Sebelum mempertimbangkan minat untuk mengikut jejak langkah dalam bidang hiburan, Datuk Awie mahu semua anaknya menumpukan terhadap pelajaran terlebih dahulu.
Memetik laporan Harian Metro, Awie mengakui anak lelakinya Putra Ahmad Merrah, 17, mempunyai minat ke arah muzik, namun dia tidak pernah menggalakkan atau memaksa kerana mahu anaknya mendahulukan pelajaran.
“Saya tak pernah galakkan, tapi kalau dia berminat itu hak dia sebenarnya. Apa yang saya suruh adalah belajar dulu.
“Insya-Allah, kalau dah okey semua daripada segi akademik, maka dia boleh menyambung dengan apa saja yang dia minat.
“Itu yang pertama. Tapi kalau nak paksa atau suruh anak ikut jejak langkah saya dalam bidang seni, tidak sama sekali. Malah, saya pernah bercakap dengan Merrah supaya jangan jadi penyanyi sebaliknya berada di belakang tabir,” katanya.
Sebagai anak seni, Awie memberitahu dia lebih gemar melihat anaknya menjadi seorang pembikin berbanding penggiat.
“Jadi seorang pembikin dan bukan sebagai seorang penggiat. Hanya Merrah saja yang saya lihat minat menyanyi. Kakak-kakaknya mengambil kursus ‘Event Management’ dan ‘Creative Visual’.
“Saya sendiri berada dalam bidang ini, jadi saya lebih suka mereka menjadi pembikin daripada penggiat. Apatah lagi jika tiada akademik, jadi bahan ketawa orang saja,” katanya.
Terdahulu, video anak lelakinya itu bermain gitar menyanyikan lagu Seniman Menangis yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah menjadi tular di TikTok.
Menggunakan kapsyen ‘Like Father Like Son’, video berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
@hj..abu_g #awiewings #senimanmenagis ♬ original sound – ABU_G
Menerusi perkahwinan pertama Awie dengan bekas isteri juga penyanyi, Arni Nazira, mereka dikurniakan dua anak perempuan iaitu Putri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleefa Antasha, 22, kini menuntut di universiti.
Awie kemudian berkahwin kali kedua dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, namun bercerai pada 1 November 2014. Mereka dikurniakan tiga anak, Putra Ahmad Merrah, 17; Putra Ahmad Rezzki, 16; dan Puteri Qasseh Antasha, 14.
Sumber: Harian Metro
BACA: Penutup Kerjaya Solo Tiga Dekad, Awie Pentaskan Konsert Solo Terakhir