Bagi ramai di antara kita, pam tayar merupakan satu perkara asas dalam penjagaan kereta. Ia seakan sudah menjadi perkara rutin buat pemilik kereta. Dalam tempoh sebulan pasti anda akan memeriksa kondisi tayar untuk melihat sama ada angin tayar mencukupi atau tidak.
Akan tetapi pernahkah anda tertanya-tanya adakah selama ini ia dilakukan dengan cara yang betul?
Mungkin selama ini anda pam tayar kereta berpandukan sukatan PSI (paun inci persegi) seperti tercatat di sisi tayar. Bolehkah ia dipam hingga maksimum ke angka tersebut?
Satu perkara yang anda wajib tahu ialah tekanan tayar yang tepat amat penting bagi memastikan kelancaran, keselaatan dan ketahanan tayar.
Perhatikan tulisan pada dinding sisi tayar. Di situ terdapat perkataan ‘Max. Press. 35 PSI’. Angka tersebut menunjukkan tekanan sejuk maksimum yang diperlukan tayar untuk menampung beban maksimum.
Kata ‘sejuk’ di atas merujuk kepada situasi anda mengepam tayar pada masa ideal, iaitu ketika cuaca sejuk seperti pada waktu pagi atau selepas kereta dibiarkan beberapa jam di kawasan teduh. Itulah masa terbaik mengepam tayar. Kebiasaannya, tekanan tayar maksimum berada dalam julat 30 dan 32 PSI.
JIKA TAYAR DIPAM MAKSIMUM PSI?
Antara perubahan ketara dirasakan ialah karakter pengendalian. Tayar yang sudah dipam maksimum tidak mempunyai ruang anjalan pada dinding sisi. Ini menyebabkan tahap membelok jadi bertambah baik. Namun anda berdepan risiko ketika melakukan brek jajap (threshold braking). Jika membelok pantas atau mengejut, belakang kereta anda boleh terseret.
Antara kekurangannya pula jangka hayat tayar akan lebih cepat botak. Bila tayar dipam terlalu banyak, getah pada bunga tayar atas akan lebih menonjol dan membuatkan bahagian tengah tayar cepat haus. Malah, kawalan juga berkurangan dan anda menghadapi risiko tayar meletup.
Tekanan disarankan kebiasaannya antara 30 dan 35 PSI. Nombor tersebut menandakan jumlah minimum tekanan udara yang diperlukan untuk menyokong kapasiti maksimum bawa-beban kenderaan anda. Jika berkurangan, anda akan dapati penggunaan bahan api dan tahap pengendalian akan terjejas, termasuk mengalami masalah haus disebabkan beban lebih dan getah tayar terlalu menganjal.
Sebaliknya, apabila tayar anda dipam mengikut tekanan PSI disarankan, anda pasti menikmati prestasi dan jangka hayat tayar yang optimum.
Bilakah masa terbaik memeriksa tekanan tayar? Sebaiknya, ikutilah 3 syarat asas ini:
i. Setiap kali mengisi minyak.
ii. Setiap kali suhu berubah 10º.
iii. Sekali bagi setiap 30 hari.
Jika anda mahu tayar anda dipam mengikut tekanan tepat sebelum memandu, apa kata dapatkan tolok tekanan di mana-mana kedai aksesori kereta terdekat. Cara ini lebih memudahkan anda.
Sumber: Artofkeicar