Amir Ahnaf, pelakon yang melonjak populariti selepas dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2021/2022, kini semakin mencuri tumpuan ramai.
Bakatnya yang tak boleh dinafikan kini semakin bersinar, terutamanya setelah membintangi filem ‘Kahar Kapla High School’, yang kini sedang meletup di pawagam!
Filem ini bukan hanya sebuah hiburan semata, tetapi juga membawa mesej penting tentang isu buli di kalangan remaja masa kini.
Dalam satu temu bual bersama Kosmo! Online, Amir, atau nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairudin, 24, mendedahkan bagaimana dia belajar untuk mengawal emosi, terutamanya apabila berhadapan dengan buli siber.
Amir mengakui, “Saya rasa kesihatan mental generasi muda sekarang ini lebih teruk kerana buli siber yang semakin berleluasa.
“Tolonglah hentikan buli ini kerana sangat tidak matang. Ada banyak lagi benda boleh buat selain buli siber.”
Bagi Amir, cara terbaik untuk menghadapi tekanan itu adalah dengan mengawal emosi sendiri.
“Kalau kita tak mampu mengawalnya, semua perkara akan jadi lebih huru-hara selain menjadi hamba kepada emosi sendiri,” ujarnya.
Bukannya mudah untuk menghadapinya, tetapi bagi Amir, belajar untuk tidak memberi respons kepada buli siber adalah kunci untuk menjaga ketenangan.
Selain dari itu, Amir turut berkongai, “Banyak yang boleh memberi pengaruh hari ini, ditambah dengan kewujudan media sosial. Jadi, sentiasalah jaga orang sekeliling, keluarga dan kawan-kawan. Selalulah tanya khabar mereka.”
Sebagai seorang selebriti yang sering mendapat perhatian ramai, Amir faham betul bagaimana media sosial boleh memberi kesan kepada seseorang, terutama dalam menjaga kesejahteraan mental.
Namun, ketika ada yang menyebut generasi muda hari ini sebagai “generasi manja”, Amir menolak label tersebut dengan tegas.
“Tiada istilah generasi sekarang manja, hakikatnya kita semua memang dilahirkan untuk menjadi individu yang manja.
“Sifat manja itu memang ada dalam diri semua orang dan manusia itu sendiri dijadikan sebagai orang yang sensitif jadi, kenapa nak salahkan orang jadi manja?” katanya dengan penuh keyakinan.
Dengan gaya hidup yang lebih sensitif terhadap isu-isu semasa, dan mesej yang dibawanya tentang pentingnya menjaga mental, Amir Ahnaf bukan sekadar seorang pelakon, tetapi juga suara yang membawa perubahan.
BACA: Amir Ahnaf Paksa Diri Keluar Zon Selesa Untuk ‘Kahar Kapla High School’
Dia mengingatkan kita semua untuk lebih peka dengan kesihatan mental, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga kepada orang di sekeliling. Kita boleh lakukan lebih daripada sekadar berdiam diri, dan itu adalah perjuangan sebenar bagi Amir Ahnaf.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.