Berita

Anak Bongsu Ayu Raudhah dan Zaquan Adha Meninggal Dunia Ketika Tidur

Share

Keluarga pelakon Ayu Raudhah dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha, diuji dengan pemergian anak bongsu mereka, Muhammad Aisy Al Rees, yang meninggal dunia ketika tidur di rumah mereka di Seremban, Negeri Sembilan pada Selasa petang.

Foto : ohbulan!

Pemergian Secara Mengejut

Muhammad Aisy Al Rees, bayi ketujuh pasangan ini yang baru berusia enam bulan sembilan hari, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang.

Berita sedih ini disahkan oleh kakak kepada Ayu, pelakon terkenal Rozita Che Wan.

“Arwah meninggal kira-kira jam 1 petang tadi di rumah mereka di Seremban. Jenazah ketika ini berada di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Saya dimaklumkan arwah meninggal ketika tidur dan tidak mengalami sebarang sakit,” katanya.

Perkongsian Dari Zaquan Adha

Zaquan Adha turut berkongsi berita duka itu menerusi akaun Insta Story miliknya.

“Salam semua, anak bongsu kami Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha telah kembali kepada pencipta-Nya sebentar tadi. Doakan saya dan isteri kuat untuk dugaan ini,” tulisnya ringkas.

Foto : Sinar Harian

Kejadian Mengejutkan Keluarga

Menurut Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, adiknya Ayu segera menghubungi talian kecemasan selepas menyedari anaknya tidak sedarkan diri.

“Kejadian berlaku lebih kurang jam 1 petang tadi, Ayu terus hubungi talian kecemasan bila lihat anaknya tidak sedar. Harap dapat dikebumikan malam ini juga,” katanya.

Tambahnya lagi, pemergian Aisy Al Rees amat memberi kesan kepada seluruh keluarga, terutama kerana hubungan mereka yang sangat rapat.

“Boleh dikatakan setiap minggu Ayu dan anak-anak datang bermalam di rumah saya. Jadi hubungan saya dan anak-anak Ayu memang sangat rapat,” katanya.

Foto : Kosmo

BACA LAGI : Saif Ali Khan Kini Kritikal, Diserang Perompak Di Rumah

Untuk info, pelakon Ayu Raudhah telah selamat melahirkan anak ketujuh pada 2 Ogos lalu dengan berat 2.3 kilogram.

Pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan turut dikurniakan enam cahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia dua tahun.

Takziah Buat Keluarga

Pemergian Muhammad Aisy Al Rees pastinya meninggalkan kesan mendalam kepada Ayu Raudhah dan Zaquan Adha.

Semoga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini dan roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Sumber : Harian Metro

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk video-video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain