Sukan

Azeem Tekad Menempa Nama Di Pentas Olimpik Demi Malaysia

Share

Sukan Olimpik sering menjadi platform terbaik bagi atlet untuk menunjukkan kehebatan dan semangat juang mereka di peringkat antarabangsa. Bagi jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi atau dikenali Azeem, penyertaan dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris bukan sekadar pencapaian besar dalam kariernya, tetapi juga menjadi motivasi untuk mencapai impian yang lebih besar di masa hadapan.

Atlet muda ini bukan sahaja fokus untuk memberikan yang terbaik di Paris, tetapi juga berazam untuk meneruskan kariernya hingga ke edisi Los Angeles 2028 (LA2028).

Muhammad Azeem, yang kini memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki dengan catatan 10.9 saat (s), akan beraksi di Olimpik Paris 2024 menerusi tiket wildcard.

Baginya, pengalaman beraksi di peringkat tertinggi seperti Olimpik adalah penting bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk negara.

Foto: Astro Awani

“Siapa tahu mungkin pada ketika itu (LA2028) ada rezeki lebih besar… Selagi beraksi di Olimpik itu jadi matlamat supaya boleh menimba pengalaman bukan sahaja untuk saya sendiri tetapi untuk negara,” katanya dengan penuh harapan.

TAJAAN KEPERLUAN

Memetik laporan BERNAMA, Azeem ditemui pihak media selepas menerima tajaan barangan keperluan pertandingan daripada Mizuno di Majlis Sukan Negara, turut menyatakan kesyukurannya atas sokongan yang diterima.

Tajaan tersebut dianggap sebagai satu dorongan besar dalam persiapannya untuk membuat penampilan sulung di Olimpik dalam acara 100m di Stade de France, yang akan bermula pada 3 Ogos ini.

BACA: Fakta Penting & Kronologi Kejadian Kes Menyayat Hati Kadet Zulfarhan

Sementara itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard, yang turut terlibat dalam persiapan Azeem, menegaskan bahawa fokus utamanya adalah memastikan Azeem berada dalam prestasi terbaik di temasya sukan tersebut.

Robert Ballard, seorang jurulatih berpengalaman dari Australia, enggan mengulas lanjut tentang sebarang kontroversi mengenai kehadirannya di Paris, sebaliknya lebih menumpukan kepada tanggungjawabnya.

“Saya sering berhubung dengan jurulatih Azeem, Ken Harnden, dengan menghantar analisis serta video sepanjang anak buahnya menjalani latihan di dalam negara,” ujar Ballard.

Ini semua dilakukan bagi memastikan Azeem mendapat pengalaman dan motivasi yang positif di pentas Olimpik.

Sukan Olimpik 2024 dijadualkan akan dibuka secara rasmi pada Jumaat ini dan akan berakhir pada 11 Ogos. Semua mata kini tertumpu kepada Azeem, yang diharapkan dapat mengharumkan nama negara di arena antarabangsa.

Selamat berjaya buat Azeem dari kami di team MASKULIN!

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Sumber: BERNAMA

Published by
Farizul Izwany Ibrahim