Jika ditanya warganegara Malaysia ketika ini siapakah golongan yang paling disayangi mereka sekarang MASKULIN yakin dengan tidak ragu-ragunya akan menjawab barisan hadapan negara yang bertugas melawan penularan wabak COVID-19.
Sesungguhnya pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan penuh risiko sangat dihargai oleh semua pihak di Malaysia.
Antara yang bekerja tanpa henti 24 jam sehari ialah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Selain memastikan keselamatan awam mereka giat melakukan rondaan serta sekatan jalan raya bagi memastikan semua orang patuh dengan Perintah Kawalan Pergerakan.
Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan bagaimana seorang anggota polis yang sedang bertugas menyelamatkan seekor anak anjing yang terperangkap di dalam sebuah longkang besar.
Anggota tersebut, Koperal (F) Mohd Azad Azady Mohd Tarmizee telah mendapat pujian daripada warganet kerana keprihatinannya menyelamatkan makhluk Tuhan tersebut. Video berkenaan bukan sahaja tular di negara kita malah is turut dikongsi beberapa media antarabangsa.
Berita ini juga turut menarik perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Tengku Permaisuri Selangor telah berkenan menyampaikan Surat Penghargaan khas kepada Mohd Azad di atas usahanya berkhidmat bukan sahaja kepada manusia tetapi juga makhluk yang lain memerlukan pertolongan.
Berita tentang penghargaan tersebut dikongsi menerusi laman Facebook Polis (IPD) Shah Alam.
—————————————
MAJLIS PENYERAHAN SURAT PENGHARGAAN DARIPADA DULI YANG MAHA MULIA TENGKU PERMAISURI SELANGOR
#SejahteraShahAlam
#staysafestayhome
Shah Alam, 15 April 2020 – YDH ACP Baharudin Bin Mat Taib (Ketua Polis Daerah Shah
Alam) telah menghadiri Majlis Penyerahan Surat Penghargaan daripada DYMM Tengku Permaisuri Selangor kepada Kpl/s Mohd Azad Azady Bin Mohd Tarmizee daripada Unit MPV, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Shah Alam. Turut serta dalam masjlis ini adalah Supt Ramsay Anak Embol ( Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam), YBhg Muhammad Syahir Bin Hasan (Pembantu Setiausaha Sulit Kepada Sultan Selangor), Ketua-ketua Bahagian dan Ketua Polis Balai.Penyampaian surat penghargaan daripada DYMM Tengku Permaisuri Selangor kepada Kpl/s Mohd Azad Azady telah disampaikan oleh YBhg Muhammad Syahir Bin Hasan (Pembantu Setiausaha Sulit Kepada Sultan Selangor) dan disaksikan oleh YDH ACP Baharudin Bin Mat Taib. Surat Penghargaan ini adalah atas keperhatinan Kpl/s Mohd Azad untuk menyelamatkan seekor anak anjing yang telah jatuh ke dalam longkang dan video berkenaan telah tular dilaman sosial yang mendapat reaksi positif dikalangan masyarakat.
—————————————–
Rakaman video yang dilakukan oleh rakan setugasnyua, Koperal Ezam Ramli yang dikongsi di Facebook kendaliannya kini telah meraih lebih 490,000 tontonan dengan lebih 24,000 perkongsian.
Tahniah MASKULIN ucapkan buat Koperal (F) Mohd Azad Azady Mohd Tarmizee. Semoga terus bersemangat, berdedikasi dan tabah dalam menjalani tugas harian tatkala negara kini berdepan krisis COVID-19.
Sumber & kredit: Facebook Polis (IPD) Shah Alam