Andy Murray bukan sahaja dikenali sebagai pemain tenis yang hebat, tetapi juga sebagai ikon sukan yang menunjukkan ketabahan dan keazaman luar biasa sepanjang kariernya.
Terbaru, pemain Britain berusia 37 tahun ini mengesahkan dia akan bersara selepas Sukan Olimpik 2024 dengan menyatakan temasya di Paris itu akan menjadi “kejohanan tenis terakhirnya”, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Tiba di Paris untuk kejohanan terakhir saya di Olimpik. Bertanding mewakili Great Britain adalah minggu paling diingati dalam kerjaya saya, dan saya sangat berbangga dapat melakukannya sekali lagi buat kali terakhir,” tulisnya.
Juara tiga kali Grand Slam itu turut memuat naik fotonya di atas podium Olimpik Rio 2016 selepas menggenggam pingat emas dalam acara perseorangan lelaki.
View this post on Instagram
USIA & KECEDERAAN MUNGKIN PUNCA ANDY MURRAY BERSARA
Pengumuman ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia telah pun memberi bayangan akan bersara selepas meraih kemenangan keduanya sewaktu kejohanan Terbuka Dubai 2024.
“Saya mungkin tidak mempunyai masa terlalu lama, tetapi saya akan melakukan yang terbaik dalam tempoh beberapa bulan ini. Saya masih suka bertanding dan menggemari sukan ini, tetapi semakin sukar bersaing apabila meningkat usia, untuk memastikan badan terus cergas dan segar,” katanya selepas memenangi kejohanan itu.
Umum mengetahui bintang kelahiran Glasgow itu pernah menjalani pembedahan menggantikan tulang pinggul pada 2019. Dia juga mengalami masalah buku lali teruk awal tahun ini dan menjalani pembedahan membuang sista pada tulang belakangnya.
Lima Fakta Menarik Andy Murray Dalam Dunia Tenis:
- Juara Grand Slam: Andy Murray telah memenangi tiga gelaran Grand Slam dalam kariernya. Dia memenangi US Open pada tahun 2012, serta dua gelaran Wimbledon pada tahun 2013 dan 2016. Murray juga merupakan pemain lelaki Britain pertama yang memenangi gelaran perseorangan Wimbledon sejak Fred Perry pada tahun 1936.
- Pingat Emas Olimpik: Murray telah memenangi dua pingat emas Olimpik dalam acara perseorangan lelaki. Dia memenangi pingat emas pertamanya di Sukan Olimpik London 2012 dan mempertahankan gelarannya di Sukan Olimpik Rio 2016. Ini menjadikan Murray sebagai pemain tenis pertama yang berjaya mempertahankan gelaran Olimpik dalam acara perseorangan lelaki.
- Ranking No. 1 Dunia: Andy Murray berjaya mencapai ranking No. 1 dunia dalam ranking ATP pada bulan November 2016. Dia mengakhiri musim 2016 sebagai pemain nombor satu dunia selepas memenangi ATP World Tour Finals.
- Perjuangan Melawan Kecederaan: Karier Andy Murray sering kali terjejas oleh kecederaan, terutamanya masalah pada pinggulnya. Dia menjalani pembedahan pinggul pada tahun 2018 dan 2019, yang hampir mengakhiri kariernya. Walau bagaimanapun, Murray menunjukkan semangat juangnya dan kembali ke pertandingan walaupun mengalami kesakitan dan keterbatasan fizikal.
- Pencapaian dalam Piala Davis: Murray memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan Britain di Piala Davis pada tahun 2015. Dia memenangi 11 perlawanan berturut-turut dalam kejohanan tersebut, membantu Britain memenangi Piala Davis buat kali pertama sejak tahun 1936.
Sumber : Sinar Harian
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI