Pernah bertanya pada diri kenapa mudah marah atau baran? Sesungguhnya, orang yang betul-betul kuat adalah orang yang boleh menahan marahnya apabila berhadapan dengan ujian dan cabaran dalam kehidupan.
Sebelum mendidik hati supaya tidak cepat marah, kita perlu tahu punca kenapa mudah marah supaya sifat tersebut dapat dibendung dan dirawati dengan segera. Jom kita muhasabah diri kita sendiri.
KENAPA MUDAH MARAH?
1) Sukar Mengawal Emosi
Bagi mereka yang mudah marah adalah kerana mereka susah untuk mengawal emosi dan membiarkan perasaan marah menyelubungi diri. Orang yang mudah marah ni akan diperbodoh-bodohkan atau dimain-mainkan oleh orang lain.
2) Kurang Sabar
Hati yang kurang sabar selalu cepat melenting apabila dicabar tahap kesabarannya. Oleh itu, kita hendaklah latih diri dan hati supaya lebih bersabar serta berfikir dengan cara yang rasional apabila berhadapan dengan masalah supaya tidak melakukan tidakan yang terburu-buru demi memuaskan hati yang sedang marah. Sebenarnya, orang yang kurang sabar juga akan mudah menghidapi suatu penyakit yang kronik.
3) Ego, Bangga Diri, Riak dan Merasa Diri Lebih Hebat
Bagi mereka yang sebegini akan mudah rasa tercabar apabila dirinya dipersenda-sendakan. Hal ini kerana mereka akan rasa kalah dan tidak dihormati. Selain itu, orang yang mempunyai sifat ego, bangga diri dan riak akan merasakan dirinya lebih hebat dari orang lain. Oleh sebab itu, mereka akan mudah marah sebab tidak mahu dipandang rendah dan benci apabila tidak dihormati serta berasa terhina apabila berjumpa dengan orang lebih hebat daripadanya. Marah jenis ini biasanya wujud dalam bentuk emosi yang tidak puas hati terhadap orang lain.
4) Berfikiran Negatif
Orang jenis ini ialah orang yang memandang buruk terhadap sesuatu, suka bersangka buruk pada orang lain serta mudah bertanggapan buruk terhadap apa jua perkara. Orang jenis ini akan mudah marah kerana dihatinya tiada wujud istilah maaf. Dia tidak mahu memberi maaf dan malu untuk meminta maaf kerana merasakan dia sahaja yang betul. Walaupun kadang-kadang dalam hati kecilnya mengaku akan kelemahan diri tetapi disebabkan ego, dia tidak akan minta maaf walaupun berada di pihak yang salah.
5) Berdendam
Jika seseorang itu menyimpan perasaan dendam atau irihati kepada seseorang, dia akan cepat naik darah atau marah walaupun hanya disebabkan oleh kesilapan yang sedikit.