Apabila pemandu berada di belakang stereng, perkara paling penting yang perlu mereka lakukan ialah sentiasa sedar dengan keadaan sekeliling dan pada masa sama mengawal kenderaan dengan selamat. Tetapi sejauh mana pun anda berwaspada, masih terdapat situasi yang tidak dapat dielakkan atas kecuaian pemandu lain dan kadang kala diri sendiri juga.
Justeru itu, Honda komited untuk menyediakan pelanggan dengan kenderaan paling selamat yang dapat dihasilkan. Di samping menawarkan kereta dan SUV dengan skor keselamatan terbaik, Honda membangunkan Honda Sensing untuk membantu pemandu. Jadi, apakah Honda Sensing?.
Honda Sensing terdiri daripada tiga komponen utama. Kemudian terdapat tujuh ciri keselamatan yang bekerja bersama-sama yang mana setiap ciri berkenaan mempunyai tugas masing-masing dan membantu pemandu daripada terlibat dalam risiko kemalangan.
Di sini penulis akan menjelaskan setiap fungsi ciri keselamatan berkenaan:-
Di bawah kategori ini terdapat tiga ciri keselamatan yang bekerja iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist System (LKAS). Sistem ini berfungsi meminimumkan risiko pelanggaran dari arah sisi.
Bagaimana ia bekerja?. Ciri keselamatan LDW akan memantau garisan putih jalan di kiri dan kanan menggunakan kamera monokular yang dipasang pada bahagian atas cermin utama. LDW berada dalam mod siap sedia (standby). Ia beroperasi pada kelajuan 72 hingga 180km/j.
Apabila LDW mendapati kenderaan bergerak ke arah kiri atau kanan seakan tersasar (tanpa sebab), sistem akan mengeluarkan amaran. Sekiranya pemandu tidak menarik balik stereng, maka RDM akan diaktifkan. Ciri RDM ini akan menghantar gegaran pada stereng sebelum menarik stereng dengan lembut.
Kemudian LKAS akan mengambil peranan dengan membetulkan stereng dan memastikan kenderaan kembali berada di tengah laluan. Tetapi sekiranya pemandu menggunakan isyarat membelok, sistem maklum bahawa pemandu ingin menukar laluan.
Komponen ini berperanan mengurangkan risiko pelanggaran dengan kenderaan di depan. Di bawah kategori ini Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking System (CMBS) bekerja seiring dan diaktifkan secara automatik sebaik enjin kereta dihidupkan.
Ciri FCW akan mengesan jarak kereta di depan menggunakan radar yang dipasang pada gril bahagian depan. Sepanjang perjalanan di lebuh raya penulis dapati apabila memandu terlalu dekat dengan kereta depan, FCW akan mengeluarkan amaran visual dan bunyi sebagai amaran bahawa kereta terlalu hampir yang akan menyebabkan risiko ‘tercium’ bampar kereta di depan. Jika pemandu tidak memberi respons (menjarakkan kenderaan), CMBS akan mengambil alih dengan menekan brek.
Sistem ini sangat membantu apabila anda berada dalam keadaan trafik bergerak perlahan ataupun memandu di lebuh raya. Ia cukup membantu apabila pemandu yang keletihan. Di bawah Driver Cruising Aid tersedianya Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low-Speed Follow (LSF).
ACC membantu pemandu menetapkan had kelajuan dalam julat 30 hingga 180km/j dan jarak selamat dengan kereta di hadapan. Bagaimana ingin mengaktifkan ACC?. Tekan butang ‘MAIN’ pada stereng. Kemudian untuk melaraskan kelajuan kenderaan, hanya tekan butang RES/+ atau -/SET. Jika ditekan sekali bersamaan dengan 1km/j manakala jika ditekan lama bersamaan dengan 10km/j.
Kemudian pemandu boleh menetapkan jarak dengan kenderaan di depan dengan pilihan dekat, pertengahan, jauh dan lebih jauh.
Ketika kereta bergerak, LSF memainkan peranan dengan menyesuaikan kelajuan kenderaan selamat mengikuti pergerakan kenderaan di depan. LSF sangat berguna apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Selepas diintegrasikan dengan ACC, kereta akan bergerak dan membrek pada jarak yang selamat dengan kereta depan secara automatik tanpa perlu menekan brek atau pendikit minyak.
Dengan Honda Sensing, Honda menjadi pengeluar kenderaan Jepun pertama yang menawarkan teknologi itu kepada produk massa. Teknologi seumpamanya sebenarnya sudah ada di pasaran, tetapi oleh pengeluar kenderaan premium seperti Volvo dan Mercedes-Benz.
Bagaimanapun harus diingatkan, sistem itu hanya membantu pemandu dan pemandu tetap bertanggungjawab sepenuhnya ketika mengendalikan kenderaan.
Untuk makluman, Honda CR-V merupakan model pertama dilengkapi dengan Honda Sensing di Malaysia. Bagaimanapun, hanya varian tertinggi CR-V 1.5 TC-P 2WD sahaja ditawarkan dengan Honda Sensing.