Tidak ramai yang tahu bahawa jenama pakaian tradisional terkenal, Bulan Bintang, diasaskan oleh seorang individu muda yang penuh visi, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri.
Kejayaannya dalam industri fesyen bukan sekadar kebetulan tetapi hasil daripada kerja keras, kreativiti, dan strategi pemasaran yang berani.
Lahir pada 29 Januari 1997 di Teluk Intan, Perak, Meri dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menitikberatkan pendidikan dan nilai kerja keras.
Beliau merupakan anak bongsu kepada pasangan Datuk Azim, seorang pesara kerajaan, dan Datin, seorang bekas pengetua sekolah.
Minatnya dalam perniagaan mula berkembang sejak di bangku sekolah apabila beliau menjual baju T sebagai langkah pertama dalam dunia keusahawanan.
Pada tahun 2016, dengan pengalaman yang diperoleh daripada perniagaan kecil-kecilan, Meri memulakan jenama Bulan Bintang dengan fokus utama pada pakaian tradisional Melayu, terutamanya baju Melayu.
Tidak sekadar mengekalkan elemen tradisional, beliau berjaya memberi sentuhan moden dan minimalis yang menarik perhatian anak muda serta golongan dewasa.
Jenama ini bermula dengan koleksi kurta dan memanfaatkan populariti personaliti media sosial, Luqman Podolski, sebagai model utama.
Langkah ini menjadi titik tolak kepada pengaruh besar Bulan Bintang dalam pasaran fesyen tanah air.
Kejayaan Bulan Bintang bukan sahaja terletak pada reka bentuk pakaian yang eksklusif tetapi juga strategi pemasaran yang inovatif.
Meri dan pasukannya menggunakan pendekatan unik dengan menghasilkan iklan serta kempen promosi yang kreatif setiap kali menjelang musim perayaan.
Pada tahun 2023, Bulan Bintang mencipta sejarah dengan penganjuran pertunjukan fesyen ‘Takes The Sky’ yang menggunakan 350 unit dron, sekaligus memecahkan rekod Malaysia Book of Records.
Dengan bajet sebanyak RM2 juta, pertunjukan ini bukan sahaja mengukuhkan jenama Bulan Bintang, tetapi juga menunjukkan kebolehan Meri dalam membawa fesyen Melayu ke tahap yang lebih tinggi.
BACA LAGI : Zubir Khan, Anak Melayu Fasih Tamil Penggerak Perpaduan Melalui Muzik
Perjalanan Meri membangunkan Bulan Bintang membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah, tetapi melalui usaha gigih dan inovasi berterusan.
Dari seorang remaja yang menjual baju T, kini beliau mampu bekerjasama dengan selebriti terkenal seperti Sharnaaz Ahmad dan Shukri Yahaya sebagai duta jenama.
Dengan gabungan strategi digital, pemasaran moden, dan keberanian untuk mencipta sesuatu yang baru, Bulan Bintang kini menjadi antara jenama pakaian Melayu paling berprestij di Malaysia.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.