Ada pelbagai sajian salad yang biasanya orang makan ketika diet. Ia dikatakan berkhasiat kerana mengandungi serat yang tinggi. Sajian salad yang mengandungi sayur-sayuran dan buahan-buahan segar berserta dressing rendah lemak pastinya menjadi hidangan yang baik untuk diet.

Namun awas! Jika anda menambahkan makanan yang tidak berkhasiat seperti krim, mayonis, keju dan makanan proses yang tinggi kalorinya, ia akan menjadi sajian salad yang tidak disarankan untuk diet.

Jadi selidik dahulu sajian salad ini sebelum anda ingin makan bagi mengelakkan diet anda gagal.

1. Salad Pasta

Pasta mudah didapati dalam pelbagai bentuk, malah ia boleh dipelbagaikan cara masakan termasuklah dibuat sajian salad. Salad jenis ini tidak digalakkan ketika diet kerana tepung pasta mengandungi jumlah karbohidrat yang tinggi dan penggunaan sos berkrim. Bagi anda yang sedang menjalani diet karbo, pasti anda elak makanan salad ini.

IKLAN

2. Salad Greek

Sajian yang mengandungi cili, tomato, timun dan bawang bombay memang menyihatkan. Namun jika anda menambahkan yogurt, minyak zaitun, keju Feta, garam dan dressing lain secara berlebihan, kalorinya yang lebih tinggi akan membuatkan diet anda gagal. Satu sajian salad Greek mengandungi 313 kalori (tanpa tambahan dressing dan keju).

3. Salad Russian

Salad ini dilimpahi dengan sos krim yang menyelerakan, namun anda harus berhati-hati kerana satu sajian salad Russian ini mengandungi 579 kalori. Berbanding jika anda makan sayur-sayurannya sahaja tanpa krim, nilai kalorinya sekitar 118 kalori.

4. Salad Coleslaw

Ini merupakan antara salad yang popular dan digemari lebih-lebih lagi jika dimakan bersama kentang goreng atau kentang putar. Mayonis menjadi pelengkap untuk salad ini. Tetapi ingat! Semangkuk kecil salad Coleslaw dengan kandungan mayonis mempunyai hampir 450 kalori.

5. Salad Caesar

Satu mangkuk kecil sayur dalam salad Caesar mengandungi 382 kalori. Ia memang menyihatkan tetapi pastikan anda tidak menambahkan keju dan heavy dressing ke dalam menu ini. Selain bimbang ia boleh merosakkan diet dan kalori yang sedia ada, kandungan garam yang tinggi juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi.