Sebagai salah seorang bintang muda yang semakin menyerlah dalam dunia hiburan tempatan, Amir Ahnaf melakar satu lagi kejayaan besar dalam kariernya.
Pelakon yang lahir dari program Hero Remaja ini nyata teruja apabila filem terbarunya, Kahar Kapla High Council, bukan sahaja memukau penonton, tetapi turut menjadi kebanggaan ibu bapanya.
Filem tersebut ditayangkan buat pertama kali di acara malam gala bertempat di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Isnin lepas.
Memetik temu bualnya bersama MEDIA HIBURAN, Amir berkata kejayaan filem ini memberi impak mendalam kepada keluarganya.
Ibu bapanya, yang sebelum ini sering menjadi penyokong setia perjalanan karier seninya, dilihat lebih menghargai usaha dan bakat yang telah diperjuangkannya.
“Mama dan ayah ucap tahniah kepada saya. Mama saya tonton filem ini sampai menangis. Ayah pula menganggap ini karya terbaik saya setakat ini.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri. Seumur hidup, saya tak pernah bangga dengan diri sendiri. Saya teruja kerana dapat membanggakan ibu dan ayah.
“Semoga rakyat Malaysia juga bangga dengan karya ini,” katanya penuh emosi kepada MH.
Menerusi filem ini, Amir memaparkan imej seorang watak ganas, Kahar, yang penuh dengan cabaran emosi. Namun, bintang kelahiran Hero Remaja 2021 ini menegaskan bahawa keluarganya memahami bahawa watak itu hanyalah lakonan semata-mata.
“Saya tidak berasa segan. Saya percaya, apa yang saya tontonkan itu adalah watak Kahar dan bukan diri saya sendiri.
“Saya tahu mama, ayah dan adik-beradik pun faham juga. Yang mereka tonton itu adalah sebuah imej yang perlu dipertontonkan untuk memberi nasihat dan teladan,” jelasnya.
Amir juga mengakui bahawa memainkan watak sarat emosi adalah cabaran terbesar sepanjang penggambaran filem ini. Beliau terpaksa keluar dari zon selesa dengan bantuan pengarah dan rakan pelakon lain.
“Memang susah untuk bermain dengan emosi. Dalam dunia nyata, saya memang jarang tunjukkan emosi saya.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pengarah, penerbit, barisan pelakon, mak ayah dan peminat kerana mempercayai serta menyokong kerjaya saya,” ujarnya penuh penghargaan.
Tidak hanya memukau dari sudut lakonan, Amir turut mempersembahkan aksi-aksi pertarungan yang mantap dalam filem ini.
Berbekalkan pengalaman dalam seni mempertahankan diri sejak kecil, termasuk silat, muay thai, tinju, dan Brazilian Jiu-Jitsu, Amir berjaya memberikan sentuhan realistik dalam setiap babak aksi.
BACA: Ikmal Amry Cabar Stereotaip Hero Romantik, Sertai Program ‘MASKULIN WHO’S YOUR BRO’
“Pada saya, sangat mudah untuk menjayakan babak pertarungan di dalam filem ini. Saya memang suka berlawan.
“Segala aksi yang ditunjukkan oleh koreografi, kami boleh buat. Secara tidak langsung, ia dapat memudahkan kerja semua orang,” tambahnya.
Filem ini dijangka mencetuskan fenomena baru apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 November ini.
Diterbitkan oleh Astro Shaw, ‘Kahar Kapla High Council’ turut dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fadhli Masoot, dan Hushairy Hussein.
Kredit: MEDIA HIBURAN
Jangan lupa untuk menyaksikan MASKULIN WHO’S YOUR BRO bermula 20 November, setiap Jumaat jam 9 malam di Astro Ria.