kita tidak tahu apa akan berlaku akan tetapi sebaiknya sediakan duit tersebut
6. Pakaian
Bawa pakaian yang perlu sahaja. Jika perlu kurangkan pakaian, maka kurangkan. Ini bagi memudahkan untuk anda mengemas semula barang-barang anda. Ini juga strategi untuk anda ‘shopping’ banyak barang semasa melancong kerana ruang beg anda masih banyak. Kurangkan barang yang dibawa, bawa pulang banyak barang hasil percutian kita
7. Aksesori wajib sebagai seorang pelancong
Sebagai seorang pelancong, pastinya ada barang-barang yang merupakan senjata untuk anda bawa bersama. Seperti :
Makanan segera, biskut & roti
Losyen
Ubat-ubatan
Botol Air
Selimut & Bantal
Cermin mata
‘International Plug Adaptor’
Kompas & sejadah
Sweater
Beli peta
8. Datang awal ke ‘airport’
Sebaik-baiknya sampai di ‘airport’ 3 jam sebelum waktu berlepas. Ini kerana kita tidak tahu sebarang masalah yang berlaku semasa dalam perjalanan untuk ke ‘airport’. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, kita juga akan menyesal. Datanglah awal supaya anda dapat bertenang ketika di sana.
9. Jaga keselamatan barangan
Barang-barang yang kita bawa hendaklah sentiasa bersama kita. Jangan leka kerana ada sahaja orang yang ingin mengambil kesempatan. sekiranya passport kita ada di dalam beg kita yang hilang maka akan menyusahkan kita kelak. Jadi berhati-hati. Jangan kerana kelapaan kita membuatkan percutian kita hancur begitu sahaja.
Kongsilah artikel ini jikalau anda rasa berguna. Jauh perjalanan, luas pemandangan.
sumber: lelakisihat.com
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Di alam kerjaya yang serba pantas hari ini, istilah rat race sering kali disebut sebagai analogi kepada persaingan sengit dan tekanan berterusan dalam kehidupan seharian, terutamanya di kalangan golongan pekerja.
Teori rat race merujuk kepada situasi di mana individu berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan kerjaya, material atau status sosial, tetapi akhirnya merasa terperangkap dalam kitaran kerja tanpa henti yang tidak membawa kepuasan hidup yang sebenar.
Asal Usul & Makna
Istilah rat race berasal daripada gambaran tikus yang berlari dalam roda tanpa henti, mencerminkan perlumbaan tanpa hala tuju yang berterusan.
Dalam konteks kehidupan manusia, rat race menggambarkan keadaan di mana individu bekerja keras dengan harapan untuk mencapai kehidupan yang lebih baik, namun sering kali berakhir dengan perasaan letih, tertekan, dan tidak puas hati.
Realiti Rat Race
Di Malaysia, fenomena rat race boleh dilihat dengan jelas dalam kalangan penduduk bandar, terutamanya di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain.
Contohnya, ramai pekerja di sektor korporat terpaksa menghabiskan masa yang panjang di pejabat, mengorbankan masa bersama keluarga dan rakan-rakan demi mengejar sasaran kerja dan kenaikan pangkat.
Ini sering kali mengakibatkan keletihan fizikal dan mental, di samping tekanan untuk memenuhi kos sara hidup yang tinggi.
Sebagai contoh, Ahmad, seorang eksekutif muda di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur, bekerja lebih dari 60 jam seminggu.
Walaupun gaji yang diterima lumayan, namun Ahmad jarang mempunyai masa untuk berehat atau menikmati hobinya.
Setiap hari, dia berulang-alik dalam kesesakan lalu lintas, menghadiri mesyuarat yang tidak berkesudahan, dan berhadapan dengan tarikh akhir yang ketat.
Akhirnya, Ahmad merasa keletihan dan tidak puas hati walaupun memiliki gaya hidup yang dianggap mewah oleh orang lain.
Kesan Negatif Rat Race
Kehidupan dalam rat race bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal individu, tetapi juga boleh menjejaskan hubungan peribadi dan kualiti hidup secara keseluruhan.
Tekanan kerja yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti insomnia, tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung.
Selain itu, ketiadaan masa untuk bersama keluarga boleh merenggangkan hubungan dan menyebabkan konflik rumah tangga.
Mengatasi Rat Race
Untuk keluar daripada kitaran rat race, adalah penting untuk setiap individu mengenalpasti keutamaan hidup mereka dan mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Mengamalkan gaya hidup yang sihat, seperti bersenam secara berkala, makan makanan seimbang, dan mendapatkan rehat yang cukup, adalah langkah penting dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Selain itu, meluangkan masa untuk hobi dan aktiviti yang memberi kepuasan emosi juga boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti hidup.
Kesimpulannya, teori rat race adalah cerminan realiti kehidupan moden yang penuh dengan persaingan dan tekanan. Walau bagaimanapun, dengan kesedaran dan usaha yang bersungguh-sungguh, setiap individu boleh mencari jalan keluar daripada kitaran ini dan mencapai kehidupan yang lebih seimbang dan memuaskan.
1. Aku tidak mahu berkahwin! Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!
2. Buat ape aku perlu berkahwin? Aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu sibuk tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.
3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..
4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..
Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.
Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..
Mengapa Perlu Berkahwin?
Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, ‘bercouple’, dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).
Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh Allah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: “Sahabat Rasulullah s.a.w bernama ‘Uthman bin Maz’un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”(Surah al- Ma’iddah:87)
Saad bin Abi Waqqas r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya ‘Uthman bin Maz’un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan ‘Uthman bin Maz’un membujang (tanpa berkahwin), tentulah kita “harus” berkasi.”
(Riwayat Muslim dalam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).
Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai Allah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.
Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.
Perkahwinan Untuk Melahirkan Keturunan Yang Soleh Dan Berkualiti
Sabda Rasulullah s.a.w yang bererti : “Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.”
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : Kitab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)
Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.
Jiwa Tenang DenganJalan Pernikahan
Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman Allah ta’ala yang bererti :
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. (Ar Rum :21)
Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.
Perkahwinan Meluaskan PersaudaraaanDan Membina Prinsip Kerjasama
Sebelum perkahwinan – kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.
Sebelum berkahwin – tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.
Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.
Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.
Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.
“Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui”. (An Nur : 32)
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.